29 Sep 2017

Ayam Panggang Blackpepper Yang Paling Sedap

Ayam Panggang Blackpepper Yang Paling Sedap

Pejam celik pejam celik hari ni dah hari Jumaat. Esok hari cuti bagi ibu ibu yang bekerja. Jadi esok bolehlah kita masuk dapur dan masak masakan yang special sikit untuk hidangan keluarga. Tapi sebelum layan bab Ayam Panggang Blackpepper, meh saya nak menulis sedikit buat renungan kita semua. 

Saya perhatikan manusia sekarang dah kurang rasional. Banyak kes di sekeliling kita yang kadang kadang tidak masuk akal, tapi tetap dibuat seolah akal diletak di kepala lutut. Saya bukan marah tapi kadang kadang kesal dengan sikap begini. 

Saya menggeleng kepala bila membaca komen komen yang ditinggalkan di Instagram. Alhamdulillah bukan Instagram saya. Setakat ini semua yang baik baik sahaja. Tapi bila baca Instagram artis artis atau jutawan seperti Aliff Syukri dan lain lain, boleh mengurut dada kita dibuatnya. Seolah mereka sangat kebal dan tidak takut dengan dosa. Maki hamun dan menggunakan bahasa lucah adalah seolah perkara biasa. Tanpa memikirkan apa yang ditulis tidak akan terpadam dengan sendiri selamanya. 

Ayam Panggang Blackpepper Yang Paling Sedap

Cerita nya begini, sejak kebelakangan ini ramai yang komen di Azie Kitchen youtube channel di SINI. Puncanya semata kerana saya tak memberi sekali resepi di video, menjadikan satu kemarahan sehingga saya dimaki sumpah seranah dengan bahasa kurang sopan. Walhalnya, ada ditulis untuk resepi sila rujuk pada blog Azie Kitchen. Saya memberi detail resepi dan cara cara penyediaannya. Saya memang tak kisah untuk berkongsi resepi pun. Aduhaai... sungguh saya tak faham dengan manusia zaman sekarang ni. 

Ayam Panggang Blackpepper ini memang sangat sedap. Boleh klik di SINI untuk melihat entri saya sebelum ini. Dimakan meratah ratah begitu sahaja pun sedap. Sangat mudah, cuma perlu diperap dengan sos tiram, madu, serbuk lada hitam dan Maggi Cukup Rasa. Dengan menyediakan sendiri, kita boleh menikmati seekor ayam dengan harga mungkin seketul atau dua ketul ayam jika dimakan di restoran. Bolehlah berjimat terutama jika menpunya keluarga besar.... Kepada yang menpunyai anak kecil atau anak remaja, saya pasti mereka akan suka dengan ayam panggang ini. 

Jom layan resepi yang saya salin semula di bawah ini. Saya menyediakan 1 ekor ayam panggang. Resepi di bawah untuk 1/2 ekor ayam. Jadi kita cuma perlu gandakan sahaja bahan bahan yang digunakan. Jangan lupa menonton video berdurasi panjang yang saya sediakan di youtube Azie Kitchen channel di SINI. Kalau boleh subscribe sekali ya. Selamat mencuba...

Ayam Panggang Blackpepper Yang Paling Sedap

Ayam Panggang Blackpepper

Bahan bahan:
1/2 ekor ayam - potong 2
2 biji ubi kentang - belah 2
1 batang karot
2 inci halia
6 ulas bawang putih
4 sudu besar sos tiram Maggi
Sedikit madu
2 sudu besar Maggi Cukup Rasa atau secukupnya
Lada hitam secukupnya - tumbuk kasar
Sedikit minyak zaitun - renjis

Cara cara:
Kisar halia dan bawang putih sehingga halus. Masukkan 1 sudu besar Maggi Cukup Rasa. Lumur pada ayam.  


Tuangkan sos tiram Maggi dan lumur rata. Tuang pula madu, dan lumur rata rata termasuk di celah celah bawah kulit ayam.



Akhir sekali tabur serbuk lada hitam secukupnya. Taburkan sekali lagi dalam 1 sudu besar Maggi Cukup Rasa atau secukupnya. 




Biarkan dalam 15-30 minit. Masukkan ayam ke dalam loyang bersesuaian. Susun ubi kentang dan karot. Renjis dengan minyak zaitun sebelum dibakar dan ketika sedang dibakar. Bakar pada suhu 180C sehingga ayam masak. 



Saya bakar lama dalam 45 minit dengan diterbalikkan dan direnjis minyak dari masa ke semasa. Kuah dari baki membakar ayam, bolehlah disudukan dan hidang sebagai kuah pencicah ayam panggang.

Ayam Panggang Blackpepper Yang Paling Sedap

Selamat mencuba...


3 ulasan

sedapnye....nampak persis hidangan restoran...pelikkan, sampai memaki hamun semata xde resipi disertakan...terima kasih banyak selalu memberi inspirasi untuk saya masak, yang kadang kala buntu, xtahu nak masak apa...

Terima kasih Pn Azie kerana sudi berkongsi resepi jua petua2 masakan di laman ini. Semuga dimurahkan rezeki.

Dr Jamaliah Majid, Taman Medan Cahaya, Petaling Jaya

Saya suka dengan resipi2 puan Azie dan sering mencubanya untuk dihidangkan kepada suami dan anak2. Saya rasa kesal kerana ada yang menggunakan kata2 kesat terhadap Puan yang telah banyak berkongsi resipi yang sungguh menyelerakan.Bagaimana rezeki di meja ada barakahnya jika orang yang memasaknya suka memaki hamun? Naudzubillah...


EmoticonEmoticon