Rendang Ayam Pencen Yang Sedap
Lagi beberapa hari kita nak beraya, jadi saya hari ini macam nak masak rendang minang untuk berbuka. Insya Allah kami di London rasanya akan beraya lebih awal dari Malaysia kerana kami mula berpuasa juga lebih awal. Saya mula berpuasa masa di Mekah. Sempat lah berterawih satu malam di masjidil haram.
Jadi itu lah, bila buka blog saya, baru perasan yang saya belum klik publish. Saya masak lama dulu sempena cuti panjang Sambutan Maal Hijrah. Saya memasak Rendang Ayam pencen yang dibeli semasa mencari isi perut ayam untuk Rendang Kacang Panjang Nismilan di SINI.
Ayam pencen memang sesuai dimasak rendang kerana dagingnya yang pejal. Bila memasak rendang, kita perlu mengacau selalu supaya ianya tidak hangit. Jadi bila menggunakan ayam pencen, ianya tidak lah hancur seperti mana menggunakan ayam biasa. Bila dimasak lama lama, rupanya pun dah jadi macam rendang minang yang berwarna gelap.
Secara jujur saya memasak masa tu, main campak campak sahaja. Tidak mengikut sukatan sukatan. Tapi memasak rendang, perlu menggunakan bahan yang banyak supaya serdak dan rencahnya banyak. Saya memasak versi ekspress, bila semua bahan dimasukkan ke dalam blender dan kisar sahaja. Saya tak hiris bahan bahan. Lagi sedap kalau bawang dihiris.
Jom layan resepi yang saya gunakan hari ini. Saya kena agak agak sukatan berdasarkan bahan yang saya gunakan tadi. Seperti yang saya tulis di atas, jika ingin menghasilkan rendang seperti ini, kena guna ayam pencen.
Rendang Ayam Pencen
Oleh: Azie Kitchen
Bahan bahan:
Bahan bahan:
1 ½ ekor ayam pencen
1 kg santan segar pekat
1 - 2 helai daun kunyit
3 keping asam keping
3 sudu besar kerisik
Garam
Gula Melaka
Gula
Bahan kisar:
Bahan kisar:
Segenggam cili kering - boleh tambah atau dikurangkan
10-12 biji bawang merah
4 ulas bawang putih
1 inci halia
1 inci kunyit hidup
1 inci lengkuas
3 batang serai
Cara cara:
Cara cara:
Tuang bahan kisar dan ayam ke dalam kuali. Masak sehingga air ayam agak kering. Kemudian saya tambah air untuk menjadikan ayam empuk. Saya tambah air berkali kali sehingga agak agak ayam empuk.
Tuang pula santan pekat dan terus masak sehingga santan hampir kering, masukkan daun kunyit, kerisik, asam keping, gula, gula Melaka dan garam. Masak sehingga santan kering dan pecah minyak.
Tuang pula santan pekat dan terus masak sehingga santan hampir kering, masukkan daun kunyit, kerisik, asam keping, gula, gula Melaka dan garam. Masak sehingga santan kering dan pecah minyak.
Perlahankan api dan sentiasa dikacau sehingga minyak kembali meresap pada ayam dan rendang menjadi kering seperti rendang minang. Sesuaikan rasa. Bolehlah tutup api. Nota: pastikan daun kunyit dimasak bukan sekadar ditabur atas rendang.




Catat Ulasan for "Rendang Ayam Pencen Yang Sedap"
Add your comment