Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Gulai Ayam Lauk Nasi Dagang

Gulai Ayam Lauk Nasi Dagang

Saya sebetulnya sangat geram dengan apa yang berlaku di Instagram saya. Seorang budak lelaki yang saya percaya seorang Melayu beragama Islam cuba berperangai tidak senonoh melalui DM. Kadang kadang kesal dengan budak budak macam ni yang pastinya tidak normal seperti lazimnya budak lelaki yang lain. Budak ini memang sakit dan perlukan rawatan psychiatrist. Budak seperti ini jika tidak dirawat akan memberi masalah sosial bila dewasa. Itulah pentingnya untuk kita mendidik anak anak dari kecil. 

Maaf jika saya katakan, tak perlu beranak ramai ramai jika tidak mampu memberi didikan terutama didikan agama yang secukupnya. Semua orang boleh membesarkan anak tapi tidak semua orang mampu mendidik anak anak. Kadang kadang saya terfikir sampai bila saya perlu risaukan masa depan anak anak dan cucu cucu. Terutama cucu, kerana mereka menpunyai ibubapa. Kadang rasa, malas nak fikir lebih lebih. Ini semua roda kehidupan yang pasti dilalui oleh semua orang. 

OK hari ini saya ingin kongsikan gulai ayam untuk dimakan dengan nasi dagang. Kalau di Kelantan, 3 lauk yang boleh disediakan atau mana mana satu atau dua lauk iaitu gulai ikan tongkol, gulai ayam, gulai udang dan juga telur rebus yang dimasukkan ke dalam mana mana gulai yang disukai. 

Boleh klik entri nasi dagang di SINI. Ianya disediakan untuk orang yang mungkin tidak makan ikan tongkol. 

Gulai Ayam Lauk Nasi Dagang

Sebetulnya gulai Kelantan agak berbeza sedikit dengan Kari Ayam kerana gulai ayam tidak terlalu berminyak seperti kari ayam. Ianya sedikit lemak dan pekat kuahnya. Ala ala gulai ayam lauk pencicah roti jala gitu. Jika cair, memang tak berapa ngam. 

Selain itu, gulai ayam ini juga sedap dimasak menggunakan kaedah gulai darat iaitu bahan ditumis dan dituang ke dalam gulai yang telah masak. 

Gulai Ayam Lauk Nasi Dagang

Kalau orang Kelantan, rempah gulai ayam yang digunakan dalam masakan adalah rempah gulai dari Kelantan yang kadang kadang dijual secara timbangan. Kami jarang menggunakan rempah kari Adabi, Babas dan segalanya kecuali kehabisan stock. 

Jom layan resepi yang saya gunakan hari ini. Selain dimakan dengan nasi dagang, juga sedap dimakan begitu sahaja. Seamat mencuba...


Gulai Ayam Lauk Nasi Dagang

Gulai Ayam

Bahan bahan:
1 ekor ayam 
3 biji kentang saiz besar - potong 4 
1/2 kg santan segar + 1/2 kotak santan kotak kecil
3 biji bawang merah - hiris
Kayu manis, buah pelaga dan bunga lawang 
2 sudu besar rempah kari
1 keping asam keping
1 1/2 sudu besar garam
2 sudu besar gula
1 sudu besar cili kisar - opsyenal
Minyak masak

Bahan Kisar:
10 biji bawang merah
10 ulas bawang putih
1 inci halia
1 hiris lengkuas
1 sudu besar serbuk cili

Cara cara:
Lumur ayam dengan sedikit rempah kari. Ketepikan. 

Panaskan minyak dan tumis bahan kisar, bawang hiris, kulit kayu manis, buah pelaga, bunga lawang sehingga naik bau. 

Masukkan cili kisar dan rempah kari. Tumis sehingga terbit minyak.

Setelah terbit minyak, masukkan ayam yang dipotong lalu dikacau sehingga ayam kecut. 

Masukkan ubi kentang. Masukkan sedikit air dan masak sehingga ubi kentang separuh masak. 

Masukkan santan, asam keping, garam dan gula. Masak sehingga santan mendidih. Sentiasa dikacau supaya kuah tidak berketul ketul.

Setelah mendidih, bolehlah dimasukkan cili hijau dan perlahankan api supaya kuah merenih dan tiada lagi buih buih kecil. Sesuaikan rasa dan bolehlah ditutup api. Hidangkan bersama nasi putih atau nasi dagang. 


3 ulasan for "Gulai Ayam Lauk Nasi Dagang"

  1. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

    BalasPadam
  2. Puan azie, adakah rasanya macam rasa gulai ikan tongkol ?

    BalasPadam
    Balasan
    1. lain sikit. sebab gulai ikan tongkol guna rempah kari campur bahan kisar. Tapi ini pakai rempah kari kelantan.

      Padam