Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Southern Yellow Chicken Rice aka Nasi Ayam Goreng Sedap



Southern Yellow Chicken Rice Azie Kitchen


Dah beberapa hari, asyik memasak dan berkongsi resepi lauk pauk berasaskan daging korban jer. Entri masakan berdaging pun meletop letop sejak beberapa hari ni. Hari ini, kita tukar selera pula kepada masakan berasaskan ayam. Kot hari hari daging, jemu pulak. Nanti tak pasal pasal tekanan darah naik jadi tinggi pulak, bila makan secara berlebihan. Hahaha. 

Setiap kali menjelang musim perayaan samada Hari Raya Aidil Fitri atau Hari Raya Aidil Adha atau lain lain perayaan, pasti kaum wanita akan memikirkan juadah untk dihidangkan pada keluarga masing masing. 

Tapi rasa seperti tak lengkap, jika dalam senarai juadah tersebut tidak termasuk salah satunya yang berasaskan nasi. Kalau raya, kita tak mahu lah sekadar sediakan nasi putih. Lagi pulak, kalau nasi putih mesti kena masak sekali pelbagai lauk pauk. 

Sekarang ini, saya lebih mementingkan kualiti masa, tak mahu lama lama berperuk di dapur. Sebaliknya mahu banyak bersama keluarga atau mengisi masa untuk pengisian rohani diri sendiri. 

Jawapan dan caranya, ialah sediakan menu yang ringkas, mudah, cepat dan yang paling penting sedap dimakan. Haaa sempurna gitu. Jadi saya biasanya akan memilih resepi nasi yang didatangkan dengan satu atau dua lauk sampingan sahaja. Contohnya seperti nasi ayam, nasi tomato, nasi minyak dsb. Tak perlu banyak lauk. 

Hari ini saya ingin kongsikan resepi yang sangat istimewa, ia itu ala ala nasi Briyani Thailand yang dikenali dengan nama Southern Yellow Chicken Rice. Bukan sahaja sedap tapi cepat disediakan dengan tak perlu disediakan lauk pauk lain. Nasi pun sedap dan berperisa. Nasi ini sangat popular satu waktu dulu dan pernah menjadi viral. 

Walaupun telah lama berhajat untuk mencubanya tapi asyik tertangguh kerana saya perlu masa yang sesuai. Masa ketika semua anak anak, ada di rumah. Barulah berbaloi memasak untuk dimakan ramai ramai. 

Nasi ini dimakan dengan sos yang dibuat dari cili hijau, daun ketumbar, halia, cuka, daun bawang dan garam. Tapi saya menyediakan Sambal Cili Nasi Ayam versi adik saya, Cik Su Hasliza di SINI dan di SINI

Sambal Cili ini pasti 'win' di kalangan kami berbanding saya menyediakan sambal yang belum pasti digemari anak anak. Saya menyalin resepi yang juga dikenali sebagai Nasi Ayam Goreng ini dari blog Mamasya di SINI.




Southern Yellow Chicken Rice Azie Kitchen


Saya menerima banyak pertanyaan samada melalui message atau meninggalkan komen bertanya kalau mereka tak ikut resepi, bagaimana hasilnya? Istilah yang diguna ramai blogger adalah derhaka pada resepi. Susah juga untuk saya menjawabnya. Jadi, memang lah jadi. Tapi jadi dengan enak lazat atau sekadar ok sahaja. 

Jika boleh, saya syorkan anda mengikut resepi yang ditulis, barulah hasilnya sedap. Ramai yang bertanya apa yang saya gunakan sebagai menambah perasa dalam masakan saya. Jika saya memasak antara bahan yang boleh dikatakan wajib saya masukkan ialah serbuk perasa. Malah ianya adalah antara bahan masakan yang sentiasa ada di dapur rumah saya. 

Kebiasaannya saya menggunakan serbuk perasa Maggi Cukup Rasa. Kalau tidak menggunakan serbuk perasa, saya akan menggunakan serbuk atau kiub pati ayam sebagai menambah keenakan sesuatu masakan saya. 

Saya harap anda semua dapat mencuba resepi ini sebagai hidangan keluarga masing masing. OK jom sekarang kita layan resepi di bawah ini. Seperti biasa, jangan lupa untuk melihat video penyediaan di Instagram dengan klik di Instagram Azie Kitchen dan youtube Azie Kitchen channel di SINI untuk video berdurasi lebih panjang. Bagi yang belum follow facebook Azie Kitchen, boleh klik link di SINI. Jangan lupa untuk share kan hasil dan kejadian masakan anda pada saya ya.



Southern Yellow Chicken Rice Azie Kitchen

Nasi Ayam Goreng @ Southern Yellow Chicken Rice 

Bahan-bahannya: 
1 ekor ayam - di potong 12 
1 sudu besar serbuk kunyit
1 sudu besar rempah kari
1 sudu besar Maggi Cukup Rasa

Cara cara:
Ayam dilumur dengan serbuk kunyit, serbuk kari dan serbuk perasa. Biarkan seketika supaya ianya mesra dan sebati. Goreng seperti biasa tapi jangan sampai garing. Angkat dan ketepikan. 






Bahan Utk Nasi 
4 cawan beras basmathi - cuci dan tos
4 1/2 cawan air - atau secukupnya
1/2 cawan susu cair - boleh juga guna santan 
1 sudu besar minyak sapi + 2 sudu besar minyak masak 
1 sudu besar rempah kari ayam atau daging
1/2 sudu kecil serbuk kunyit
1/2 labu bawang besar - hiris
2 batang kulit kayu manis, 2 biji buah pelaga dan 3 kuntum bunga lawang 
1/2 kiub pati ayam Maggi
Garam - jika perlu
Sedikit serbuk lada hitam 
2 helai bay leaves - saya guna daun pandan

Bahan Tumbuk Kasar:
1 inci halia
4 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih

Bahan Lain:
Timun
Buah tomato
Daun sup/daun ketumbar 
Bawang goreng

Cara-Cara:
Panaskan minyak sapi dan minyak masak dan tumiskan bunga lawang, kayu manis dan buah pelaga serta bahan bahan yang ditumbuk kasar sehingga wangi. 

Masukkan rempah kari dan kacau rata sebelum dimasukkan sedikit air. 

Masukkan beras, daun pandan, serbuk kunyit dan kacau hingga sebati atau mesra dengan rempah rempah tadi. 





Pindahkan beras ke dalam rice cooker. Tuangkan 1/2 cawan susu cair dan 4 1/2 cawan air. Masukkan kiub pati ayam. 





Susunkan ayam goreng diatasnya. Masak nasi seperti biasa sehingga masak. 

Setelah masak, ceduk nasi dan ayam ke dalam pinggan dengan berhati hati supaya nasi tidak patah dan ayam kekal cantik. Jika suka, boleh tabur daun ketumbar dan bawang goreng. 



Southern Yellow Chicken Rice Azie Kitchen


Bolehlah dihidangkan dengan Sambal Cili Nasi Ayam bersama tomato, timun dan salad atau dengan Salsa. 




Sambal Cili

5 tangkai cili yang saiz panjang - kalau saiz biasa guna 10
1 biji buah tomato
2 sudu besar cuka 
2 sudu kecil Maggi Cukup Rasa atau secukupnya
2 sudu besar gula pasir 

Masukkan kesemua bahan di atas di dalam blender dan kisar sehingga hancur. Tapi jangan terlalu hancur pula. Tak perlu masukkan air kerana tomato akan menghasilkan air. 

Hanya menggunakan blender secara pulse sahaja. Sesuaikan rasa dan sedia untuk dihidangkan. 




Azie
Azie Selamat datang ke blog Azie Kitchen. Saya seorang isteri dan ibu bekerjaya yang punya minat mencuba resepi masakan bila punya kelapangan masa. Ingin berkongsi resepi yang diperolehi dari kawan kawan atau dari blog blog yang telah dicuba. Saya ingin mengisi masa dengan melakukan sesuatu yang boleh memberi manafaat yang berpanjangan samada di dunia dan juga akhirat. Saya akan memaparkan pengalaman sendiri dalam kehidupan seharian saya di dalam bab masak memasak. Semua GAMBAR adalah HAK CIPTA TERPELIHARA! Harap minta izin terlebih dahulu jika ingin mengambil atau menggunakan gambar gambar di dalam blog ini. Sebarang komen atau pandangan, amat dialu alukan. Sekian terima kasih.

2 ulasan for "Southern Yellow Chicken Rice aka Nasi Ayam Goreng Sedap"

  1. nampak sedap dan mudah. nnt Qekra nk cubalah ;)

    BalasPadam
    Balasan
    1. Jom buat hujung minggu. Tak payah sedia lauk lain dah

      Padam