Tuesday, 5 June 2018

Ayam Masak Kicap Mudah dan Sedap

Ayam Masak Kicap Mudah

Sebelum itu, saya tidak berniat untuk bercakap berkenaan politik terutama kes rampasan duit beratus juta yang hangat diperkatakan sekarang ini. Tetapi saya terpanggil untuk menulis selepas kawan saya menghantar WhatsApp duit gaji habis selepas 3 hari sedangkan ada orang ambik masa 3 hari untuk mengira duit. Haa lebih kurang macam tu lah. 

Ramai yang melihat saya sebagai seorang yang hidup senang. Tetapi sebagai seorang yang makan gaji, tidaklah sesenang yang mungkin dilihat orang. Lain lah dengan orang business atau orang politik yang duit mengalir masuk setiap masa. Apa lagi orang yang mendapat projek yang besar besar. Duit mungkin melimpah limpah. 

Namun bukan duit yang banyak menjadi ukuran tetapi rezeki yang barakah. Walaupun sikit, terasa cukup dan banyak. Orang yang kaya ialah orang yang sedikit kemahuannya. Bukan orang yang banyak pendapatannya. 

Kami juga bermula dari bawah. Saya dan suami berasal dari kampung. Bila bekerja di bandar kami memulakan kehidupan dari zero. Masih saya ingat selepas berkahwin, Hubby dapat berpindah dari Kuantan ke Shah Alam tanpa meminta apa apa transfer grant sebab katanya asal dapat bertukar. Ketika itu, saya menyewa di flat Kg Baru. Ketika menyewa kami ada ke Chow Kit membeli rak dapur, dapur gas dan beberapa biji pinggan, gelas dan peralatan memasak. 

Ayam Masak Kicap Mudah

Selepas Hubby pindah kami menyewa flat murah di Wangsa Maju. Pakai kereta pun, hanya Toyota LE. Begitu lah kehidupan yang sekadar cukup walaupun saya bergaji seorang graduan. Selepas anak lahir, perbelanjaan untuk orang menjaga anak lagi. 

Kehidupan hanya berharapkan gaji dan kenaikan gaji tahunan sahaja yang ketika itu RM60 setahun. Membuat pinjaman untuk melabur tapi hasilnya pelaburan lebur. Akhirnya membayar pinjaman bank bertahun tahun. Saya mengakui yang saya bukanlah seorang yang berjimat. 

Setiap tahun bila gaji bertambah, perbelanjaan juga bertambah untuk kereta, rumah, pembantu rumah, pendidikan anak anak. Setelah berpindah ke rumah sendiri, kami mengambil pembantu rumah untuk menjaga anak anak. Hidup di bandar semuanya memerlukan duit. Kalau di kampung, saya mengaji Al Quran secara percuma sahaja.

Saya melihat kehidupan saya dulu, kini dilalui oleh anak anak di mana selepas membayar rumah dan kereta, gaji mereka hanya cukup cukup sahaja. Itu pun mereka lebih baik dari ketika kami memulakan kehidupan kerana kami membantu mereka untuk membeli rumah dan kereta. 

Bila gaji bertambah, komitmen bertambah dari masa ke semasa bila kita bertukar kereta atau membina rumah baru. Rumah kami sekarang dibina dengan pinjaman yang sangat sedikit. Selebihnya saya menggunakan duit gaji bulanan dan juga kad kredit. Jadi boleh bayangkan kesukaran yang dihadapi untuk menyiapkan rumah ini. Namun berbaloi baloi walaupun ianya disiapkan selepas 4 tahun kerana banyak menjimatkan. 

Sebagai seorang yang makan gaji, saya tidak kata yang saya telah bebas hutang. Masih ada lagi sedikit baki pinjaman perumahan dan bank yang perlu dibayar setiap bulan. Namun begitu, setelah lebih 30 tahun bekerja, baru saya dapat rasakan duit yang lebih untuk dibelanja sesuka hati untuk diri sendiri untuk membeli barangan yang saya sukai dan juga untuk famili. Syukur kerana Allah memberikan rezeki yang tidak disangka sangka. Adalah juga lebihan duit untuk bersedekah dan beramal.  

Memang beruntung anak anak sekarang terutama yang ibubapa kaya raya dan berduit. Mereka tidak perlu merasai cycle kehidupan yang saya lalui untuk sampai ke tahap di mana saya berada kini. Ada anak anak yang baru berumur 2 tahun telah dibelikan jam Rolex yang berharga RM20 ribu. Hmm saya tidak pula rasa cemburu kerana apa yang didapati bukan sahaja akan dipersoal, tetapi ke mana dibelanja juga akan dipersoalkan. 

Apa yang saya nikmati hari ini, bukan kerana saya gigih, bijak tetapi kerana Allah yang memberi rezeki. Segala apa yang saya dahulu lalui adalah ujian Allah semata untuk menguatkan diri hari ini. Syukur Alhamdulillah kerana akhirnya saya hampir melepasi segala dugaan dan rintangan dalam kehidupan yang serba serbi memerlukan duit. 

Ayam Masak Kicap Mudah

Jadi kepada anak anak yang mula membina kehidupan, kena lah bijak dan hemah berbelanja serta kena rajin berusaha untuk mengubah kehidupan sendiri. Melabur dengan bijak di institusi yang diiktiraf. Di samping itu, perbanyakkan beristighfar kerana hakikatnya memiliki ijazah tidak menjanjikan kekayaan tetapi dengan istighfar segalanya akan menjadi lebih mudah. 

OK sedikit berkenaan lauk yang saya ingin kongsikan hari ini. Lauk Ayam Masak Kicap versi sempoi. Tapi serious sangat sedap. Masak lama lama dengan api perlahan supaya ayam mesra dengan kuah. Bau daun limau purut juga menjadikan lauk ini sangat sedap. 

Jika dibeli di Bazar Ramadhan, harga mahal dan dapat beberapa ketul sahaja. Dengan memasak sendiri, dapat sekuali. Boleh dimakan masa berbuka dan juga sebagai lauk bersahur. Bulan Ramadhan, saya kurangkan makan lauk pauk berlemak dan bersantan. Banyak masakan berasaskan air sahaja. Jom layan resepi yang saya gunakan hari ini. Klik di SINI untuk melihat video penyediaan yang saya sediakan....


Ayam Masak Kicap Mudah

Ayam Masak Kicap 
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
1 ekor ayam - lumur garam dan serbuk kunyit dan goreng
3 biji ubi kentang - hiris sederhana tebal
4 ulas bawang putih
4 ulas bawang merah
2 inci halia - yang muda
3-4 sudu besar sos tiram
4-6 sudu besar kicap manis
Minyak bijan - opsyenal
4 helai daun limau purut
1-2 biji buah tomato
6 tangkai cili padi merah dan hijau
Gula
Garam
Daun sup - opsyenal

Cara cara:
Tumis bawang putih dan bawang merah sehingga wangi. Masukkan cili padi. 

Ayam Masak Kicap Mudah

Masukkan ubi kentang, jika ubi kentang tidak digoreng terlebih dahulu  dan kacau rata. 

Masukkan sos tiram, kicap manis dan minyak bijan. 

Masukkan sedikit air secukupnya. Masukkan ayam. Biarkan masak dan mendidih dengan api kecil supaya ayam mesra dengan kuah. Kemudian masukkan ubi kentang yang telah digoreng.

Ayam Masak Kicap Mudah

Ayam Masak Kicap Mudah

Masukkan daun limau purut dan buah tomato. Akhir sekali masukkan garam dan gula secukup rasa. Sedia untuk diangkat. 

Ayam Masak Kicap Mudah

Nota:

Ubi kentang boleh juga jika tidak digoreng terlebih dahulu. Hanya masukkan kentang selepas ditumis bawang dan halia. 


Add your comment
EmoticonEmoticon