21 Dec 2013

Masak Lemak Pedas Ayam Ala Minang


Masak Lemak Pedas Ayam Ala Minang


Kuliah Jumaat Ustazah Ros Izanuri untuk kaum muslimat menyebutkan terdapat 3 perkara yang Allah rahsiakan dari semua manusia, iaitu;

1. Pahala. Allah rahsiakan dari kita, ada mendapat pahala sebesar gunung, ada yang dapat sedikit walaupun melakukan amalan yang sama. Semua pahalanya tak sama antara satu sama lain. Selepas kita melakukan amalan soleh, jangan dihitung pahala kerana bab pahala bukan kerja kita. 

2. Berkat. Keberkatan juga rahsia Allah. Kita cuma cari jalan untuk menambah keberkatan. Nilai berkat tu tak nampak di mata, tak dengar di telinga. Hanya Allah sahaja yang tahu.

3. Wali Allah. Kita tak tahu siapa Wali Allah, bahkan wali ini mungkin berada di kalangan kita. Mungkin dia sendiri pun tak tahu yang dia adalah wali Allah. Dia ada kelebihan yang Allah bagi yang dia sendiri pun tak sedar. Contoh kebolehan mengubat orang sakit.

Kali ini, lagi sekali share resepi masak lemak ayam, cuma bezanya masak lemak ini perlu ditumis. Resepi masak lemak pedas ini saya pelajari dari Sahor tuan punya gerai makan di Kolej ketiga Universiti Malaya yang sangat tersohor sejak 30 tahun dahulu. Saya sangat menggemari Nasi Lemak Sahor yang dijual di musim peperiksaan. Nasi lemak dimakan dengan pelbagai lauk pauk, antaranya ialah Masak Lemak Pedas Perut. Boleh rujuk di SINI untuk melihat Masak Lemak Perut yang sangat sedap yang telah saya sediakan sebelum ini. 

Kalau diperhatikan, bahan bahan dan cara masakannya adalah hampir sama dengan Gulai Lemak Minang. Daun limau purut tu terpulang lah kepada masing masing samada nak dikisar atau pun dicampak jer ke dalam gulai. Kalau mahukan kuah gulai lemak yang berwarna kuning, tak perlulah dimasukkan cili merah. Saya lebih suka kalau ianya berwarna sedikit kemerahan. Jadi saya letaklah 2 biji cili merah. 

Setelah beberapa lama asyik makan di kedai sahaja, saya akhirnya memberitahu hubby yang saya mahu memasak untuk makan malam. Apa lagi hubby pun happy lah sebab bila saya memasak, lauknya boleh dimakan anak anak keesokan hari. Maklum anak anak tengah cuti sekolah ni kan. Apa apa yang dimasak mesti habis dimakan.

Hahaha tolong ignore yang mana comot comot tu. Saya memang mengambil gambar dalam keadaan tergesa gesa kerana anak anak telah menunggu di meja makan. Lagi pulak hari dah petang, matahari dah mula tenggelam. Jadi semua kena dibuat dengan cepat. Saya memang tak sempat nak menghias bagai. Lepas masak, terus senduk dan hidang untuk dimakan. 

Masak Lemak Pedas Ayam Ala Minang

Masak Lemak Pedas Ayam
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
1 ekor ayam - potong
1 asam keping
2 helai daun limau purut
Garam
Santan secukupnya
Minyak untuk menumis

Bahan kisar:
2 biji cili merah (kalau suka kuah kemerahan)
12 cili padi (ikut pedas disukai)
2 batang serai
1/2 inci halia
1/2 inci lengkuas
1/2 inci kunyit hidup
5 bawang merah
3 bawang putih
2 biji buah keras - saya tambah

Cara cara:
Blend kesemua bahan kisar bersama sedikit santan.

Masukkan sedikit minyak dan panaskan sehingga betul betul panas dengan api perlahan. Masukkan bahan kisar dan tumis sehingga mendidih.

Masukkan ayam dan kacau sebati sehingga air ayam agak kering. Tuangkan santan cair dan kacau rata.

Setelah menggelegak, masukkan santan pekat. Akhir sekali, masukkan garam, asam keping dan daun limau purut. Sesuaikan rasa dan bolehlah diangkat setelah ianya sedikit pekat.

Masak Lemak Pedas Ayam Ala Minang



1 ulasan so far

sedappnyeeee...tgh2 ,mlm ni rasa lapar plak.. nanti saya cuba ye


EmoticonEmoticon