Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Gulai Kawah Kambing Untuk Majlis Tahlil


Gulai Kawah Kambing


Gulai Kawah Kambing ini disediakan semasa majlis tahlil malam ke3 pemergian Bonda ke rahmatullah pada 28 Ogos 2014 iaitu pada pagi hari khamis setelah sebulan terlantar dek sakit tua. Semoga Allah mencucuri rahmat dan kasih sayangNya kepada kedua ibubapa saya yang semasa hidup mereka sangat tekun melakukan ibadah dan amalan soleh. 

Yang paling penting, mereka meninggalkan anak anak yang beriman dan beramal soleh yang akan sentiasa berdoa dan memberikan manafaat kepada mereka. Untuk majlis seperti ini, kebiasaannya kakak saya akan memanggil tukang masak untuk memasak gulai kawah kambing tapi kali ini, kami anak beranak jer sama sama mengerjakannya. 


Gulai Kawah Kambing

Atas sebab itulah, saya dapat melihat penyediaannya dari mula sehingga akhir. Maklumlah kalau belajar dengan hanya berpandukan resepi, pasti kita tidak akan dapat menghasilkan lauk yang sama seperti yang disediakan tukang masak. Saya menyalin semua sukatan bahan yang digunakan sebagai bahan asas. Namun begitu, ikutlah citarasa masing masing, bolehlah tambah apa apa yang disukai.

Gulai kambing secara gulai Kawah Kelantan adalah lauk kegemaran saya. Saya tidak berapa gemar lauk kambing yang dimasak seperti di restoran dan gerai di sini. Hanya jika dimasak gulai kawah secara Kelantan, barulah saya makan menambah nambah. 

Kuah gulai kawah ini sedap juga dicicah dengan roti bata. Lebih sedap lagi jika gulai kawah kambing dimasukkan sekali mumban nyior yang diambil dari kelapa muda. Oleh kerana ramai yang bertanya, saya sertakan di bawah ini gambar mumban nyior dan cara menghirisnya.





Untuk menghasilkan gulai kawah yang sedap, petuanya ialah rempah gulai mestilah dikacau lama lama sehingga betul betul masak dan keluar minyak. Kemudian dimasukkan daging, lagi sekali kena dikacau lama lama sehingga air daging betul betul kering dan naik minyak lagi sekali. Kalau tidak, ianya akan sedikit berbau hamis...

Jom semak resepi...


Gulai Kawah Kambing

Gulai Kawah Kambing Dengan Mumban Nyior

Bahan bahan:
1 ekor kambing - 10 kg 
¾ kg rempah gulai kawah
¾ kg minyak masak
½ kg bawang merah
3 labu bawang putih
3 - 4 inci halia
Bunga lawang, buah pelaga dan kayu manis
2 kg santan
4 jug air atau secukupnya
1 besen mumban nyior - rendam dengan air garam dulu
3 genggam garam kasar
4 keping gula Melaka
2 sudu besar gula
4 sudu besar pes asam jawa

Cara cara:
Sebahagian dari kuantiti bawang dan halia di hiris dan selebih dikisar. Panaskan minyak dan tumis bawang merah, bawang putih dan halia yang dihiris bersama rempah penumis sehingga kekuningan. 

Masukkan rempah gulai kawah dan tumis sehingga ianya benar benar garing iaitu, keluar minyak. Kata orang Kelantan, sehingga rempahnya tidak lagi nampak seperti ber "selut". 





Masukkan pula bawang yang dikisar dan kacau lagi sehingga sebati. 






Setelah itu, masukkan daging kambing dan mumban nyior dan terus masak sehingga air daging kering dan keluar minyak seperti gambar di bawah. 







Setelah keluar minyak, masukkan santan pekat dan air secukupnya. Masukkan garam, gula Melaka, gula dan pes asam jawa. Kacau sehingga mendidih dan daging empuk. 





Sesuaikan rasa dan kepekatan kuah, bolehlah ditutup api. Bila dah sejuk, kuah akan menjadi sedikit pekat, jadi kena sesuaikan kecairan kuahnya. Sedia untuk dihidangkan. 




Gulai Kawah Kambing


Saya meratah 2 mangkuk sebaik sahaja ianya masak terutama rasa mumban nyior yang sangat manis.



Azie
Azie Selamat datang ke blog Azie Kitchen. Saya seorang isteri dan ibu bekerjaya yang punya minat mencuba resepi masakan bila punya kelapangan masa. Ingin berkongsi resepi yang diperolehi dari kawan kawan atau dari blog blog yang telah dicuba. Saya ingin mengisi masa dengan melakukan sesuatu yang boleh memberi manafaat yang berpanjangan samada di dunia dan juga akhirat. Saya akan memaparkan pengalaman sendiri dalam kehidupan seharian saya di dalam bab masak memasak. Semua GAMBAR adalah HAK CIPTA TERPELIHARA! Harap minta izin terlebih dahulu jika ingin mengambil atau menggunakan gambar gambar di dalam blog ini. Sebarang komen atau pandangan, amat dialu alukan. Sekian terima kasih.

14 ulasan for "Gulai Kawah Kambing Untuk Majlis Tahlil"

  1. sedapnya..mesti xberbau kan..timm xmkn kmbing sbb kekdng berbau..huhu..

    BalasPadam
  2. asalam azie, aduh sangt terliur tengok gulai kawah kambing ni nak kena cari kambing jugak ni esuk lusa

    BalasPadam
  3. Rempah kari tak de dalam bahan but you mentioned it dalam cara membuat nye.. Perlu pembetulan kut..

    BalasPadam
  4. As Salam singgah
    memang sedappp terutama dirumah kenduri makan ramai-ramai, waktu kemuncak makan..hehe
    Kat sebelah utara panggil 'mumbang nyok'...

    BalasPadam
  5. Azie, mumban nyior yg you maksudkan tu... adakah umbut kelapa? sebab I tgk dalam gambar tu mcm umbut... kalau kat kampung I mumban maksudnya putik nyiur yg gugur.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Bukan umbut tapi dari buah kelapa yg muda.

      Padam
  6. Assalam kak Azie,
    kita cuba tinggalkan comment kat sini semalam ingatkan dah lepas tak masuk rupanya..huhu
    kita pernah makan gulai kawah dipahang..rasanya ada macam kari gitu..
    gulai kawah pahang & gulai kawah kelantan lain rasanya ya..?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Wslm. Tak sama. Memang tempat lain rasa macam kari cuma dimasak dlm kawah. Kelantan mmg guna rempah khas yg membezakan rasanya dg gulai kawah tempat lain.

      Padam
  7. Assalam kak Azie,
    Rempah gulai kawah tu ada specific nama dia tak? mcm rempah bunga ros tu ke?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Kalau kat tempat saya, tak ada nama. Cakap nak gulai kawah, depa akan sukat dan timbang.

      Padam
  8. Assalam kak azie kat mne nk dptkan rempah gulai kawah tu yew?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Rempah gulai kawah banyak dijual kedai runcit dan pasar di Kelantan

      Padam
  9. Dah 2 tahun sejak pkp tak mengikuti azie kitchen Dan Che Nom, sekarang saya buka balek menu masakan Azie kitchen

    BalasPadam