Ziarah dan Aktiviti Di Mekah Day 2
Alhamdulillah kita bersua lagi. Hari ini saya ingin menyambung catatan perjalanan umrah saya bersama anak menantu dan cucu cucu yang pastinya yang paling indah dalam hidup saya. Tak pasti kalau saat ini ada lagi kerana untuk mencari ruang yang sama seperti ini agak sukar kerana masing masing menpunyai komitmen sendiri.
Hari kedua berada di Mekah, saya menunaikan solat Subuh di bilik sahaja kerana Nana dan Alain keluar ke masjid. Mereka mengerjakan umrah sunat awal pagi dan terus beriktikaf di masjid. Ammar dan Aliya pula tidur kepenatan. Boleh klik entri sebelum ini di SINI.
Selepas sarapan, kami terus naik kereta untuk aktiviti ziarah luar di Mekah. Mulanya saya rasa macam tak nak ikut sebab tak larat. Tapi selepas diberitahu, kami akan naik kereta sahaja, saya setuju untuk ikut.
Sebab utama kerana nak luangkan masa di tempat bersejarah bersama anak cucu. Tengok gambar di bawah Aliya tak nak berenggang dengan saya. Dia risau kalau saya tak ikut sama. Sejak saya balik dari Malaysia, memang dia tak nak berenggang dengan saya.
Destinasi pertama kami dibawa ke Gua Thur, tempat di mana Nabi Muhammad SAW dan sahabat baginda, Saidina Abu Bakar bersembunyi selama 3 hari 3 malam dari orang kafir Quraisy yang mahu membunuh baginda. Hanya keluarga Abu Bakar yang mengetahui tempat persembunyian mereka. Mereka menghantar berita, susu dan juga makanan. Gua ini terletak dalam 4-7 km selatan Masjidil Haram. Ketika keluar, Ali bin Abi Talib menggantikan tempat tidur baginda sehingga orang kafir beranggapan Nabi sedang tidur.
Lubang gua yang sekadar muat untuk 2 orang terletak di kemuncak bukit yang sangat tinggi. Melihat sendiri ketinggian bukit itu, menjadikan hati terasa sangat sedih. Bayangkan bagaimana mereka mendakinya. Nabi sangat kepenatan sehingga baginda tertidur dengan kepala diletak atas paha Abu Bakar dan kaki baginda juga melepuh bengkak kerana berjalan tanpa alas kaki.
Orang kafir Quraisy memang mengira Nabi bersembunyi di gua itu tapi setelah mereka melihat terdapat sarang labah labah menutupi pintu gua dan terdapat 2 ekor burung sedang mengeram telur di hadapan pintu gua. Jadi orang kafir berfikir tidak mungkin ada orang di dalamnya.
Kalau ada orang yang masuk ke dalam gua, pasti tiada burung di situ, pasti juga sarang labah labah akan musnah. Ketika orang kafir berada di depan gua, Abu Bakar menjadi sangat takut namun Nabi menenangkan dengan berkata "Janganlah engkau bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita". Jadi ini lah juga pegangan kita, saat kita bersedih dsb, yakinlah Allah ada bersama kita.
Kemudian kami di bawa ke Jabal Rahmah, seterusnya ke kawasan Mudzalifah dan tempat melontar di Mina. Di Jabal Rahmah tak lama pun kerana hari sangat panas. Aliya pula meragam tak mahu berjalan sendiri dan Ammar pulak nak ikut. Nana mulanya nak berjalan ke kaki bukit tapi sebab anak anak dah meragam, kami berpatah balik.
Kami kemudian singgah beli ais krim. Memang cuaca di sini sangat panas. Kami pula datang dari negara sejuk. Kebetulan pula tengah Winter di London, jadi sangat ketara perbezaan cuaca. Itu yang budak budak meragam.
Dari sini, kami kemudian dibawa pula ke tempat jamrah tempat melontar bagi mereka yang mengerjakan ibadah Haji. Melontar di ketiga tiga jamrah adalah salah satu dari rukun Haji. Kami turun bergambar sekejap sahaja.
Di sini adalah tempat di mana Nabi Ibrahim AS melempar batu ke arah iblis di tiga lokasi di Mina (Ula, Wusta dan Aqabah) saat iblis cuba menghasut Nabi Ibrahim agar tidak mematuhi perintah Allah supaya menyembelih satu satunya anak baginda iaitu Ismail.
Perbuatan ini melambangkan penentangan manusia terhadap godaan syaitan. Ismail kemudian di bawa ke satu tempat untuk disembelih di mana di situ Allah telah menggantikan dengan seekor kibas. Boleh dilihat di dalam gambar di bawah.
Kami juga dibawa ke kawasan yang berlatar belakangkan Gua Hira tempat di mana Nabi Muhammad SAW bersendirian mengasingkan diri dari masyarakat Arab yang ketika itu berada di zaman jahiliah. Gua Hira terletak sekitar 3 km dari Masjidil Haram dan kedudukan gua tersebut mengadap ke arah Kaabah di masjidil haram.
Di sini baginda yang ketika itu berusia 40 tahun didatangi Malaikat Jibril di mana baginda menerima wahyu pertama dari Allah SWT. Ayat pertama diturunkan adalah Surah Al- Alaq (96:1-5). Ianya adalah peristiwa sangat penting bagi umat Islam dan dikenal sebagai malam Lailatul Qadar.
Akhir sekali, kami di bawa ke Makam Al Ma'la (Jannatul Mu'alla) di mana terdapatnya pemakamam isteri Rasulullah, Siti Khadijah RA, Datuk baginda dan ramai keluarga dan sahabat sahabat. Dari situ, kami kemudian dibawa balik ke hotel.
Sebelah petang, saya keluar dengan Ammar dan Aliya untuk menunaikan solat Asar di dataran masjid kerana Nana dan Alain keluar mengerjakan umrah. Ini adalah antara detik terindah juga bila kami bertiga menunggu saat masuknya waktu Asar dan kemudian solat bersama sama.
Selesai solat, kami bertemu dengan Nana dan Alain di dataran masjid di hadapan hotel. Mereka nak ke Safwa Tower dan saya naik ke bilik untuk berehat. Sementara menunggu Nana, kami bergambar sambil Ammar membahagi bahagikan gula gula kepada jemaah dan pekerja di situ.
Solat Maghrib, saya lakukan di dataran masjid depan KFC. Itu pun sangat susah kerana di halau halau oleh polis masjid dan juga guard di mall. Bila dah azan, baru dibenarkan buat saf. Baru kita boleh membuka sejadah untuk solat. Rupanya Alain solat dalam mall tepi KFC dan Nana solat di lobi mall sahaja.
Selepas solat Maghrib, saya naik ke bilik dan menunggu Nana. Kami bercadang untuk solat di dalam lobi hotel sahaja. Di situ, ramai jemaah wanita yang bersolat dan hanya dibenarkan buat saf saat hampir azan untuk tidak mengganggu kedai kedai di situ.
Saya bertanya dengan Ustaz Ibrahim kalau ianya dikira saf juga. Ya kerana ianya bersambung dari dalam masjidil haram, saf dataran masjid yang memang rapat sehingga tangga ke mall dan lobi hotel di mana pintu besar lobi juga dibuka semasa solat. Maklum masa umrah sebelum sebelum ini, memang saya akan berusaha untuk masuk dan bersolat di dalam masjid.
Selesai solat Isyak, kami naik bilik dan makan ayam goreng KFC. OK setakat ini dahulu, sehingga bertemu lagi di entri seterusnya. Salam sayang buat semua….



























Catat Ulasan for "Ziarah dan Aktiviti Di Mekah Day 2"
Add your comment