Kuah Lodeh Dengan Sambal Ikan Bilis Sedap Versi Dr Nana
Tahun ini Nana menyediakan Kuah Lodeh mengikut resepi beliau sendiri. Katanya resepi yang telah digunakan sejak bertahun tahun. Kuah lodeh ini dimakan dengan Sambal Ikan Bilis yang juga sangat sedap. Bukan mahu memuji tetapi saya kagum dengan Nana yang pandai merasai apa yang dimasak. Kalau saya, memang agak kurang keyakinan diri, berkali kali dicuba dan dirasa untuk mengetahui kalau ianya telah secukup rasa masin, manis dan masamnya. Ada ketika sibuk meminta talian hayat. Talian hayat yang paling setia adalah Encik Hubby. Dah boleh agak, skripnya... Jawabnya mesti, OK. Dua hari berturut turut, Nana menyediakan lontong dan kuah lodeh. Hari raya kedua, untuk dihidangkan pada kawan kawan beliau yang datang beraya.
Sebenarnya lontong dan kuah lodeh adalah juadah baru dalam hidup saya. Maklum zaman masa saya kecil kecil di kampung di Kelantan dulu, tidak ada yang menyediakan makanan ini. Kiranya saya belajar makan lontong pun, setelah bekerja. Seingat saya, bukan sahaja lontong tetapi rendang juga tidak pernah dimasak oleh keluarga saya, saudara mara atau jiran jiran saya. Ketupat palas, makanan wajib setiap kali raya hanya dicicah dengan nnise cair atau telah siap mempunyai inti sambal daging di dalamnya. Betapa simplenya juadah kami sewaktu itu. Arwah Bonda menyediakan ketupat palas, tapai bungkus dalam daun pisang, nasi impit dan kuah kacang. Tiada biskut raya dan tiada rendang merendang. Namun kami meraikan hari raya dengan penuh kegembiraan dan kesyukuran. Kenangan menyambut hari raya ketika itu, tetap segar di ingatan.
Jom layan resepi kuah lodeh yang sangat sedap ini. Seperti mana kita tahu, banyak versi kuah lodeh yang dikongsikan. Jadi kalau mahu menambah kepelbagaian resepi kuih lodeh, bolehlah dicuba kuah lodeh versi Dr Nana pula....
Lontong dan Kuah Lodeh Versi Dr Nana
Oleh: Azie Kitchen
Bahan Kisar:
8 ulas bawang merah
1/2 biji bawang besar
2 ulas bawang putih
2 sudu besar udang kering
2 sudu besar ikan bilis
1 inci kunyit hidup
1 inci kunyit hidup
1/2 inci halia
1 sudu besar cili kisar - atau 10 tangkai cili kering
2 sudu kecil jintan manis dan jintan kasar
Sedikit belacan
Bahan bahan:
1/4 biji kubis
1/4 biji sengkuang - potong panjang
1 batang karot - potong panjang
6 batang kacang panjang
2 biji terung panjang
1 biji kentang - potong 8
2 keping fucuk - rendam dan potong kecil
1 ikat soo hoon - rendam dan potong kecil
1 keping tempe - potong dadu besar dan goreng
2 keping tauhu - potong kecil dan goreng
2 batang cili merah - hiris
4 helai daun salam
2 batang serai - ketuk
1/2 jari lengkuas - ketuk
1/2 jari lengkuas - ketuk
1 - 2 cawan udang hidup - buang kulit
2 santan kotak
Garam secukup rasa
Cara cara:
Panaskan minyak dan tumis bahan kisar serta serai ketuk sehingga wangi. Masukkan santan cair dan masak sehingga hampir mendidih, masukkan udang diikuti dengan sayur yang jenis keras sehingga sayur yang lembut.
Masukkan santan pekat dan setelah mendidih, masukkan soo hoon, tauhu kering, cili merah serta garam. Sesuaikan rasa dan kepekatan. Sedap dimakan dengan Sambal Ikan Bilis dan juga telur rebus. Klik di SINI untuk resepi Sambal Ikan Bilis yang sedap.
Saya dah try recipe ni. 2x sy try... 1st utk poluck kt office dan 2nd adik2 request.... kwn2 komen semua sedap.... tp saya tk ltk jintan manis n kasar...sbb tak ade kt dapur...anyway tq for recipe...
BalasPadamTq kak.. Saya selalu refer resipi akak kalau first time nak masak something
BalasPadamKak bpe org boleh mkn ni...klu nk buat utk 100org agak2 byk mn ye...
BalasPadam