Saturday, 9 December 2017

Hati Lembu Goreng Kunyit Pedas dan Bab Politik Manusia

Hati Lembu Goreng Kunyit Pedas Sedap

Hati Lembu Goreng Kunyit Pedas. Haaa itu lah resepi yang saya akan kongsikan hari ini. Hati ni penting. Kalau elok, maka elok lah perwatakan seseorang. Meh baca tentang ragam dan karenah manusia yang saya temui. 

Saya telah lama berazam untuk tidak beremosi di dalam social media. Tetapi kali ini, saya ingin meluahkannya di sini bab politik pejabat. Sekadar buat renungan dan peringatan semua kerana apa yang berlaku hari ini, tidak terhenti di sini. 


Sebaliknya ada pertanggungjawaban di hadapan Allah kelak. Hatta sebesar zarah tiada rekod yang akan tertinggal. Jangan kita menyesal dan terkejut ketika itu bila semuanya dibentangkan. Apalagi yang melibatkan hak dan penganiayaan pada orang lain. 

Saya memang tidak sempurna. Jauh dari sempurna. Apa yang saya cuba lakukan adalah yang terbaik di dalam keadaan serba kekurangan. Begitu juga dengan alam pekerjaan. Tiada yang sempurna dari pekerja bawahan sehingga orang nombor satu dalam organisasi. 

Saya berpegang dalam hal ini supaya saya redha dan ikhlas dalam apa yang saya lakukan. Namun sebagai manusia biasa saya sangat kecewa bila dipalitkan dengan sesuatu yang di luar dari tugas dan tanggungjawaban yang diamanah. Begitu mudah menuding jari mencari salah orang lain. Itulah politik pejabat yang sangat menjelikkan. 

Saya mahu menjadi seorang pekerja yang beriman. Pegangan saya ialah yang penting Allah Maha Mengetahui. Jadi saya tidak perlu kuatir dengan persepsi dan tohmahan manusia baik siapa pun mereka. Hatta setinggi mana pun pangkat dan kedudukan mereka. Kerana hakikatnya mereka juga amat lemah, punya pengetahuan yang terbatas dan pemikiran yang sangat sedikit. 

Apa yang saya mampu lakukan untuk mengubat hati yang sakit ialah dengan perbanyakkan istighfar. Insya Allah, hati dan mulut mereka akan dibekukan. Apa yang ada pada orang teraniaya? Hanya tawakkal dan doa. Doa adalah senjata. Senjata untuk mempertahankan diri dari serangan lidah tidak bertulang. Biarkan mereka. Biarkan. Biarkan. Lagi pun bak nasihat sahabat saya, bukan semua battles kita kena menang. Ya tepat sekali. 


Hati Lembu Goreng Kunyit Pedas Sedap


Sekarang saya ingin masuk sedikit bab resepi. Resepi hati lembu goreng kunyit pedas. Hati adalah segalanya. Bila bersih, akan bersih lah segalanya. Hahaha. Tapi hati adalah organ dalaman yang tidak boleh selalu diambil. 

Hati lembu adalah antara lauk kesukaan saya sejak kecil. Kini ianya juga turut disukai oleh Aween dan Nelly. Yang lain memang tak suka. Apalagi si doktor. Katanya tak bagus makan hati. 

Kalau tengok pada nama pun, boleh dibayangkan tak betapa mudahnya. Hanya digoreng garam kunyit dan ditambah cili untuk kasi pedas. Haa jadilah Hati Goreng Kunyit Pedas. Serious sedap. Sebab bila masak hati kena ada berempah atau rasa pedas, baru tak terasa hanyir atau bau. 

Jom kita layan resepi sedap dan mudah ini sebelum saya berehat untuk bercuti ke UK dua minggu lagi. Mesti cuba tau.

Hati Lembu Goreng Kunyit Pedas Sedap

Hati Lembu Goreng Kunyit Pedas
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
1/2 kg hati lembu 
1 biji bawang besar ~ hiris
2 tangkai cili hijau ~ dibelah 2
Asam jawa - campur sedikit air
1 sudu kecil serbuk kunyit
Maggi Cukup Rasa 
Garam 
2 batang serai - ketuk

Bahan tumbuk
3 ulas bawang putih
5 ulas bawang merah
1 inci halia
5 tangkai cili api - ikut pedas disukai

Cara cara:
Potong hati saiz agak tebal dan taburkan garam, serbuk kunyit dan Maggi Cukup Rasa. Jangan potong hati terlalu nipis, kurang sedap. 

Panaskan minyak dan goreng hati sehingga agak agak masak sahaja. Jika terlebih masak, hati akan jadi keras. Angkat dan ketepikan. 

Hati Lembu Goreng Kunyit Pedas Sedap

Dalam kuali yang sama, tumis bahan bahan tumbuk dan serai sehingga nampak wangi dan garing. Masukkan jus asam jawa. Kacau rata.

Hati Lembu Goreng Kunyit Pedas Sedap

Masukkan hati, bawang hiris dan cili  hijau.  Masukkan Maggi Cukup Rasa. Kacau sehingga bawang layu dan sambal kering serta bersalut dengan hati.  Angkat  dan sedia untuk dihidangkan. 

Hati Lembu Goreng Kunyit Pedas Sedap


Hati Lembu Goreng Kunyit Pedas Sedap

 Selamat mencuba. 


2 comments:

  1. Bersabar lah dgn ├║jian'yang datang... Allah maha mengetahui... Sedapnya lauk hati goreng... hehe

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih atas komen yang dpt menghibur hati yg tengah sedih.

      Delete

Add your comment
EmoticonEmoticon