Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Masak Lemak Cili Padi Daging Salai





Masak Lemak Cili Padi Daging Salai


Setiap hari, blog saya mencatat lebih antara 100 - 200 ribu page view. Saya sangat bersyukur dengan sokongan yang anda semua berikan. Namun, Instagram dan facebook saya tidak mendapat sambutan seperti blog. Bukan apa, bila mood saya ke laut, rasa kemalasan akan menjelma untuk terus menulis. 

Bayangkan Instagram saya dengan followers lebih 40 ribu tetapi hanya dalam 100-200 orang sahaja yang like. Tapi syukur Alhamdulillah, Allah telah mendatangkan seorang Hamba Allah yang telah menulis dan sudi membuat penampilan baru pada blog saya yang lebih integrated dengan Instagram, Facebook dan Youtube. Yang penting lebih mobile user friendly. Boleh buka blog Azie Kitchen, komen dengan hanya menggunakan mobile sahaja.

Saya sangat berterima kasih atas pertolongan dan semoga Allah memberikan rezeki yang melimpah ruah pada beliau dan keluarganya. OK itulah sedikit perkongsian tentang perubahan penampilan blog saya yang anda dapat tengok pada hari ini.

Beberapa hari lagi Juita akan berangkat ke UK. Sama sama doakan semoga semua urusan beliau dipermudahkan. Pesanan saya buat Juita supaya belajar rajin rajin dan jangan tinggalkan solat dan mengaji. Selebihnya ambil peluang untuk melancung dan melawat negara negara Eropah di kala cuti. Dan yang paling dia suka ialah bila saya mengesyorkan dia ke London masa summer sales untuk shopping. Dia ketawa bila saya berpesan, supaya berpakaian lebih elegan yang sesuai dengan seorang student di negara 4 musim. 

Saya memang suka melihat anak anak cantik bergaya. Penampilan adalah penting. Malahan anak anak saya yang telah bekerja seperti Nana dan Nelly juga, saya masih membelikan fabrik untuk pakaian mereka. Saya masih membayar untuk tempahan baju baju mereka. Saya faham mereka tidak mampu untuk mengeluarkan duit yang banyak untuk membayar designer.  

Beginilah kehidupan di zaman yang serba mahal ini. Anak anak yang baru bekerja, tidak akan mampu untuk melakukan segalanya tanpa bantuan ibubapa. Betul, kita harus mengajar anak anak untuk hidup berdikari seperti mana kita pernah melaluinya. Tapi mereka akan ketinggalan. Contoh untuk Nana membeli rumah, jika kami tidak membantu, dia akan mengambil masa yang lama untuk mengumpul duit untuk membayar deposit. Ketika itu, harga rumah mungkin akan lebih tinggi. Jadi mahu atau tidak, saya kena membantu membayar duit deposit pembelian rumah Nana. Begitu juga anak yang lain, saya ada sediakan tanah untuk mereka membina rumah. Semua ini telah saya rancang, lebih 20 tahun yang lalu bila saya berdikit dikit membayar ansuran bulanan pinjaman tanah.

Pendek kata tanggungjawab sebagai ibubapa tidak akan terhenti sehingga anak bekerja sahaja. Mungkin berterusan sehingga beranak cucu. Saya sendiri dulu dulu, setiap kali mengalami masalah, ibubapa lah yang saya cari. Contoh setiap kali ada masalah pembantu rumah, arwah ayah akan berjalan di kampung kampung berdekatan untuk mencari anak anak gadis yang mahu bekerja sebagai pembantu rumah. Kalau masih tak ada, mereka akan turun ke KL membantu buat sementara waktu.


Masak Lemak Cili Padi Daging Salai


Masuk bab masakan pula, ini merupakan kali kedua saya memasak lemak cili padi daging salai. Setiap kali saya memasak hari dah lewat petang. Haa apa yang jadi? hmm gambar pun tak cantik dan blurr kerana tak cukup cahaya. Tapi sebab first time dulu, dah tak ambil gambar, jadi kali ini saya teruskan juga merakam gambar dan video. 

Saya sebenarnya secara tiba tiba jer teringat nak memasak masak lemak selepas teringatkan lauk Masak Lemak Cili Padi Udang dengan pucuk pegaga yang dihidangkan semasa majlis resepi perkahwinan Syida, anak Datuk Seri Mohd Shafie Abdullah dan Datin Seri Rozita di Dewan Perdana FELDA minggu lepas. 

Memang sangat sedap dengan kuah yang cukup lemak, warna yang cantik, bau dan rasa daun kunyit serta udangnya yang sangat besar. Tak pernah lagi saya melihat majlis perkahwinan menghidangkan udang besar bersaiz 2 jari. Ya lah kalau buffet pasti mahal kerana mesti ramai peminat udang kan? Itulah sebabnya walaupun dah petang, saya tetap memasak juga kerana teringatkan keenakan masak lemak DSaji. 

Jom layan video dalam Instagram Azie Kitchen dan youtube Azie Kitchen channel di SINI untuk video berdurasi lebih panjang. Bagi yang belum follow facebook Azie Kitchen, boleh klik link di SINI. Jangan lupa like dan share ya...



Masak Lemak Cili Padi Daging Salai

Masak Lemak Cili Padi Daging Salai

Bahan bahan:
Daging salai 
1 keping asam keping
Garam
Serbuk perasa - saya tambah
1 helai daun kunyit
2 kotak santan kotak

Bahan tumbuk:
2 inci kunyit hidup
6 tangkai cili padi kampung

Cara cara:
Daging salai dihiris nipis dan basuh bagi membuang kesan arang dan habuk semasa proses menyalai. Masukkan dalam periuk bersama air dan direbus sehingga daging empuk. 




Masukkan bahan tumbuk dan rebus bersama daging supaya bahan tumbuk mesra bersama daging. Masukkan daun kunyit.




Masukkan santan. Kacau rata. Akhir sekali, masukkan asam keping, garam dan serbuk perasa. 

Angkat dan sedia untuk dihidangkan. Kuah masak lemak lebih sedap jika dibuat sedikit pekat. 

Nota:
Boleh dimasukkan belimbing buluh tapi tak ada stock, jadi masukkan asam keping sahaja. 



Azie
Azie Selamat datang ke blog Azie Kitchen. Saya seorang isteri dan ibu bekerjaya yang punya minat mencuba resepi masakan bila punya kelapangan masa. Ingin berkongsi resepi yang diperolehi dari kawan kawan atau dari blog blog yang telah dicuba. Saya ingin mengisi masa dengan melakukan sesuatu yang boleh memberi manafaat yang berpanjangan samada di dunia dan juga akhirat. Saya akan memaparkan pengalaman sendiri dalam kehidupan seharian saya di dalam bab masak memasak. Semua GAMBAR adalah HAK CIPTA TERPELIHARA! Harap minta izin terlebih dahulu jika ingin mengambil atau menggunakan gambar gambar di dalam blog ini. Sebarang komen atau pandangan, amat dialu alukan. Sekian terima kasih.

2 ulasan for "Masak Lemak Cili Padi Daging Salai"

  1. sedapnya, lama tak masak lemak cili api daging ni.. kalau campur kentang lagi sedap.

    BalasPadam
  2. Baru tahu ade fb dgn insta rupenye..

    BalasPadam