Khamis, 24 Februari 2022

Masak Lemak Pedas Ayam Kampung Dara Organik


Seharian saya dan Juita menghabiskan masa di Euro Moda dan Jakel Mall sehingga kepala pening kerana baru teringat belum makan apa apa dari pagi. Saya memang suka sangat kalau dapat seharian berada dalam gedung fabrik. Memang mengasyikkan. 

Kalau dulu dulu, bila stress jer saya akan menjamu mata di kedai kedai yang menjual kain. Balik jer campak dalam bag. Tak sempat berjahit. Itulah bila ada maid yang lari dari rumah kami dulu, bawa lari sekali berbelas pasang kain yang saya beli. Zaman tu, kain tidak lah semahal sekarang RM500-RM700 dah boleh beli sepasang Italian Silk. 

Tapi kini memang tak bolehlah bermimpi lagi. Harga sepasang dulu, boleh beli se meter jer. Kadang kadang hati merungut juga kenapa harga barang asyik naik sahaja. Macam mana lah anak anak nanti nak membeli itu dan ini. Harga semeter kain beaded lace di Jakel paling murah pun RM1200. Kalau nak beli, kenalah tunggu masa jualan jumbo.


Selepas balik dari Jakel Mall, singgah lagi sekali di Euro Moda kerana ada kain chiffon yang warnanya tidak ada di Jakel. Sebelum itu, singgah makan di A&W makan sebiji burger seorang. Sesampai di rumah, terus ke dapur kerana anak bujang yang tinggal sorang sorang kat rumah, dah kelaparan. 

Saya memang telah keluarkan ayam siap siap dari freezer dan telah siap siap mengupas bawang bawang. Balik cuma perlu ditumbuk dengan lesung batu. Gara gara melihat orang share masakan di IG, saya dah jadi terlebih rajin untuk menumbuk dengan lesung batu pula. Lepas ni nak cari lesung batu yang besar dan berat.

Jom layan resepi mudah dan sedap ini. Ada yang menulis pada saya yang masak lemak tak ditumis. Memang lah tak ditumis. Tapi tak salah kalau mahu ditumis. Yang penting mudah dan selesa pada diri masing masing dan sedap rasanya. 

Resepi ni boleh jer di ubahsuai mengikut citarasa masing masing. Resepi ini dibubuh belacan tapi saya sekeluarga memang alahan dengan belacan. Jadi kami tak letak. Resepi asal diletakkan seketul belacan untuk menambah keenakan masakannya. 


Masak Lemak Pedas Ayam Kampung Dara Organik
Oleh: Azie Kitchen

Bahan tumbuk:
8 ulas bawang merah
4 ulas bawang putih
½ inci hidup
4 tangkai cili padi kampung 
4 batang cili merah
Belacan - opsyenal

Bahan lain:
1 ekor ayam kampung
Daun kunyit
Garam
1 keping asam
1 kotak santan kotak

Cara cara:
Panaskan sedikit minyak dan tumis bahan tumbuk serta daun kunyit sehingga wangi. Masukkan ayam. Dan dikacau rata agak agak ayam kecut. 

Masukkan santan. Kacau rata. Bila mendidih masukkan asam keping dan garam. Sesuaikan rasa dan sedia untuk diangkat.

Nota:
Boleh keluarkan asam keping selepas masak supaya tidak terlebih masam. 

Boleh juga menggunakan udang atau ketam.


Add your comment