Selasa, 7 Mei 2019

Daging Masak Kicap Mudah dan Sedap

Daging Masak Kicap Mudah dan Sedap

Hari ini adalah hari kedua umat Islam berpuasa di bulan Ramadhan. Jadi di bulan ini, kita sama sama berusaha melakukan penyucian dari segala penyakit hati supaya bila keluar dari bulan Ramadhan, kita akan dibebaskan dari segala dosa. Apa yang dikatakan penyakit hati. Banyak lah. Penyakit hati ini, semua orang tahu. Antaranya ialah hasad dengki, riak takbur dan ujud. 

Bagaimana nak mengubat penyakit yang ada dalam hati kita. Salah satu darinya ialah dengan menanam sikap sabar yang tinggi. Untuk bersabar memang berat. Sabar dan solat. Kedua duanya adalah sukar untuk dilakukan. Solat dengan kusyuk adalah sesuatu yang susah. 

Sabar juga sesuatu berat. Mudah untuk disebut bila kita tidak mengalaminya sendiri. Tapi bila kita mengalaminya, tengok lah bagaimana tingkah laku kita sebagai contoh bila rumah kita menpunyai masalah seperti gangguan bekalan elektrik atau air. Masa tu baru kita tahu jika mudah atau susah untuk bersabar. Bila kita ditimpa masalah atau musibah, Allah menyuruh kita supaya bersabar dan solat. OK sekarang kita pindah pula pada bab masakan. 

Saya percaya antara lauk yang popular di bulan Ramadhan adalah masak kicap. Tak kiralah ayam masak kicap, daging masak kicap, telur masak kicap atau apa apa sahaja. Satunya kerana kicap biasanya adalah kegemaran anak anak. Keduanya memasaknya cukup simple, cepat dan mudah. 

Daging Masak Kicap Mudah dan Sedap

Hari ini saya menyediakan lauk daging masak kicap bukan untuk berbuka tetapi sebagai lauk bersahur. Makanan sahur tidak boleh berlemak sangat, boleh hilang selera. Makan yang simple simple seperti ini pun dah cukup. Digandingkan dengan timun dan telur dadar pun dah cukup sedap. Telur dadar digoreng garing garing. Wallaa. Makan pula dengan nasi putih panas panas. 

Lebih sedap jika menggunakan beras yang mahal. Saya pun sebenarnya baru sahaja menukar pada beras mahal. Sebagai anak petani, saya hanya makan nasi dari beras yang ditanam sendiri oleh kedua ibubapa. Jadi saya rasa nasi itulah sedap. Tak tahu lah pula ketika itu, ada nasi yang lebih sedap.

Satu hari Nelly yang ketika itu masih di bangku sekolah balik mencadangkan supaya kami menukar pada beras yang mahal selepas makan nasi yang sedap di rumah kawannya. Lepas itu, barulah kami beli beras basmathi. Bukanlah dari dulu dulu makan beras mahal. Maklumlah kami bukan orang yang asal kaya tetapi hanya makan gaji sahaja.

Jom layan resepi daging masak kicap versi campak campak saya hari ini. Kalau daging itu jenis keras, bolehlah rebus dulu atau rebus menggunakan pressure cooker. Jadi waktu memasak lebih singkat. Tak perlu lama lama menunggu daging empuk. Selamat mencuba...


Daging Masak Kicap Mudah dan Sedap

Daging Masak Kicap Mudah dan Sedap
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
250 gram daging batang pinang
1 sudu besar cili kering kisar
1 sudu besar sos cili
3-4 sudu besar kicap manis
Sedikit cuka
1 biji bawang besar - hiris
4 tangkai cili padi - atau cili hijau dan merah
Daun bawang/daun sup/daun ketumbar

Bahan tumis:
3 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
1/2 inci halia 
1 batang serai - ketuk
1 batang kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang

Cara cara: 
Daging dipotong seperti kiub. Jangan dihiris nipis atau kecil. Daging kemudiannya dilumur garam dan serbuk kunyit. Ketepikan. Sementara itu, boleh sediakan bahan bahan lain.

Panaskan minyak dan tumis bawang putih, bawang merah dan halia yang dihiris. Masukkan sekali bunga lawang dan kayu manis serta serai. Tumis sehingga wangi. 

Masukkan cili kering kisar dan kacau rata sehingga cili garing. Masukkan daging dan kacau rata. 

Masukkan sedikit air dan biarkan daging sehingga empuk. Jika belum empuk, boleh tambah air.

Daging Masak Kicap Mudah dan Sedap

Setelah daging empuk, masukkan sos cili, kicap manis dan cuka. Biarkan kuah mendidih lama lama supaya ianya sebati dengan air daging. Nota: masukkan air secukupnya untuk dijadikan kuah. 

Daging Masak Kicap Mudah dan Sedap

Akhir sekali, masukkan bawang besar yang dihiris, cili padi atau cili besar hijau dan merah. Sebelum dihidangkan, tabur dengan daun bawang atau daun saderi. 

Daging Masak Kicap Mudah dan Sedap

Daging Masak Kicap Mudah dan Sedap

Sedia untuk dihidang dan dinikmati. 

Nota:
Lebih sedap jika daging ada lemak dan urat urat halus antara daging. 



Add your comment
EmoticonEmoticon