Jumaat, 18 Mei 2018

Hati Goreng Kicap Berempah Sedap


Hati Goreng Kicap Berempah Sedap

Seperti Ramadhan yang lepas lepas, saya memilih untuk berbuka puasa di surau berdekatan rumah saya. Ianya membolehkan saya solat Maghrib berjemaah dan mengaji antara solat Maghrib dan Isyak tanpa perlu tergesa gesa. 

Kita mesti lah berebut rebut untuk memperbanyakkan amalan di bulan yang penuh dengan pesta ibadah ini. Kita tidak pasti, jika kita akan bertemu lagi dengan Ramadhan akan datang. Seperti yang disebut dalam Hadis di mana sahabat mendengar Rasulullah ketika menaiki tangga mimbar menyebut Aameen sebanyak 3 kali di setiap mimbar pertama, kedua dan ketiga. 

Setelah ditanya oleh sahabat, baginda bersabda Malaikat Jibril berkata, celakalah orang yang mendapati bulan Ramadhan yang penuh barakah, tetapi tidak memperolehi keampunan. Lalu baginda menyebut Aameen. Jadi kita tidak mahu menjadi orang yang rugi. Kena berusaha mencari keampunan Allah kerana syurga adalah tempat untuk orang yang tidak menpunyai dosa atau yang dosa telah diampunkan. Perbanyakkan membaca doa Allahumma innaka ‘afiwwun tuhibbul ‘afwa fa’fu ‘anni, beristighfar dan lain lain zikir. 

Namun begitu, saya tetap memasak dan menyediakan satu dua hidangan untuk Hubby dan anak menantu berbuka di rumah bila menpunyai kelapangan masa. 


Hati Goreng Kicap Berempah Sedap

Hari ini saya ingin kongsikan satu resepi yang sedap dihidangkan sebagai juadah berbuka atau bersahur. Kalau saya, nasi putih hanya digaul dengan lauk ini sudah memadai. Tak perlu kuah lagi kerana saya makan nasi yang agak kering. Jika berkuah pun, hanya sedikit sahaja kuah. 


Resepi Hati Lembu yang telah dikongsikan di blog Azie Kitchen setakat ini ialah resepi Hati Lembu Masak Kicap Hidangan Lauk Pengantin di SINI,  Hati Goreng Garam Kunyit di SINI dan Hati Goreng Lembap di SINI. Untuk resepi berempah, boleh juga digantikan rempah ketumbar, jintan manis dan jintan putih dengan serbuk kari daging. 

Saya guna cili merah kerana tiada stock cili capsicum atau cili Benggala. Kala boleh guna warna merah hijau dan kuning bagi menambah warna pada masakan kita. 

Jom layan resepi mudah yang saya olahkan di bawah ini. Jangan lupa menonton videa di youtube Azie Kitchen channel untuk video berdurasi lebih panjang.


Hati Goreng Kicap Berempah Sedap

Hati Goreng Kicap Berempah 
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
500 gram hati lembu - potong sederhana tebal
1 inci kunyit hidup + serbuk kunyit
4 sudu besar kicap manis
1/2 keping asam keping
Sedikit sos tiram
Sedikit serbuk perasa Cukup Rasa
Garam - jika perlu

Bahan Rempah:
2 sudu besar cili kering kisar
1 sudu besar ketumbar
1/2 sudu besar jintan putih
1/2 sudu besar jintan manis

Bahan Kisar:
5 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
1/2 inci halia

Bahan Hiris:
1 biji bawang besar Holland 
1/2 biji cili capsicum merah - dihiris memanjang

1/2 biji cili capsicum hijau - dihiris memanjang

Cara Cara:
Hati dilumur dengan sedikit garam dan kunyit hidup yang ditumbuk. Taburkan sedikit serbuk kunyit dan serbuk perasa Cukup Rasa. Biarkan seketika. 

Bahan rempah disangai tanpa minyak dan ditumbuk halus. Boleh juga menggunakan rempah serbuk. 

Panaskan minyak di dalam kuali dan goreng  dengan api sederhana sehingga agak agak hati masak sahaja. Angkat dan toskan. 


Hati Goreng Kicap Berempah Sedap

Menggunakan kuali lain, panaskan minyak dan tumis bahan kisar sehingga garing. Masukkan bahan rempah dan tumis lagi sehingga pecah minyak.


Hati Goreng Kicap Berempah Sedap

Masukkan kicap, asam keping dan sedikit sos tiram. Kacau rata. Boleh masukkan sedikit air, jika suka berkuah.


Hati Goreng Kicap Berempah Sedap

Masukkan hati yang telah digoreng tadi dengan bawang besar dan cili hiris. 


Hati Goreng Kicap Berempah Sedap


Masukkan serbuk perasa. Sesuaikan rasa dan bolehlah ditutup api. Masukkan gula dan garam jika perlu kerana kicap manis telah ada rasa manis.

Nota:
Gaul hati lembu yang telah dihiris dengan sedikit tepung gandum bersama sedikit air. Perap dalam 15 minit dan basuh bersih. Toskan. Ini petua untuk menghilangkan bau hanyir hati lembu.

Hati hendaklah dimasak dengan api sederhana. Biasanya hati lembu yang dimasak dengan api yang besar/kuat akan jadi keras. Masak sekadar hati masak sahaja. Kalau terlebih garing, hati akan jadi liat.

Resepi ini boleh juga digantikan hati dengan daging.



Add your comment
EmoticonEmoticon