Jumaat, 15 November 2019

Kerang Goreng Dengan Kacang Panjang

Kerang Goreng Dengan Kacang Panjang

Kerang goreng dengan kacang panjang ni sangat nostagia pada saya. Dulu ketika baru baru bekerja, saya menyewa bilik di apartment di Kampung Baru. Setiap pagi, saya mengambil bas mini depan masjid Kampung Baru untuk ke tempat kerja. 

Saya akan turun di hadapan bangunan Ibu Pejabat Bank Rakyat dan sebelum ke pejabat, saya singgah membeli nasi lemak berlaukkan kari ayam yang kuahnya cair cair dan lauk kerang goreng dengan kacang panjang yang dijual di van depan Sekolah Kebangsaan Hishamuddin. Kalau terlambat sedikit, alamak kempunan lah. Entah kenapa tiba tiba jer mereka tidak lagi berjualan menjadikan saya teringat ingat sehingga ke saat ini. 

Pernah juga saya cuba memasak sendiri dengan mengagak bahan bahan yang digunakan tapi rasanya tidak sama. Mungkin sama tapi sebab saya teringatkan masakan mereka, itu yang apa pun rasa seperti tak sama. Jadi kali ini, saya cuba sekali lagi dengan menggunakan perencah yang lain. Tapi rasanya macam tidak sama walaupun tetap sedap. Apa yang saya masih ingat, ianya ada sedikit berkuah dengan bawang putih hiris yang agak banyak. 

Semalam saya menelefon Ida yang sekarang berniaga di van depan JKR. Mana tahu kot Mak Ida yang berniaga depan sekolah. Kata Ida. mak beliau juga pernah berniaga di situ tapi mereka tidak menjual lauk kerang dengan kacang panjang. Maknanya ada orang lain lah. 

Kerang Goreng Dengan Kacang Panjang

Apa apa pun lauk saya hari ini sangat sedap. Lebih lebih lagi bila kita menggunakan isi kerang segar. Kacang pula masih rangup rangup. Bahan perisa yang saya letakkan hari ini ialah sos ikan, serbuk lada sulah dan garam. 

Jom layan resepi di bawah ini dan jangan lupa video penyediaannya di Azie Kitchen Youtube channel di SINI. Selamat mencuba...

Kerang Goreng Dengan Kacang Panjang

Kerang Goreng Dengan Kacang Panjang

Bahan bahan:
150 gram isi kerang
10 tangkai kacang panjang
1-2 sudu besar sos tiram
Garam
Sos ikan/sos sotong

Serbuk lada sulah

Bahan hiris:
3 biji bawang merah 
3 ulas bawang putih 
1-2 inci halia muda 
1 tangkai cili merah 

Cara cara:
Panaskan air sehingga mendidih. Masukkan kerang dan kacau sehingga mendidih sekali lagi. Tos kan dan terus tuang ke dalam air berais. Bolehlah dikopek isi kerang. Isi kerang akan jadi cantik dan tidak kecut. Basuhkan isi kerang dan tos. Sedia untuk digunakan.

Kerang Goreng Dengan Kacang Panjang

Kerang Goreng Dengan Kacang Panjang

Kerang Goreng Dengan Kacang Panjang

Panaskan minyak dan tumis bawang merah, bawang putih dan halia muda sehingga naik bau. 

Masukkan sos tiram dan sedikit air. Kacau rata. Masukkan isi kerang. Masukkan kacang panjang. Kacau rata. 

Akhir sekali masukkan sos ikan/sotong, garam dan serbuk lada sulah.  

Kerang Goreng Dengan Kacang Panjang

Tutup api. Sedia untuk dihidangkan.


Kerang Goreng Dengan Kacang Panjang

Nota:
2 kg kerang dapat 470 gram isi kerang. 


1 ulasan:

  1. Kadang2 dada terasa ingin pecah menahan rindu bila mengenang kisah nostalgia.. Kan Kak Azie

    BalasPadam

Add your comment
EmoticonEmoticon