Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Ikan Terubuk Bakar Dengan Air Asam Pencicah

Ikan Terubuk Bakar Dengan Air Asam Pencicah

Kebelakangan ini, saya melihat ramai berkongsi resepi dan video masakan di Instagram tapi saya akan tetap setia dengan blog. Blog adalah catatan peribadi yang akan menjadi rujukan bukan sahaja pada anak anak saya tetapi juga semua follower saya. Mudah mudahan begitu. Walaupun resepi simple semudah menyediakan air asam pencicah, saya tetap kongsikan di sini bagi melengkapkan resepi masakan. 

Ini adalah entri tertunggak sebelum saya mengalami demam disebabkan bacterial infection lagi. Sekarang saya masih bercuti sakit selepas dimasukkan ke ward selama beberapa hari. Doakan agar saya cepat sembuh ya. Harga sebuah kesihatan adalah tidak ternilai kerana bila kita sakit, tiada gunanya wang berjuta atau intan berlian. Tiada orang yang mahu sakit. Jom kita bercerita sedikit mengenai lauk ikan terubuk. 

Semasa ke Pasar Taman Tun beberapa minggu lepas, saya beli seekor ikan terubuk yang kelihatan sangat gemuk dengan telur yang sangat banyak. Saya menanya harga telur ikan tenggiri dalam 4 keping dah berharga RM17. Maknanya telur dalam ikan terubuk ni, hampir separuh dari telur ikan tenggiri yang saya tanya. 

Kebelakangan ini, tengok benda semua rasa nak makan. Tapi bila masuk ke mulut jer, tak sampai dua tiga suap, dah rasa hilang selera. Teringat apa yang dibaca, jika dulu nak makan itu ini, duit tak ada. Tapi sekarang, bukan sebab duit, tapi sebab selera makan dah berkurang. 

Ikan Terubuk Bakar Dengan Air Asam Pencicah

Kalau ikan terubuk, saya suka samada digoreng atau dibakar sahaja. Saya mahu menikmati keenakan isi ikannya. Bagi menjadikan tulangnya lebih mudah dibuang ketika di makan ialah dengan cara menarik ikan terubuk dengan memegang ekor dan kepalanya. Ditarik beberapa kali sehingga ada bunyi tulang. Selepas itu, barulah boleh disiang seperti biasa. 

Jom layan resepi air asam pencicah yang saya guna hari ini. Air asam mestilah pekat dan melekat di ikan yang di cicah. Tidak boleh cair. Tak sedap. Boleh klik di SINI untuk melihat air asam pencicah yang dihidang bersama daging bakar.  

Ikan Terubuk Bakar Dengan Air Asam Pencicah

Ikan Terubuk Bakar dan Pencicah Air Asam  

Bahan bahan:
4 ulas bawang merah 
1 biji tomato - belah 2
1 tangkai cili merah - buang biji dan potong 2
10 tangkai cili api 
Segenggam asam jawa 
Belacan - opsyenal
1 sudu besar gula
1 sudu kecil garam
1-2 biji limau kasturi


Cara cara:
Ramas ramas asam  jawa dengan 1 cawan air. Tapis dan ambil jusnya. Tuang ke dalam blender.

Tomato, cili dan bawang dibahagi dua. Satu bahagian dikisar bersama air asam jawa. Satu bahagian lagi dipotong dadu. 

Kisar jus asam jawa, bahan kisar bersama belacan, gula dan garam. Kisar sehingga halus. 

Masukkan juga ke dalam blender separuh daripada bahagian tomato yang dibelah dua, 2 biji bawang merah, separuh daripada cili yang di potong dua, belacan, gula dan garam. Kemudian kisar sehingga halus.

Kemudian tuang ke dalam mangkuk. Masukkan sebahagian lagi bahan yang di potong dadu atau dihiris kecil. Kacau sehingga sebati. 

Akhir sekali, masukkan perahan jus limau kasturi dan sedikit kulit limau yang dihiris nipis nipis. Jika terlalu pekat, boleh tambah sedikit air. Jangan terlalu cair, tak sedap. 

Kacau sehingga semuanya bergaul rata. Sesuaikan rasa dan boleh dihidangkan. 

Ikan Terubuk Bakar Dengan Air Asam Pencicah


1 ulasan for "Ikan Terubuk Bakar Dengan Air Asam Pencicah"

  1. telan air liur......susah nak jumpa terubuk sekarang.harapan saya azie terus dgn blog sebab saya x ade instagram ke, twitter ke

    BalasPadam