Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Kari Daging Pada Hari Malaysia


Kari Daging


Saya ingin kongsikan sedikit intipati dari kuliah Maghrib Ustaz Hamin bab Hadis 40 yang sangat sangat terkesan di hati. Ianya bukanlah kali pertama saya mendengarnya tetapi saya rasa tidak puas mendengar pesanan dan peringatan hadis berkenaan taqwa. Penjelasan yang sangat padat dan sama sama kita mengambil iktibar. Pertama berkenaan taqwa. Taqwa bererti takut pada Allah maknanya kena buat apa yang disuruh dan tinggal apa yang dilarang. Takutlah pada Allah di mana sahaja kamu berada. Takut di sini berbeza dengan takut pada makhluk seperti takut pada harimau yang kita perlu menjauhkan diri darinya kerana takut. Takut pada Allah adalah dengan membina benteng yang boleh menjauhkan kita dari kemurkaan Allah. 


Kari Daging

Kedua, kita disuruh iringkan setiap amal buruk dengan amal baik. Nescaya kebaikan akan menghapuskan dosa dan kesalahan tadi. Ini merupakan satu kaedah lain mendapat pengampunan dosa selain dari beristighfar. Contoh selepas kita maki pada orang, terus iring dengan melakukan kebaikan seperti bersedekah. Inilah peluang untuk membersihkan diri dari dosa. Cara lain untuk hapuskan dosa ialah dengan membaca surah Al Ikhlas sebanyak 10x. Bukan sahaja kita mendapat pahala kerana membacanya tapi juga dapat menghapuskan dosa yang dibuat tadi. Pahala membaca surah Al Ikhlas sebanyak 3x menyamai pahala khatam Al Quran. Bukan bermakna bila dah khatam, tak perlu lagi membaca Al Quran. Kena juga baca kerana membaca Al Quran sendiri ada fadilat yang lain. Inilah cara cara yang diajar Allah supaya hambaNya dapat menghapuskan dosa. 

Islam sangat mudah. Tak ada birokrasi dalam memohon keampunan dari dosa. Dalam Islam, tak perlu cerita berkenaan dosa dan kesalahan yang telah dilakukan kepada sesiapa pun. Allah membuka pintu taubat 24 jam sehari walaupun ada waktu yang mustajab seperti 1/3 malam. Bila bila masa pun boleh minta ampun dengan Allah. Syaratnya mesti ada menyesal dalam hati. Allah tahu kalau kita menyesal atau tidak. Ada sahabat bertanya, Taubat itu apa, Ya Rasululllah. Taubat adalah penyesalan, jawab Rasulullah. Akhir sekali, hendaklah berakhlak yang baik dengan orang lain termasuk bukan muslim. 

Kari Daging


Seperti yang ditulis sebelum ini, saya terpaksa mencari ruang untuk memasak. Pertamanya kerana hanya kami bertiga sahaja di rumah. Hubby menpunyai banyak aktiviti kerja di sebelah malam. Aween pula tidak mengambil makanan yang berat di sebelah malam. Jadi agak tidak berbaloi untuk memasak untuk saya seorang. Kedua pula kerana masa sekarang seolah bergerak pantas walaupun tetap 24 jam sehari. Jalanraya yang sesak menyebabkan saya tiba di rumah pukul 6.00 ke atas. Jika saya memasak, pastinya saya tidak dapat ke surau untuk kuliah maghrib. Jadi saya perlu memberi keutamaan pada apa apa yang patut diutamakan dalam hidup. Kali ini saya hanya ingin berkongsi resepi biasa sahaja iaitu kari daging. Ianya adalah sebagai lauk untuk dimakan Juita yang sedang bercuti semester.

Jom layan resepi kari daging saya pada hari ini. Jika mahu sedap, letakkan sedikit gula Melaka kerana ianya akan menambah lemak.... 


Kari Daging

Kari Daging
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
1/2 kg daging
5-6 ulas bawang merah - hiris
3 ulas bawang putih - hiris
1 inci halia - hiris
1 batang kayu manis
3 bunga lawang
1 sudu besar kerisik
2 1/2 sudu besar rempah kari daging
1/2 sudu kecil pes asam jawa
Garam
Gula/gula Melaka
1 kotak santan - campur air secukupnya

Cara cara:
Panaskan minyak dan tumis kulit kayu manis, bunga lawang, bawang putih, halia dan diikuti dengan bawang merah sehingga bawang putih kekuningan dan bawang merah layu.

Masukkan rempah kari kering (tak dibancuh dengan air). Kacau rata dengan cepat dalam 1-2 minit. Masukkan sedikit air. Kacau lagi sehingga ianya terbit minyak.

Masukkan daging dan sedikit santan cair. Terus masak sehingga daging empuk dan santan terbit minyak. 

Masukkan pula kerisik, garam dan gula serta santan pekat. Kacau sehingga santan terbit minyak cantik. Bolehlah tutup api dan sedia untuk dihidangkan dengan nasi putih atau dicicah dengan roti.


Azie
Azie Selamat datang ke blog Azie Kitchen. Saya seorang isteri dan ibu bekerjaya yang punya minat mencuba resepi masakan bila punya kelapangan masa. Ingin berkongsi resepi yang diperolehi dari kawan kawan atau dari blog blog yang telah dicuba. Saya ingin mengisi masa dengan melakukan sesuatu yang boleh memberi manafaat yang berpanjangan samada di dunia dan juga akhirat. Saya akan memaparkan pengalaman sendiri dalam kehidupan seharian saya di dalam bab masak memasak. Semua GAMBAR adalah HAK CIPTA TERPELIHARA! Harap minta izin terlebih dahulu jika ingin mengambil atau menggunakan gambar gambar di dalam blog ini. Sebarang komen atau pandangan, amat dialu alukan. Sekian terima kasih.

4 ulasan for "Kari Daging Pada Hari Malaysia"

  1. Kak azie..saya peminat resepi akak. Akak nk tnya..rempah ni akak guna brand apa utk kari ayam atau daging .. thanks akak

    BalasPadam
  2. Mcm sedap.. Nk try la..hehe

    BalasPadam
  3. Air asam jawa masuk masa bila?

    BalasPadam