Sambal Tempe Berlado
Saya baru perasan, ada entri ini yang masih dalam bentuk draft. Memang dah lama sangat ni. Saya belajar resepi tempe berlado ini dari seorang pekerja Indonesia yang saya panggil Mami.
Dia dulu selalu datang membersihkan rumah dan juga mengurut saya. Bila datang ke rumah saya, dia akan tidur di sini untuk mengurut saya selepas solat Isyak. Saya memang percayakan dia. Tapi itu dulu lah, sekarang ini, saya rasa adalah lebih baik untuk kita tidak terlalu mempercayai orang 100%.
Masih ingat lagi masa dia mengurut saya diceritakan bahawa masa kempen PRU, dia dan kawan kawan Indonesia beliau selalu dapat banyak duit dari calon calon yang bertanding. Itu masa PRU sebelum ini lah.
Untuk resipi hari ini, saya guna hanya 8 tangkai cili merah. Kalau nak sambal yang banyak memang kena lebihkan lagi cili merah. Jadikan 10-12 tangkai. Hahaha tapi sebab cili merah kan mahal, saya terpaksa kurangkan. Lagi pulak, anak anak tak makan. Hanya saya dan Hubby jer yang makan. Untuk resipi ini, saya tambahkan dengan ikan bilis goreng.
Jom layan resepi yang saya gunakan hari ini dan cara penyediaannya di bawah ini. Selamat mencuba...
Sambal Tempe Berlado
Oleh: Azie Kitchen
Bahan bahan:
2 keping tempe - hiris nipis
Ikan bilis - goreng garing & tos
Garam secukupnya
Kunyit hidup
10-12 tangkai cili merah
4 biji bawang merah
Asam keping
Sedikit gula
Cara cara:
Tempe yang dihiris nipis digaul dengan garam dan kunyit hidup yang ditumbuk halus. Panaskan minyak dan goreng tempe sehingga garing. Angkat dan tos.
Tumbuk kasar kasar cili merah dan bawang merah. Saya suka ianya kasar kasar sedikit. Kalau mahu dikisar, guna pengisar tanpa air.
Dengan menggunakan sedikit minyak, tumis bahan tumbuk dengan api perlahan sehingga ianya menjadi sedikit kering.
Masukkan gula dan asam keping. Jika belum cukup masin, masukkan secubit garam kerana garam telah dilumur pada tempe.
Akhir sekali, tutup api dan bila sedikit suam, baru dimasukkan tempe yang telah digoreng supaya tempe kekal rangup. Sedia untuk dihidangkan.
Nota:
Jika suka boleh dicampur terung yang digoreng bersama dengan tempe. Jika suka sambal yang banyak, boleh tambah bahan.
Catat Ulasan for "Sambal Tempe Berlado"
Add your comment