Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Sambal Tumis Kerang

Sambal Tumis Kerang

Tertarik dengan jalan cerita drama Dia Yang Ku Cinta di mana Hanna seorang ibu penyayang bertukar menjadi seorang ibu yang sangat kejam kepada anak tirinya lakonan Catriona Ross. Semuanya berikutan suaminya yang sangat penyayang telah berkahwin dengan wanita lain tanpa pengetahuannya dengan alasan kasihan dan ingin membantu wanita, janda beranak dua. 

Apa yang saya ingin tulis ialah dari skrip yang mana pembantu rumah mereka memberitahu bahawa arwah suaminya sangat menyayanginya. Tapi apa yang dijawab oleh Hanna ialah “tapi dia telah menduakan aku dan berkahwin dengan wanita lain”. Maknanya kalau sayang, tapi tergamak menduakan dia. Adakah itu sayang. Lebih kurang macam tu lah apa yang saya tafsirkan. Sakit lain boleh diubat tapi sakit hati memang dibawa sehingga ke mati. 

Jadi sesiapa yang berada di dalam watak ini baik suami, baik isteri yang ditipu, wanita janda dan anak anak, harus memahami bahawa kesan dan kesakitan ke atas setiap orang adalah tidak sama. Wanita yang berkahwin dengan suami orang tidak rasa sakit kerana dia bersubahat untuk menipu isteri pertama selama ini. 

Tapi bagi isteri yang selama ini ditipu dan dibohongi, kesakitannya boleh membawa ke akhir hayat. Kepada anak anak dari perkahwinan rahsia, anda tidak perlu bersedih kerana anda tidak akan memahami segalanya yang telah berlaku. 

Hidup adalah sementara, jangan sakiti sesiapa, demi kebahagiaan semua.  OK sekarang kita tinggalkan dulu bab drama dengan kita bermuhasabah diri kerana drama seperti ini memang terjadi dalam kehidupan seharian kita. 

Hari ini saya menyediakan sambal tumis kerang, salah satu dari lauk pauk kegemaran anak anak saya terutama Aween. Saya pun suka juga makan kerang tapi sejak disahkan mengalami masalah alergik dengan makanan laut yang bercengkerang, saya terpaksa menahan keinginan nak makan. 

Harga kerang sekarang pun bukan murah murah. Sekilo kerang boleh mencecah RM15 sekilo. Untuk dapat sebekas isi kerang memerlukan sekurang kurangnya 2 kg kerang. Hmm bayangkan betapa mahalnya lauk berasaskan kerang ni.  

Sambal Tumis Kerang

Saya menggunakan lebihan isi kerang yang saya guna untuk menyediakan lauk Kerang Goreng dengan kacang panjang di SINI. Jadi saya memutuskan untuk menyediakan Sambal Tumis Kerang. Kalau lauk seperti isi kerang, masak simple simple lagi sedap. Baru terasa keenakan isi kerangnya. Tak perlu berempah rempah sangat. 

Saya curi curi juga menjamah sambal kerang hari ini walaupun saya sepatutnya tak boleh mengambil makanan laut yang bercengkerang. Teringin sangat nak menjamah. Alhamdulillah berbaloi bila apa yang kita makan terasa sedap di tekak. 

Sambal tumis kerang ini sedap dimakan sebagai lauk nasi lemak selain dimakan dengan pulut kuning. Memang makan menambah nambah tak sedar kalau dapat lauk seperti ini. 

Jom layan resepi simple sambal tumis kerang yang saya gunakan hari ini. Juga jangan lupa untuk melihat video penyediaannya di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba...

Sambal Tumis Kerang

Sambal Tumis Kerang

Bahan-bahan:
300 gram isi kerang - 1 ½ kg kerang
1 biji bawang besar - hiris
1 sudu kecil pes asam jawa + sedikit air
Garam 
Gula 

Bahan kisar:
2 biji bawang besar
4 ulas bawang putih
3-4 sudu besar cili kering kisar 
Sedikit belacan - opsyenal 

Cara cara:
Panaskan minyak dan tumis bahan kisar sehingga masak dan terbit minyak.

Masukkan sedikit gula terlebih dahulu untuk mencantikkan warna sambal kerana selepas masuk gula, sambal akan menjadi warna merah gelap. Masukkan pes asam jawa dan sedikit air

Sambal Tumis Kerang

Masukkan hirisan bawang besar. Gaul rata sehingga bawang layu. 

Sambal Tumis Kerang

Masukkan kerang dan kacau sebati. 

Sambal Tumis Kerang

Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa. Jika inginkan sedikit berkuah, tambahkan air. Siap

Sambal Tumis Kerang


Catat Ulasan for "Sambal Tumis Kerang"