Satu Malam Di Kota Bharu
Kali ini saya ingin menyambung catatan perjalanan kami ke Kota Bharu sebelum ini di SINI. Haji Kamaruddin dan Dr Hamidah menghantar kami ke hotel sebelum mereka bertolak ke airport. Kami check in di Hotel Perdana dan sebelah malam telah berjanji dengan Dato Alias yang juga menginap di hotel yang sama untuk keluar makan nasi kerabu Azma di Pasir Pekan. Bilik hotel memang luas dan sangat cozy. Sementara menunggu waktu makan malam, saya mengambil kesempatan untuk melelapkan mata bagi memberi sedikit kelegaan kepada badan yang meminta rehat. Maklumlah Kota Bharu sangat panas dan kemarau. Orang yang baru hendak baik dari demam seperti saya, memang badan akan mengalami kejutan bila tiba tiba terus aktif selepas seminggu hanya berkurung di rumah sahaja.
Selepas solat Maghrib, kami bertolak ke Restoran Nasi Kerabu Azma. Memang ramai sekali orang yang sedang beratur panjang. Memang sangat sedap nasi kerabu nya dan bermacam lauk pauk ada disediakan. Antaranya yang saya makan dan sedap ialah Ayam goreng merah, solok lada, ikan celup tepung, telur masin dan bawang jeruk. Ada juga daging bakar tapi saya tak ambik pun. Selain nasi kerabu, juga ada dijual nasi berlauk dan nasi dagang.
Ramai adik beradik Dato Alias dan Datin Khasani yang hadir termasuklah Bonda Dato' sendiri. Mereka membawakan kek harijadi sempena harijadi Dato. Kami beramai ramai menyanyikan lagi harijadi sebelum acara memotong kek.
Selepas makan, kami berempat singgah minum di Grand River View Hotel sambil menikmati persembahan live band oleh kawan Dato Alias sendiri. Dato Alias juga telah sudi menyanyikan 2 lagu pada malam itu. Memang best suara Dato Alias. Lagu Bila Bulan Berbicara dan Epilog Cinta dari Bromley yang dipilih beliau pula memang puitis dan syahdu.... Saya diberitahu yang penyanyi wanita tidak dibenarkan menyanyi di Kelantan.
Kami keluar dari hotel setelah persembahan live band tamat. Terus balik ke hotel untuk berehat bagi memulakan hari berikutnya. Kami berjanji dengan Dato Alias untuk bertemu di lobi pukul 8.30 pagi keesokannya...
Catat Ulasan for "Satu Malam Di Kota Bharu"
Add your comment