Isnin, 29 Januari 2018

Nasi Goreng Ikan Bilis dan Cili Kering Yang Sedap

Nasi Goreng Ikan Bilis dan Cili Kering Yang Sedap


Sejak balik dari bercuti, inilah masakan pertama yang saya masak di tahun 2018. Itu pun kerana saya memasak sarapan kerana memikirkan setiap pagi hari minggu, anak anak keluar membeli sarapan sendiri sendiri. Hubby juga menyokong dengan mengatakan teringin nak makan nasi goreng mama. Hahaha berbaloi baloi kerana Hubby dan anak anak makan sehingga ke petang. 

Kalau tidak, memang saya tidak masak pun kerana di sebelah tengahari ada kenduri menyambut menantu di rumah jiran dan selepas itu, kami menghadiri majlis harijadi dan akikah cucu Encik Zack Pengarah urusan Demi Idaman di Concorde Hotel Shah Alam. 

Nasi Goreng Ikan Bilis dan Cili Kering Yang Sedap

Sehari sebelumnya saya singgah di pasar malam untuk membeli bawang bawang dan bahan bahan lain yang telah lama tidak dibeli. 

Sebelum kita lihat resepi, saya ingin kongsikan sedikit. Sebetulnya hari ini, saya memasak dengan mood yang sangat suram. Entah kenapa 2 malam berturut turut saya bermimpi sesuatu yang tidak mengembirakan saya. 

Ya lah mimpi hanya sekadar mimpi, tapi ianya tidak sedikit sebanyak telah mengganggu emosi saya. Semoga apa yang saya mimpikan tidak pernah dan tidak akan terjadi dalam hidup saya. Aameen.

Meh sekarang kita layan resepi nasi goreng ikan bilis ala kampung yang sedap ini. Rasa cili kering yang kasar kasar memberikan perbezaan rasa dengan nasi goreng lain yang dimasak dengan cili merah atau cili boh. 

Saya juga ada menyediakan video di Azie Kitchen youtube channel. Harapan saya siapa yang membaca blog ini akan lebih faham dan lebih jelas selepas melihat video yang saya sediakan. Kalau terus tengok video, memang kena mengagaklah bahan bahannya kerana saya tidak letakkan resepi di sana. 

Jadi saya nak pesan pada yang masuk ke youtube channel saya, tak perlu sumpah seranah atau maki hamun saya dengan menggunakan perkataan mampos, sial, terasa dah pandai sangat dsb. Tak cukup itu, menyindir saya sebagai bisu, tidak ikhlas dan tidak bersungguh sungguh. Yang pasti, mereka bukan follower blog saya. Sekian lama saya berblog, tidak ada follower saya yang berakhlak sedemikian. 

Kalau tak berkenan di hati, sila jangan tengok kerana anda tidak hidup menongkat langit. Apa yang anda akan jawab di hadapan Allah kelak. Nama dah cantik, jadi akhlak pun biarlah cantik juga ya. Itu sahaja yang kakak nak tegur. Jangan pula dakwa saya di hadapan Allah kata saya tak tegur dan tak pesan. 

Juga kepada yang belum tahu, Azie kitchen juga ada Instagram iaitu aziekitchen. Jangan lupa follow dan kita berchatting di sana ya. 

Nasi Goreng Ikan Bilis dan Cili Kering Yang Sedap

Nasi Goreng Ikan Bilis dan Cili Kering 
Oleh: Azie Kitchen 

Bahan bahan:
1 mangkuk besar nasi putih 
Secekak kacang panjang - hiris halus
3-4 biji telur
1 sudu besar garam atau secukup rasa 
Serbuk perasa - opsyenal
5-6 sudu besar minyak masak

Bahan Tumbuk Kasar:
4-5 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
6 tangkai cili kering - rebus atau rendam air panas
Segenggam ikan bilis - rendam seketika supaya lembut

Cara cara:
Tumbuk cili kering dulu sebelum dimasukkan bawang bawang dan akhir sekali ikan bilis. Tumbuk kasar sahaja.  

Nasi Goreng Ikan Bilis dan Cili Kering Yang Sedap

Panaskan minyak dan tumis bahan tumbuk tadi sehingga garing dan wangi. 

Pecahkan telur ke dalam kuali. Biarkan seketika sebelum dikacau kacau. 

Nasi Goreng Ikan Bilis dan Cili Kering Yang Sedap

Masukkan nasi ketika telur masih belum masak sepenuhnya supaya telur bersalut pada nasi. 

Masukkan kacang panjang. Saya sengaja masukkan di akhir supaya ianya kekal rangup seperti nasi ulam. Nota: boleh juga dimasukkan selepas bahan tumbuk garing. 

Nasi Goreng Ikan Bilis dan Cili Kering Yang Sedap

Gaul rata dan masukkan garam dan serbuk perasa. Kacau sehingga kacang lembut. Sedia untuk diangkat dan dihidangkan. 

Sebelum dihidangkan, tabur dengan bawang goreng. Sedap dimakan dengan keropok atau keropok lekor. 


9 ulasan:

  1. sedapnya. lama tak makan nasik goreng pedas2 sbb budak2 tak suka pedas. tapi nampak kak azie masak mcm nak masak jugak ni haha

    BalasPadam
    Balasan
    1. Jom masak nasi goreng. Kami makan pagi, tengahari hingga ke malam.

      Padam
  2. nampak simple tapi mesti sedap sangat ni, nasi sejuk selalu ada je kat rumah esuk lusa nak try lah Azie nampak cili kering tu ngancam lah

    BalasPadam
  3. Singgah sini tengok resepi. 😀

    BalasPadam
  4. Salam Kak Azie.....asyik tengok cerita makan angin kat luar negeri, macam terlupa lak cerita pasal makan2 ya. rindu pulak tengok resepi kak azie kali ni...memang nilah resepi yg paling simple dan sedap labih2 lagi waktu darurat bila peti ais dah kosong...hehe

    BalasPadam
    Balasan
    1. Wslm. Simple tapi sentiasa menepati selera orang Malaysia kan

      Padam
  5. hrp2 dpt buat esok.. feveret ank2 ni..
    semenjak ada baby ni, jaaaarang sgt lh msk..
    anak asyik tarik kain je.. x bg ibu dia buat keja..😚

    BalasPadam
  6. Salam Pn. Azie,

    Saya adalah pembaca setia blog puan dan inilah kali pertama saya memberi komen diruangan ini.

    Tentang caci makian orang itu, persetankan je, kita memang tak dapat puaskan hati semua orang. Saya sangat suka rujuk resepi Pn. Azie, banyak yang telah saya cuba dan yang penting ia menjadi dan sedap!! Tkasih n keep on sharing ya..Assalamualaikum :)

    BalasPadam
  7. Gandingan keropok lekor dan nasi goreng memang best.

    BalasPadam

Add your comment
EmoticonEmoticon