Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Tart Permata Nur Qaseh Yang Gebu Lagi



Tart Permata Nur Qaseh Yang Gebu


Sekali lagi saya menyediakan kuih tart bagi menghabiskan baki inti jem nenas. Masih menggunakan resepi tart permata Nur Qaseh yang saya telah gunakan sekian lama. Jika sebelum ini di SINI saya membuat tart gulung, kali ini saya membuat tart ala ala nenas yang ditoreh dengan pisau sahaja. Lebih mudah dan lebih cepat berbanding tart landak yang perlu digunting di SINI. Kali ini saya membuat kuih tart kecik comey bite size yang memang sangat senang dimakan kerana ngam ngam masuk jer ke dalam mulut. Dapat 38 biji untuk 1 adunan doh.



Tart Permata Nur Qaseh Yang Gebu

Sebelum saya menayangkan sekali lagi resepinya, saya ingin melahirkan kesyukuran, syukur, syukur Alhamdulillah yang tidak terhingga ke hadrat Allah Taala yang Maha Pengasih lagi  Maha Penyayang kepada hamba hambaNya. Doa yang saya panjatkan setiap hari dan doa yang saya pohon dengan penuh rintihan di hadapan Multazam telah dimakbulkan. Saya terus melakukan sujud syukur dan ingatan serta bayangan arwah Bonda seolah menjelma. Duhai Bonda, anakanda akan mengirimkannya  buat Bonda dan ayahanda di sana. Sebelum anakanda menyusul, akan anakanda lakukan segala pesanan Bonda dahulu. 



Tart Permata Nur Qaseh Yang Gebu

Ianya bukan kerana kekuatan saya tapi kerana Allahlah yang menentukan segala galanya. Hanya Allah yang menentukan rezeki setiap makhlukNya. Saya meletakkan sepenuh keyakinan kepada Nya dan memohon hanya kepadaNya. "Allah Allahu Robbi, La Usyriku Bihi Syai Aa. Allahlah Tuhanku. Aku tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu". Terima kasih tidak terhingga kepada Kak Ana, sahabat saya yang amat dikasihi yang tidak jemu menyokong dan membantu. Apa yang saya doakan tidak signifikan untuk diketahui tapi apa yang saya ingin kongsikan di sini ialah berdoalah setiap hari. Perbanyakkan amalan ibadah sunat dan sentiasa mengingatiNya di setiap saat. Saya berjanji dengan diri sendiri untuk menambahkan ketaatan saya. Di umur yang sebegini, tiada apa lagi yang saya kejarkan selain memperhambakan diri padaNya. Dunia dicari sebagai sandaran untuk menambahkan ketaatan kepadaNya. Seperti diajar oleh Ustaz Hamidi, saya memperbanyakkan berdoa, Ya Allah bantulah daku untuk selalu mengingati Mu dan selalu mensyukuri nikmat Mu. 



Tart Permata Nur Qaseh Yang Gebu

Hari tidak selalunya malam, kerana akhirnya selepas fajar, siang pasti akan menjelma. Itu adalah ketetapan cakerawala yang telah Allah tentukan. Roda juga beputar dan berubah kedudukan atas dan bawah. Ujian diberi kerana kasih sayang Allah pada diri ku untuk membolehkan saya lebih mendekati dan mencintai Allah. Sesungguhnya Allah tidak pernah memungkiri janjiNya. Tapi saya tidak mahu terus terleka kerana di dunia, tiada satu pun kejayaan hakiki. Selepas memiliki suatu yang diidamkan, akan ada lagi suatu yang lebih tinggi dan mulia dari apa yang telah dimiliki yang akan menjadi idaman seterusnya. 

Sekarang saya sertakan sekali lagi resepinya di bawah ini sekiranya ada yang tidak menyalinnya sebelum ini. Boleh klik link yang diberi untuk melihat kuih tart yang saya hasilkan sebelum ini. 


Tart Permata Nur Qaseh Yang Gebu

Tart Permata Nur Qaseh Lagi

Bahan bahan:
8 oz/226 gram tepung naik sendiri 
5 oz/141 gram mentega
2 sudu besar air ais
Secubit garam, jika guna unsalted butter
Kuning telur + sedikit air + pewarna kuning telur - sapu di atas tart

Cara cara:
Satukan mentega yang dipotong dadu dan tepung. Ramas ramas sehingga rata sebelum dimasukkan air ais. Gaul sebati sehingga ianya menjadi adunan doh yang lembut dan tidak melekat di tangan.

Masukkan doh ke dalam plastik dan simpan di dalam peti ais selama 30 minit hingga 1 jam. Sedia untuk dicanai dan terap menggunakan acuan tart bunga atau apa apa yang disukai. Untuk hari ini, saya buat tart nenas yang ditoreh toreh di atas doh yang telah siap. 



Tart Permata Nur Qaseh Yang Gebu

Tart Permata Nur Qaseh Yang Gebu

Tart Permata Nur Qaseh Yang Gebu


Sapu kuning telur di bahagian atas. Susun dalam loyang yang dilenser sedikit mentega. Bakar dalam oven pada suhu 170C selama 30 minit atau sehingga bahagian bawahnya berwarna perang sedikit. 


Inti Tart Nenas

Bahan bahan:
1 Ib/454 gram isi nenas parut 
1/2 Ib/227 gram gula pasir
Bunga cengkih dan kayu manis
Daun pandan
Sedikit pewarna kuning - opsyenal

Cara cara:
Nenas diparut dan ditoskan airnya. Boleh juga jika nenas dihancur menggunakan food processer atau blender. Kemudian timbangkan isi nenas.

Masukkan semula, nenas, jus nenas, gula, daun pandan serta bunga cengkih dan kayu manis ke dalam kuali dan masak di atas api perlahan sambil terus dikacau sehingga ianya tak melekat di daun pandan dan berkilat. Jangan terlalu kering.

Sejukkan dan siap untuk digunakan.



Azie
Azie Selamat datang ke blog Azie Kitchen. Saya seorang isteri dan ibu bekerjaya yang punya minat mencuba resepi masakan bila punya kelapangan masa. Ingin berkongsi resepi yang diperolehi dari kawan kawan atau dari blog blog yang telah dicuba. Saya ingin mengisi masa dengan melakukan sesuatu yang boleh memberi manafaat yang berpanjangan samada di dunia dan juga akhirat. Saya akan memaparkan pengalaman sendiri dalam kehidupan seharian saya di dalam bab masak memasak. Semua GAMBAR adalah HAK CIPTA TERPELIHARA! Harap minta izin terlebih dahulu jika ingin mengambil atau menggunakan gambar gambar di dalam blog ini. Sebarang komen atau pandangan, amat dialu alukan. Sekian terima kasih.

3 ulasan for "Tart Permata Nur Qaseh Yang Gebu Lagi"