1 Sep 2017

Hati Masak Kicap Untuk Lauk Pengantin Yang Sangat Sedap


Hati Masak Kicap Untuk Lauk Penganti



Saya dan keluarga ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidil Adha buat semua follower blog azie Kitchen. Tahun ini kami hanya beraya di rumah kami sahaja. Saya melakukan ibadah korban di Sg Buluh. 

Selepas solat sunat raya, kami balik dan bersarapan. Selepas mengambil gambar keluarga dengan kamera baru, saya bersalin pakaian dan masuk dapur untuk memasak hidangan makan tengahari keluarga. Saya tidak memasak masakan lain pun kerana hanya menyediakan makan tengahari sahaja yang berupa kuzi kambing, acar timun dan akhir sekali hati lembu yang dimasak kicap lauk pengantin cara Kak Noor. 

Kebetulan kakak ipar datang beraya, jadi kami hidangkan juga lauk hati untuk mereka. Alhamdulillah kerana sangat laku pulak hati masak kicap walaupun pada awalnya ingat tak ada yang suka kerana anak anak dah macam pelik dan bertanya kenapa mama masak hati. Mereka siap mengusik saya dengan joke, kami makan hati raya ni.  hahaha


Hati Masak Kicap Untuk Lauk Penganti


Arwah emak saudara saya yang dipanggil Mak Su memang sangat handal dalam bab memasak. Mak Su adalah satu satunya adik beradik arwah Bonda saya. Mereka hanya berdua beradik sahaja. Jadi tidak hairan kalau semua anak anak perempuan yang merupakan sepupu saya juga semuanya mewarisi kepandaian memasak. 

Setiap kali ada majlis atau hari raya, memang kami akan mengunjungi rumah mereka. Di situ lah dapat merasa makan nasi minyak dan sate. Setahun sekali dapat makan best best. Tapi itu semua telah berlalu. Kini kami semua berjauhan membawa haluan masing masing. Kak Noor yang merupakan anak perempuan sulung Mak Su juga terkenal sebagai tukang masak untuk majlis kawin di Kuantan. 

Teringat semasa majlis perkahwinan anak kakak saya, Kak Noor yang datang ke majlis diminta untuk tolong memasak satu lauk hidangan pengantin iatu hati. Tapi ketika itu, saya tidak lah pula memerhati cara Kak Noor memasak. Hanya tolong Kak Noor mengacau lauk yang sedang dimasak di kuali sahaja. Tiba tiba teringat sangat dengan keenakan hati yang Kak Noor masak. Kebetulan pulak, ada nombor telefon Kak Noor. Jadi saya pun terus menelefon dan bertanyakan resepinya. 

Selain resepi, sebetulnya air tangan adalah faktor utama keenakan sesuatu masakan. Jadi memasak ni kena selalu praktis barulah kita dapat menghasilkan hidangan yang enak dengan menggunakan resepi yang sama dengan orang lain. Tips dari Kak Noor,  bila memasak hati, jangan dihiris nipis, mesti tebal sedikit dan jangan digoreng garing kerana hati akan menjadi keras. Goreng hanya sekadar hati masak sahaja. Haa ini penting tau...

Hari ini saya tulis resepi dan saya kongsikan di sini. Mungkin ianya sama dengan resepi anda tetapi ini adalah resepi dari sepupu saya yang memang kebaboom. Jom layan...



Hati Masak Kicap Untuk Lauk Penganti

Hati Masak Kicap Lauk Pengantin

Bahan bahan:
1/2 kg hati lembu - potong tebal 
Garam
Kunyit hidup/ serbuk kunyit

Bahan tumbuk:
2 inci halia
3 ulas bawang putih
6 ulas bawang merah

Bahan lain:
1 senduk kicap manis 
1-2 sudu besar sos lada hitam - boleh ganti dengan serbuk lada hitam
Sedikit sos tiram
Sedikit serbuk perasa - saya tambah
Gula - jika perlu kerana jika guna kicap manis dah tak perlu gula

Bahan lain:
1/2 biji bawang besar Holland saiz besar - hiris halus
Cili merah dan cili hijau - belah 2
Daun sup

Cara cara:
Hati lembu dihiris tebal kerana jika nipis akan liat dan tak sedap.




Panaskan minyak dan goreng hati. Jangan goreng garing, tak sedap. Goreng sekadar hati masak sahaja. Angkat dan ketepikan. 




Dalam kuali yang lain, panaskan minyak dan tumis bahan tumbuk tumbuk sehingga naik bau dan garing. 



Masukkan kicap, sos tiram dan sos lada hitam atau serbuk lada hitam. Jika perlu, masukkan sedikit air. 

Akhir sekali, masukkan bawang besar dan cili hidup. Masukkan hati yang telah digoreng. Kacau rata. Jika suka, boleh masukkan sedikit serbuk perasa. 



Sebelum dihidangkan tabur daun bawang. 


Hati Masak Kicap Untuk Lauk Penganti






EmoticonEmoticon