Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Sambal Tumis Sotong Bertelur Pujaan Hati


Sambal Tumis Sotong Bertelur


Saya ingin kongsikan sedikit petikan Kuliah Jumaat Ustazah Fadilah berkenaan Kitab Riyadhus Shalihin. Ustazah kongsikan berkenaan dalam banyak banyak solat sunat, solat tahajjud yang paling teratas. Allah sebenarnya mengejutkan kita tiap tiap malam. Dalam satu malam, kita pasti terjaga samada kerana dahaga atau terjaga untuk ke tandas dsb. Jadi kalau dah bangun, tu kerjakan lah solat tahajjud paling kurang pun sebanyak 2 rakaat dan lepas itu, sambunglah tidur jika terlalu mengantuk.  Waktu yang paling afdhal untuk mengerjakan solat tahajjud ialah sepertiga malam, iaitu antara pukul 3-4 pagi. Boleh juga dikerjakan solat tahajjud sebelum masuk waktu Suboh. 



Sambal Tumis Sotong Bertelur

Ianya umpama pokok buahan yang berbuah di hujung musim. Boleh dimakan walaupun tak sedap. Lebih baik dari langsung tak mengerjakannya. Bukan syarat sah tahajjud, untuk kita mesti tidur dulu. Tapi sebaik baik nya tidur sekejap. Sebaik baik puasa selepas berpuasa di bulan Ramadhan ialah puasa pada bulan Muharram. Paling kurang hari Isnin dan khamis dalam bulan Muharram. Sesiapa yang berpuasa pada 10 Muharram akan diampunkan dosa setahun yang lalu. Dosa dengan Allah. Bukan dosa dengan yang lain lain. Dosa dengan Allah seperti solat di akhir waktu, ada rasa sombong diri dsb. Berdosa dengan manusia, masih perlu memohon kemaafan dari manusia juga. Jadi elakkanlah mengumpat dan mengata orang lain kerana ianya adalah dosa yang mungkin perlu dilunaskan di akhirat kelak.

Hari ini saya nak kongsikan sambal tumis sotong. Bukan resepi luar biasa pun tapi sajalah nak kongsi kan. Nanti tak ada pulak bahan untuk update blog kan? Ada yang kata blog dah kurang pembaca dan sekarang ramai beralih pada instagram. Pada pendapat saya sendiri, saya masih sukakan blog jika mahu mencari apa apa maklumat seperti resepi dsb. Blog ditulis dengan penuh kasih sayang dan tanggungjawab. Nak menulis kena ada bahan, kena letak gambar, kena formatkan dll. Di blog dikongsikan detail sesuatu masakan, cara penyediaan dsb. Sedang fb atau Instagram lebih santai dan seolah touch and go sahaja. Tak personalise. Itu pendapat saya sahaja, jangan kecam sayaaa. Instagram hanya untuk mengisi masa lapang, bolehlah. Layan layan mata sebelum bershopping online. 

OK sekarang masuk bab sambal tumis.  Memasak sambal tumis yang sedap tidaklah susah tetapi perlu tahu teknik menyediakan sambal yang betul. Saya belajar memasak darkeluarga, dari kawan kawan dan sentiasa memperbaiki diri dari masa ke semasa. Hatta nak memasak sambal tumis pun saya tetap belajar hingga kini. Lebih lebih lagi sambal tumis adalah lauk kegemaran suami dan anak anak. Saya masih ingat belajar tips untuk menghasilkan sambal yang berwarna cantik dan berkilat dari arwah Kak Ena ketika saya baru menjejakkan kaki di alam pekerjaan. Bayangkan telah hampir 30 tahun. 

Untuk menghasilkan masakan yang sedap memerlukan latihan dan latihan. Tidak cukup sekadar menpunyai pengetahuan semata. Tapi kena dipraktikkan. Sejak itu, saya memang mengamalkannya. Kemudian saya belajar pula dari sepupu saya cikgu Wan Faizah setelah merasai sambal tumis ikan bilis beliau yang sangat sedap. Hari ini, saya saja cuba letakkan sedikit kunyit hidup kerana saya ada terbaca tips dari orang yang berniaga nasi lemak yang kunyit hidup boleh menjadikan sambal tumis kita berwarna lebih cantik.

Hari ini saya memasak sotong baki dari sotong yang saya Masak Kicp Pedas di SINIJom layan resepi sambal tumis sotong bertelur yang saya gunakan hari ini. Sambal tumis mestilah sedikit ada rasa manis, barulah sedap...



Sambal Tumis Sotong Bertelur

Sambal Tumis Sotong Azie Kitchen

Bahan bahan:
500 gram sotong - jika bertelur lagi sedap
20 tangkai cili kering - guna 5 sudu besar cili kisar
1 biji bawang besar - dihiris, saya tak letak
2 sudu besar gula pasir atau secukup rasa
Sedikit gula merah/gula Melaka
Garam
1 asam keping
Sedikit santan/susu cair - opsyenal

Bahan kisar:
1 biji bawang besar
8 ulas bawang merah
4 ulas bawang putih
1 inci halia
Sedikit kunyit hidup
Sebesar ibu jari belacan bakar - opsyenal

Cara cara:
Masak sotong dalam kuali seketika sehingga air sotong keluar. Angkat dan tos airnya. Sotong sedia untuk digunakan dalam masakan.




Kisarkan bahan kisar dengan menggunakan minyak masak. Kisar sehingga lumat.

Panaskan minyak yang banyak, tumis bawang besar hiris sehingga naik bau sahaja. Masukkan bahan kisar dan kacau rata. Perlahankan api dan terus dikacau dengan api perlahan.

Masukkan cili kisar dan terus masak sehingga cili benar benar masak dan terbit minyak. Ianya memakan masa agak lama. Jika minyak kurang, bolehlah ditambah ketika menumis.

Setelah terbit minyak, masukkan gula terlebih dahulu dan kacau rata. Gula akan menjadikan warna sambal menjadi cantik dan berkilat.

Masukkan sotong dan kacau rata. Tuang sedikit air mengikut kepekatan sambal yang disukai. Masukkan air asam jawa/asam keping dan garam. Nota: menurut kakak ipar saya, warna sambal lebih cantik jika menggunakan asam keping.





Kacau rata sehingga sotong dan sambal masak dan mesra. Jangan terlalu lama kerana sotong akan menjadi liat.



Sambal Tumis Sotong Bertelur


Nota:
Sambal lebih sedap jika disediakan sehari sebelumnya.
Azie
Azie Selamat datang ke blog Azie Kitchen. Saya seorang isteri dan ibu bekerjaya yang punya minat mencuba resepi masakan bila punya kelapangan masa. Ingin berkongsi resepi yang diperolehi dari kawan kawan atau dari blog blog yang telah dicuba. Saya ingin mengisi masa dengan melakukan sesuatu yang boleh memberi manafaat yang berpanjangan samada di dunia dan juga akhirat. Saya akan memaparkan pengalaman sendiri dalam kehidupan seharian saya di dalam bab masak memasak. Semua GAMBAR adalah HAK CIPTA TERPELIHARA! Harap minta izin terlebih dahulu jika ingin mengambil atau menggunakan gambar gambar di dalam blog ini. Sebarang komen atau pandangan, amat dialu alukan. Sekian terima kasih.

4 ulasan for "Sambal Tumis Sotong Bertelur Pujaan Hati"

  1. Kak Azie, that looks delicious! I love lots of rempah to go with rice.

    BalasPadam
  2. sedapnya kakakkkkkkkkkkk

    BalasPadam
  3. Kenapa kita perlu masak dahulu n tos air sotong ye?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Supaya sambal tidak terlalu cair dan jika masak lama utk mengeringkan, sotong akan jadi liat.

      Padam