Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Kenangan Aktiviti Hari Ketiga Di Mekah Day 3



Alhamdulillah kita bersua kembali. Boleh baca entri sebelum ini di SINI. Ini adalah kali pertama saya menunaikan umrah dalam pakej yang sangat pendek. Ini adalah kerana kami mengambil pakej dari agensi di London. Lagi pulak, kami kena sesuaikan dengan cuti persekolahan Ammar dan Aliya. Di London, pelajar tidak boleh memohon cuti sesuka hati. Mungkin juga kerana persekolahan di sini ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan.

Kalau biasa, pakej umrah mestilah 10 hari sehingga 2 minggu, barulah puashati dapat beribadah sepuas puasnya di sini. Namun apa pun, saya sangat bersyukur kerana kenangan umrah yang sangat indah walaupun dalam masa yang singkat.

Pada hari ketiga, selepas sarapan, kami turun ke mall hotel Makkah Tower untuk membeli parfum yang dipesan oleh anak anak dan kawan kawan. Selepas itu, kami naik bilik untuk berehat.

Saya mengikut Nana untuk solat Zohor dan kami masuk pintu 1 Gate King Abdul Aziz di mana gate ini sentiasa dibuka. Tapi seperti biasa kalau datang lewat ke masjid memang tak akan ada tempat solat di ruang solat wanita. Jadi kami berjalan sehingga azan dilaungkan, baru kami dibenarkan membuat saf di laluan tawaf.


Selepas solat Nana dan Aliya pergi ke Safwa Tower untuk tukar saiz jubah saya. Saya pula turun ke dataran tawaf untuk melakukan tawaf sunat. 


Hari panas terik tapi orang ramai jer mengerjakan tawaf masa ni. Memang muka saya merah terbakar setelah selesai tawaf. 



Selesai tawaf, saya mencari tempat untuk menunggu solat Asar. Memang kepenatan juga. Alhamdulillah dapat tempat solat yang mengadap kaabah. Kalau biasanya, saya akan menunggu sehingga Maghrib dan Isyak tapi kali ini memang dah tak larat. Lagi pun, nak kena minum banyak air dan pergi ke bilik air. Jadi selepas solat Asar, saya berjalan balik ke bilik. 








Esoknya dijangka puasa dan sebelah malam akan ada solat terawih. Nana mengajak untuk solat di dataran kaabah. Saya merasakan macam susah untuk ke situ, jika masuk saat akhir. Tapi saya yakin, andai ada rezeki pasti dipermudahkan. Sebaik masuk masjid, kami akan diarahkan untuk terus berjalan dan tak tahu ke arah mana untuk dituju kerana semua ditutup. Bila ditanya ke mana, mereka menjawab tidak tahu.

Memang kena sabar dengan polis Arab kalau bab ni, mereka halau halau kita tapi tak tahu arah mana yang perlu pergi. Setelah hampir waktu solat, kami diberitahu ada ruang solat wanita dibuka di dataran kaabah. Kami berlari ke sana dan Alhamdulillah dapat lah solat Maghrib di situ. Ingatkan dapat lah solat Isyak dan terawih di situ juga tapi polis Arab mula menghalau kami keluar. Nak ke mana pun tak tahu kerana semua tempat di tutup dengan tali kecuali jalan untuk keluar masjid.










Masa solat Isyak pun ruang kosong di hadapan kami tidak dibuka. Kami terpaksa mencelah masuk melalui rak Al Quran untuk solat di tepi dataran kaabah untuk solat Isyak. Ingatkan masuk waktu solat, mereka akan buka ruang ini untuk jemaah wanita solat. Mereka biarkan sahaja kosong. 

Selepas solat Isyak, kami dihalau keluar dari situ dan kami terpaksa ke sana sini mencari ruang untuk solat terawih. Akhirnya seorang cleaner lelaki Bangladesh rasanya yang agaknya kesian melihat kami yang masih belum mendapat tempat solat walaupun solat terawih hampir dimulakan. 

Dia membawa kami ke bahagian belakang tempat mengambil wudhu di belakang tangga. Memang lapang di sini dan ada aircond juga. Alhamdulillah. Saya mencari cari juga beliau selepas solat kerana ingin memberikan sedikit wang dan mengucapkan terima kasih. Namun tak kelihatan. 

Alhamdulillah syukur kerana dapat solat terawih dengan selesa dan lapang. Selepas solat terawih, kami balik dan keluar melalui pintu umrah. Ramai orang dan bersesak sesak di hadapan Hotel Dar At Taqwa. 





Selepas solat Isyak, saya berjalan ke Safwa Tower untuk menukar sekali lagi saiz jubah yang dah ditukar sebelum ini. Masya Allah orang terlalu ramai sehingga nak masuk ke Safwa Tower pun ditutup jalan seperti untuk masuk kee masjid. Escalator juga ditutup, kena beratur menunggu lift. Masa di sini, ternampak bekas rakan sekerja di Bank Negara iaitu Datuk Azizan, Haji Azizul dan beberapa orang lain sedang makan di situ. 


Memang banyak ujian dan dugaan sepanjang berada di tanah suci kerana ianya adalah untuk menguji kesabaran kita. Saya selalu berpegang mengikut pesanan Ustaz Salehuddin Nasir bahawa sebagaimana kita mahu beribadah di tempat yang baik, begitu juga dengan orang lain.

Jadi bagi ruang pula pada orang lain, jangan tamak. Insya Allah, Allah akan bagi ruang untuk kita. Malahan berbulan sebelum datang pun, saya sentiasa memanjatkan doa agar dipermudahkan segala urusan dan diberikan ruang untuk bersolat di tempat yang mustajab doa. Sehingga di sini dahulu, semoga kita bersua lagi di entri berikutnya.


Catat Ulasan for "Kenangan Aktiviti Hari Ketiga Di Mekah Day 3"