Sabtu, 3 November 2018

Masak Lemak Cili Api Udang Harimau

Masak Lemak Cili Api Udang Harimau

Kalau hendak memasak suatu yang lebih istimewa, saya akan check dan pastikan anak anak ada di rumah. Maklumlah yang ada di rumah hanya Nana dan Nelly sahaja. Itu pun ada masa, Nelly makan di luar atau bertugas di luar. 

Teringat kata kata orang yang ketika muda, kita boleh makan apa sahaja tapi kita tidak mampu kerana keadaan kewangan yang tidak kukuh. Bila telah dewasa, kita mampu makan apa sahaja tapi kini kita pulak yang tidak boleh makan kerana masalah penyakit atau kurang selera dsb. Kenyataan ini sangat tepat sebenarnya. 

Masak Lemak Cili Api Udang Harimau

Dulu ketika baru bekerja, tak mampu untuk membeli udang laut yang bersaiz besar dengan gaji permulaan seorang lepasan ijazah yang hanya RM1060 sahaja. Kini walaupun gaji berpuluh kali ganda tapi udang  tidak lagi boleh dimakan kerana allergi. Itulah hakikat kehidupan yang pasti dilalui oleh setiap orang. 

Bila Aween memberitahu akan balik ke rumah kerana kuliah esoknya pada pukul 10.00 pagi, saya terus tukar plan. Tak jadi nak berehat dan gantung kuali. Sebaliknya saya ingin menyediakan masak lemak cili padi udang harimau yang bersaiz besar yang dihantar oleh @fishforitmy. Udang segar ini bersaiz memang sangat besar.  Kalau dapat udang seperti ini, makan seekor pun sudah memadai. 

Masak Lemak Cili Api Udang Harimau

Kali ini saya masak lemak cili api stail Nogori yang tidak menggunakan bawang. Saya memasak cara Nogori kerana saya suka lauk masak lomak nogori ini. Tapi seperti yang saya tulis sebelum ini, tidak hanya orang Nogori yang memasak lemak menggunakan cili api. Orang negeri lain pun memasak lemak menggunakan cili api juga tapi bukan cara Nogori yang hanya menggunakan kunyit hidup dan cili api sahaja. 

Jadi bila ditulis masak lemak cili api, tangan jangan laju nak tulis komen, "masak lemak cili api tak letak bawang dsb".  Itu cara berbeza antara seorang dengan seorang yang lain. Lagi pula memasak ni, kena ikut tekak dan selera masing masing. Kena ada innovasi. Baru tekak dapat makan pelbagai masakan. Bukan hanya satu jenis tu sahaja berhari berbulan dan bertahun. 

Untuk udang dan ketam, saya memang suka masak lemak walaupun saya tidak makan isinya kerana kuahnya yang manis manis sangat sedap digaul gaul dengan nasi putih. Lebih lebih lagi kalau kuah yang pekat pekat dan lemak. Wallaa sedap. 

Kalau memasak makanan laut seperti udang atau ketam, ada orang tak letak asam keping. Tapi ada ketika, saya letak juga 1/2 keping. Ada ketika saya tak letak langsung. Semua ikut mood.

Minggu ni minggu masak lemak, memang berturut turut hari saya memasak lemak. Bermula dengan masak lemak telur itik dengan jantung pisang di SINI, masak lemak cili api ikan tenggiri dengan petai kikis di SINI dan hari ini, masak lemak cili api udang harimau pula.

Jom layan resepi masak lemak udang harimau dan juga video penyediaannya di Azie Kitchen youtube channel di SINI

Masak Lemak Cili Api Udang Harimau

Masak Lemak Udang Harimau

Bahan bahan:
500 gram udang harimau
1 biji kelapa - santan
1/2 keping asam keping
1/2 helai daun kunyit - opsyenal
Garam

Bahan kisar:
12 tangkai cili api - cili api kampung, lagi sedap
1 inci kunyit hidup

Cara cara:
Masukkan bahan kisar halus ke dalam kuali dan masak sehingga ianya masak dan kering. 

Setelah kering, baru dimasukkan santan cair dan kacau sehingga mendidih dengan api perlahan. Masukkan daun kunyit.

Masukkan udang dan asam keping. Masak sambil terus dikacau supaya santan tidak berketul sehingga udang hampir masak. 

Masak Lemak Cili Api Udang Harimau

Akhir sekali, tuangkan santan pekat dan terus masak dengan api perlahan sehingga mendidih kecil dan tiada buih dalam kuah. Barulah kuah benar benar masak.

Akhir sekali, masukkan garam. Tutup api dan sedia untuk dihidangkan. Terus kacau beberapa minit lagi selepas api ditutup supaya kuah cantik dan tidak berketul. 

Masak Lemak Cili Api Udang Harimau

Nota:
Saya suka meletakkan daun kunyit yang dihiris. Hari ni saya tidak hiris, letak sehelai sahaja.


Add your comment
EmoticonEmoticon