Madinah Hari Akhir Day 3
Hari terakhir di Madinah iaitu 20 Februari 2026, saya dan Nana keluar ke masjid untuk masuk ke Raudhah. Boleh klik entri sebelum ini di SINI. Tahun ini sangat mencabar untuk saya masuk ke Raudhah.
Dari London lagi, saya cuba masuk Apps NUSUK tapi tak langsung dapat masuk untuk pilih slot. Hari pertama tak dapat masuk bila tiba giliran kami kerana Barcode yang tak dapat dibaca oleh polis masjid. Jadi kami kena book slot baru untuk keesokan harinya.
Bila dah dapat masuk pada hari ini, sebelum dapat menjejak kaki ke kawasan Raudhah, kami telah disuruh keluar. Walhalnya dalam Raudhah lapang, tidak pernah lagi saya melihat kelapangan seperti ini. Polis dalam tu siap menipu lagi dengan mengatakan itu adalah jalan untuk ke Raudhah. Walhalnya kita tahu jer bila masuk jalan tu, memang kena terus keluar.
Akhirnya dengan izin Allah saya dapat masuk selepas polis di situ membenarkan seorang wanita Arab masuk. Saya dapat lah solat di dua tempat di dalam Raudah.
Cuma terkilan kerana Nana tak dapat masuk dan saya tidak dapat melihat dia di dalam Raudhah seperti mana saya melihat Juita di sini. Belum ada rezeki dia tapi sekurangnya dia dapat melihat bagaimana keadaannya di Raudhah. Pasti ada hikmahnya. Doakan agar Nana diberikan rezeki untuk datang lagi mengerjakan umrah dalam masa terdekat.
Selepas itu, kami balik bilik dan saya tidur kerana badan yang rasa sangat panas. Saya juga batuk batuk yang sekali tekak rasa gatal, memang akan batuk lama sehingga boleh terbatal wudhu.
Namun begitu, saya merasa sangat bersyukur kerana Alain dan Ammar yang dapat masuk Raudhah dan terus berpeluang menunggu solat Jumaat di dalam Raudhah. Lama lah mereka dapat duduk di dalam Raudhah.
Selepas berehat di bilik, saya menanya kalau Nana mahu ke Masjid Quba lagi. Tapi Nana mengajak untuk solat di dalam masjid Nabawi. Orang terlalu ramai dan jalan di dalam dataran masjid ditutup di sana sini. Terpaksa berjalan di luar pagar masjid. Kami berhenti mencari tempat solat di ruang solat wanita di dataran masjid. Kami solat Jumaat di sini.
Kami dapat bahagian tepi jadi lebih senang untuk Aliya duduk. Tak mengganggu ruang untuk jemaah lain.
Selepas solat, kami berjalan masuk ke dalam masjid melalui pintu 29. Kali pertama saya menjejakkan kaki ke dalam masjid untuk kedatangan kali ini. Rasa sangat tenang dan nyaman di dalamnya. Kami tunggu solat Asar. Alhamdulillah hajat ingin melihat Nana dan Aliya di dalam masjid Nabawi tercapai.
Teringat dengan Juita kerana di ruang ini lah saya dan Juita bersolat di kebanyakan masa di Masjid Nabawi. Saya siap suruh Nana pergi ke bilik air di perkarangan masjid kerana nak dia melihat sendiri tempat mengambil wudhu dan bilik air.
Semasa di dalam masjid, ada budak Arab yang mengajak Aliya bermain main. Tapi macam ayam dengan itik, seorang bercakap bahasa Inggeris dan seorang bercakap Arab.
Selepas solat Asar, Nana balik bilik kerana Aliya dah meragam. Saya tunggu sehingga waktu berbuka puasa dan solat Maghrib. Rindu nak merasa suasana berbuka puasa di dalam Masjid Nabawi dengan hamparan plastik di hadapan setiap saf. Sedih juga kerana tidak dapat menunaikan solat Terawih di dalam Masjid Nabawi kali ini.
Selepas solat Maghrib, saya cepat cepat berjalan keluar kerana takut terlambat sampai di hotel kerana perlu mengemas barang barang lagi. Saya berhenti untuk mengikut solat jenazah di dataran masjid. Kemudian berjalan lagi menghampiri kawasan makam Rasulullah untuk berdoa dan melakukan ziarah wada.
Memang kena berjalan laju laju kerana orang agak ramai dan agak jauh juga untuk ke hotel. Memang tercungap cungap juga. Bila sampai, saya terus mandi dan mula mengemaskan barang ke dalam bag.
Berkemas dan terus turun pukul 7.30 petang untuk ke airport kerana jalan ditutup. Sehingga di sini dahulu, jangan lupa baca entri terakhir di SINI. Salam sayang buat semua.....



















Catat Ulasan for "Madinah Hari Akhir Day 3"
Add your comment