Selasa, 3 Disember 2019

Kuih Sagu Versi Kukus Dan Nostalgia Kampung Halaman

Kuih Sagu Kukus Yang Lembut Dan Cantik

Musim tengkujuh datang lagi. Melihatkan video yang dikongsikan di WhatsApp memang sangat kasihan dengan mereka yang kediaman mereka dinaiki air banjir. Bukan sahaja rumah kotor tapi barang barang rumah rosak. Tapi kenalah bersabar kerana bencana alam adalah sesuatu yang pasti berlaku jika ditakdirkan berlaku. 

Alhamdulillah, seumur hidup, rumah kami tidak pernah dinaiki air. Air hanya bertakung bila hujan di halaman rumah yang cukup untuk kami keseronokan mandi hujan dan bermain air. Air kemudian akan kering meresap ke dalam tanah pasir. Semoga Allah menggantikan musibah ini dengan ganti yang lebih baik buat semua mangsa banjir.

Saya tidak pasti dengan orang lain tapi bagi saya kehidupan semasa zaman kanak kanak di kampung sangat jelas dalam ingatan. Seolah video yang ditayangkan bermain main dalam ingatan saya. Saya boleh nampak semuanya dengan jelas, rumah kayu kami di Kampung Tangok dan rumah jiran jiran kami satu persatu. 

Kejiranan di kampung saya tidak besar. Rumah di mana saya dilahirkan dan membesar terletak di kedudukan tanah yang tinggi dengan di bahagian yang rendah adalah kawasan tanah sawah yang menpunyai anak sungai yang memisahkan dengan Kampung Rusa. 

Rumah kami terletak di tengah dengan di bahagian belakang adalah rumah Wak Hassan dan anaknya Wan Nab. Di bahagian kiri adalah rumah sepupu saya, Abang Mud dan Kak Nik Bidah. Di bahagian depan berhampiran kebun buah buahan kami ialah rumah sepupu saya juga iaitu Abang Hassan dan Kak Wan Bidah. 

Manakala di bahagian belakang rumah kami dekat dengan dapur ialah rumah Wak Mejah dan Wak Semah yang mengusahakan perusahaan gula Melaka. Beliau memanjat pokok kelapa untuk menyadap sendiri nira kelapa dan memasaknya di pondok kecil di bahagian dapur rumah. Nira kelapa akan dimasak sehingga pekat dan dipindahkan masuk ke dalam kelongsong dan akan mengeras menjadi gula Melaka. Kami selalu ke situ untuk mendapatkan kerak gula Melaka yang melekat di kawah. Ada masa kehampaan bila Wak Mejah tidak meninggalkan kerak langsung.  

Sebelah rumah Wak Mejah adalah rumah Cikgu Ripin dan Wan Yam yang tinggal bersama Wak Siti yang terkenal dengan kuih tepung bungkus yang sangat sedap. Masa Wak Siti masih tinggal keseorangan di rumah diperbuat dari buluh, kami akan berlumba lumba untuk ke rumah Wak Siti, untuk mengambil upah mengisar tepung beras. Kemudian cari duit syiling di bawah rumah Wak SIti yang banyak jatuh.


Kuih Sagu Kukus Yang Lembut Dan Cantik

Jauh ke belakang dari rumah Wak Hassan adalah rumah Abang Kob dan Kak Nik Yam. Di hadapan rumah mereka berhampiran dengan jambatan kayu merentangi sungai ialah rumah Mak Wan Som dan Mak Su Limah. Saya suka mandi di air telaga sebelah sungai kerana airnya jernih dan sejuk. Mak Wan Som mengusahakan perniagaan atap yang diperbuat dari daun nipah.

Tapi sayang sekali, kami terpaksa berpindah dari kampung yang sangat dicintai apabila kerajaan membuat pengambilan tanah untuk pembinaan projek Universiti Malaysia Kelantan pada tahun 1983.  Masih ingat lagi saat kesedihan apabila masing masing berpindah satu rumah demi satu rumah. 

Saya dengan kakak tinggal sendirian di rumah sehingga ditegur oleh sepupu kerana mereka risaukan keselamatan kami. Maklumla kampung dah kosong. Ketika itu, arwah ayah dan arwah bonda telah terlebih dahulu berpindah di pondok kecil di Kg Sungai Dua sambil mereka mengusahakan penanaman tembakau. Akhirnya arwah ayah meminta supaya kami berpindah. Saya berpindah ke rumah Abang di Bachok kerana rumah baru kami belum siap. 

Selepas berpindah, ada juga sekali dua, saya dan adik datang ke rumah lama. Itulah sangat menyedihkan dalam hidup saya sehingga pernah terbawa ke dalam mimpi yang kami tidak jadi berpindah. Selepas berpindah, hanya Abang Mud dan Kak Nik Bidah sahaja yang kami selalu bertemu di hari raya atau bila ada majlis kenduri kendara. 

Tapi bab kata Sham, staf cum BFF saya elok juga jika kita menpunyai ingatan yang terpilih. Maksudnya tidak mengingati semua sekali. Pilih hanya benda yang penting dalam hidup kita sahaja.  OK sekarang kita masuk pula bab resepi.

Versi hari ini di mana sagu hanya direndam seketika dan terus dikukus. Ada juga versi tanpa kukus di mana sagu hanya dimasak sampai jernih biji sagunya. Angkat dan dituang dalam loyang dan sedia untuk digaul dengan kelapa parut dan garam. 

Boleh klik entri sebelum ini di SINI. Dalam entri ini sagu dimasak atas dapur sebelum dipindah ke dalam loyang dan dikukus. Jom layan resepi yang saya gunakan hari ini. Selamat mencuba... 


Kuih Sagu Kukus Yang Lembut Dan Cantik

Kuih Sagu Kukus Yang Lembut dan Cantik

Bahan bahan:
1 cawan sagu putih
3 cawan air
1 cawan gula pasir
1 helai daun pandan
5-6 titik pewarna sirap kordial pekat
2 cawan isi kelapa putih
Sedikit garam

Cara cara:
Masak air dan pewarna pilihan. Setelah mendidih, tutup api. Tuang sagu mentah dan rendam selama 30-60 minit atau sehingga kembang. 

Kuih Sagu Kukus Yang Lembut Dan Cantik

Tapis sagu yang telah direndam di atas. Masukkan gula dan kacau rata.

Kuih Sagu Kukus Yang Lembut Dan Cantik

Lenser minyak pada loyang/bekas dan masukkan sagu. Jangan tekan untuk padatkan isi ke dalam loyang. Cukup sekadar ratakan sagu ke semua ruang loyang. 

Kukus dalam periuk pengukus yang airnya telah mendidih selama  45-60 minit atau sehingga sagu masak jernih dan berkilat.

Kuih Sagu Kukus Yang Lembut Dan Cantik

Kuih Sagu Kukus Yang Lembut Dan Cantik

Setelah sejuk, bolehlah dipotong dan digaul dengan kelapa yang dicampur dengan garam. 

Kuih Sagu Kukus Yang Lembut Dan Cantik

Nota:
Cara ini kuih sagu mata ikan akan menjadi cantik dan berketul bulat-bulat. 

Kelapa yang dilumur dengan garam boelh dikukus seketika untuk tahan lama. 


1 ulasan:

  1. Seronok baca nostalgia Kg Tangok...
    Saya Hj Razali dalam FB.

    BalasPadam

Add your comment
EmoticonEmoticon