Kuih Bahulu Menggamit Kenangan Di Kampung Halaman
Telah lama teringin nak membuat bahulu sendiri. Secara spesifik, bahulu Kelantan yang gebu dan lembab. Kebetulan sahabat Instagram saya Puan Rosehayatie ada menunjukkan video cara menyediakan kuih bahulu, jadi saya ber WhatsApp juga dengan beliau menanyakan itu dan ini.
Memang beliau sangat baik orangnya. Kita boleh merasakan jika seseorang itu ikhlas dengan kita. Tak kedekut dan tak loket untuk berkongsi apa apa ilmu yang dia ada berdasar pengalaman beliau sendiri.
Saya semasa kecil pernah sendiri membuat kuih bahulu dengan dibantu arwah Bonda. Masih ingat lagi memukul telur dalam pasu tanah liat sehingga telur kembang dan putih.
Bayangkan betapa kuat dan banyak tenaga diperlukan. Melakukannya dengan ditemani kakak kakak di kaki lima dapur sambil bersembang sembang. Bakar pula dengan dapur kayu dengan di bahagian atas acuan bahulu diletakkan bara sabut.
Saya memang peminat bahulu Kelantan. Aduhaaai terutama sekelilingnya yang garing rangup. Memang heaven. Tapi hari ini bahulu saya kurang menjadi kerana agaknya acuan bahulu yang baru dibeli. Adunan melekat dan agak sukar ditanggalkan.
Sebaik beli, acuan hendaklah direndam dengan air asam jawa bagi menghilangkan bau logamnya. Sebaiknya direndam semalaman dan kemudian dijemur di bawah panas matahari. Tapi saya tak sempat melakukannya. Beli terus guna gitu.
Apa apa pun puashati kerana dapat menyediakan sendiri kuih bahulu dan dapat terus ngap sebaik sahaja dikeluarkan dari acuan ketika ianya masih panas panas. Terlerai rindu memakan kuih bahulu seperti ini. Syukur Alhamdulillah. Jom layan resepi yang digunakan hari ini. Juga jangan lupa menonton video penyediaannya di youtube Azie Kitchen channel ya...
Kuih Bahulu
Oleh: Azie Kitchen
Bahan bahan:
1 mangkuk telur gred B - kalau gred C lagi elok
1 mangkuk tepung gandum
1 mangkuk gula pasir
2 sudu kecil esen ros - atau perisa yang disukai
Cara cara:
Tepung gandum digoreng dalam kuali tanpa minyak untuk mengeringkannya. Tepung yang kering dan ringan akan menjadikan kuih bahulu lagi sedap dan tahan lama. Goreng sehingga bila dikacau, tepung seolah berterbangan dan berbau harum. Tandanya dah kering.
Biarkan tepung benar benar sejuk sebelum diayak dan sedia untuk digunakan.
Putar telur, gula dan esen ros sehingga benar benar putih dan kembang. Boleh dilihat bila ianya tidak jatuh dengan cepat jika diangkat menggunakan spatula. Jika permukaan atasnya dilorek dengan menggunakan sudu, kesan lorekan akan lama terbentuk. Tidak mudah kembali rata.
Ambil 2 senduk adunan telur dan masukkan 3 sudu tepung gandum dan dikaup balik. Tujuan kaedah dikaup balik adalah supaya ianya dapat memerangkap udara. Jadi kuih bahulu akan lebih ringan dan tahan lama. Jika kurang gandum, boleh tambah.
Masukkan acuan ke dalam oven dan panaskan seketika sebelum dilenser dengan minyak masak.
Tuang adunan ke dalam acuan sehingga habis kesemuanya.
Bakar pada suhu 170C selama 15-20 minit atau sehingga berwarna keemasan. Bolehlah dikeluarkan dari oven dan dicungkil keluar dari acuan.
Sedia untuk dinikmati bersama teh O atau kopi O. Saya suka jika dapat mencicah bahulu dengan teh O.
Nota:
Ini kaedah orang dulu dulu. Kalau nak dicampurkan kesemua tepung ke dalam telur pun, boleh juga.
Jangan lupa rendam acuan bahulu dengan air asam jawa. Petua untuk kurangkan kuih melekat di acuan.
Ini kaedah orang dulu dulu. Kalau nak dicampurkan kesemua tepung ke dalam telur pun, boleh juga.
Jangan lupa rendam acuan bahulu dengan air asam jawa. Petua untuk kurangkan kuih melekat di acuan.
Mohon halalkan ilmu ini...
BalasPadamSilakan
Padam