1 Nov 2017

Mee Goreng Daging Yang Sedap

Mee Goreng Berdaging Yang Sedap

Mee goreng adalah antara makanan kegemaran saya sejak kecil lagi. Zaman dulu beli mee bodo atau dipanggil juga mee boko, mee dulang yang berharga RM1.00 hingga 50 sen. Jadi bila sekali sekala dapat makan mee yang digoreng panas dari kedai, kiranya seolah dapat makan steak Wagyu Tomahawk atau seekor lobster lah kalau zaman ini. 

Semasa berada di tingkatan enam, saya menumpang rumah abang saya di Bachok. Ketika itu, setiap kali balik dari sekolah, saya akan ke gerai mak cik yang menjual mee di pasar Bachok. Mee akan disediakan panas sebaik dipesan. Memang sangat sedap. 

Sehingga kini, saya masih merindui mee goreng mak cik itu. Apa kan daya, saya pun tak tahu siapa namanya dan di mana dia sekarang. Apa yang saya masih ingat, dia akan memasukkan sedikit air seperti kuah rebusan daging kot. Yang pasti hirisan asam limau nipis yang sangat sedap ditekak saya bila bergaul dengan mee.

Saya sebenarnya sangat sukakan mee atau mee hoon yang digoreng dengan dimasukkan daging. Tapi kalau makan di kedai, agak sukar ditemui kerana agaknya daging lebih mahal dan lebih lama untuk menyediakannya, untuk bagi ianya empuk. 

Jadi jika dipesan mee goreng atau mee hoon, kebanyakan diletakkan makanan laut seperti udang sotong atau diletakkan ayam. Jadi hari ini, kebetulan saya telah keluarkan daging batang pinang dari freezer untuk dibuat rendang, jadi saya ambil lah sedikit untuk dimasukkan sebagai perencah mee goreng. Yeaay sedap tau bila dimasukkan daging dalam mee atau mee hoon goreng.

Mee Goreng Berdaging Yang Sedap

Resepi ini telah banyak kali saya gunakan. Resepi biasa sahaja tapi teknik penyediaannya yang memberikan hasil masakan yang berbeza. Resepi ini saya belajar dari sahabat saya, Datin Yat. Boleh klik di SINI. Seperti biasa, bila makan mee goreng, harus kalau tak pun, wajib ada asam limau nipis yang saya akan perah di atas mee sebelum dimakan. 

Jom layan video yang telah saya kongsikan dalam Instagram Azie Kitchen untuk video penyediaan dan juga youtube Azie Kitchen channel di SINI dan untuk video Mee Goreng di SINI. Bagi yang belum follow facebook Azie Kitchen, boleh klik link di SINI. Tapi kalau untuk detail resepi dan cara cara penyediaanya, saya hanya kongsikan di blog sahaja. 

Video hanya untuk memberi sedikit idea cara saya menyediakannya. Memang penat bila membuat video. Dua kali juga iphone baru saya jatuh dalam kuali yang sedang di atas dapur. Adohaiii. Haru biru dibuatnya. Apa apa pun, jom layaannn...

Mee Goreng Berdaging Yang Sedap

Mee Goreng Sedap

Bahan bahan:
1 pek/500 gram mee kuning - basuh & tos
6 ulas bawang putih - ketuk & racik
2 sudu besar cili kisar
1 senduk sos tomato Maggi
1senduk kicap manis 
1 sudu kecil Maggi Cukup Rasa
Garam - jika perlu

Bahan lain:
Daging, udang dan sotong - kali ini saya guna daging
Sawi/kobis - atau kedua dua

Bahan tabur:
Daun sup/daun bawang
Cili merah
Bawang goreng
Perahan air limau nipis - opsyenal

Cara cara:
Panaskan minyak masak secukupnya. Tumis bawang putih hingga wangi, kemudian masukkan cili kisar. Tumis hingga cili benar benar masak dan garing. 

Kemudian dimasukkan daging. Kacau rata sehingga daging kecut dan separuh masak.


Kemudian dimasukkan sos tomato Maggi dan kicap manis dan Maggi Cukup Rasa. Kacau seketika.

Masukkan  1/2 cawan air. Biarkan ianya mendidih dengan api perlahan sehingga ianya menjadi sedikit pekat. Masukkan mee kuning bersama dengan sayuran.

Jika agak kering, bolehlah ditambah sos tomato Maggi dan kicap manis. Taburkan sedikit garam, jika perlu. Sesuaikan rasa. Kacau rata dan sedia untuk diangkat.

Mee Goreng Berdaging Yang Sedap

Sebelum dihidang, taburkan daun bawang, bawang goreng dan cili merah. Untuk saya, wajib di perah limau nipis sebelum dinikmati. 

Mee Goreng Berdaging Yang Sedap


12 ulasan

Ya allah sedapnya kak azie....SA nak buat la macam ni boleh bawak bekal pi kerja...buntu kadang- kadang tak tau nak masak apa

Jangan lupa tengok video di youtube juga ya

lama Qekra tak buat mee goreng, slalu anak-anak suka. nnt nak cuba mee goreng daging versi kak Azie ni ;)

Nnt share bagaimana hasilnya. Jika suka, blh tambah garam.

sedapnya kak...baru ari tu buat mi goreng daging ni..mi kuning kebetulan akak jiran yg buat...fresh lg,.,dijamin halal.. tp dalam sakit gusi bengkak pun layan jugak mi goreng daging nih...makan la sambil kunyah ala kadar (sebab gigi x leh rapat) dan telan slow2...huhu

Mee buat sendiri pasti sedap.tak banyak rasa kapur kan. tak ada bahan pengawet

betul kak..mmg xde rasa kapur cam mi kuning kita beli kat pasar tu... x muak bila makan... dulu x suka mi kuning sebab rasa kapur tu la..semacam jer rasa... huhuhu

Ya betul sebab pernah beli dg kawan yang mana emaknya sendiri membuat mee yang tidak diletakkan bahan pengawet. Mmg sangat lain rasanya

Ya Allah sangat menyelerakan kak :)
Teringat zaman kanak-kanak dulu sempat lagi merasa makan mee bungkus dalam plastik. Seringgit ja x silap. hehe

Hi Azie, this coming to you from Canada. Bahasa saya da masuk museum but boleh faham 25% what you blogged. I have not eaten this mee goreng more than 30 years!
Yours looks so good....I think makan dua round no problemos.

I love your previous ikan gulai...one of my long ago favourites, again long time ta'makan.
Can see you a gourmet cook.
Have a nice weekend, happy cooking and simpan satu lagu dalam hati.
Lee.


EmoticonEmoticon