Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Gulai Ikan Tongkol Nasi Dagang Kelantan Dan Nostalgia Sembilu



Aduhai lagi seminggu nak Ramadhan, tak nak lah habiskan masa dengan benda laghaa. Entah kenapa tak boleh nak move on dengan Sembilu The Reunion 2026 terutama bila Awie menyanyi lagu Penjara Janji. Saya memang tak suka dengan Awie sejak dia curang dengan Erra Fazira dulu. Benci lelaki tak setia. Terus buang dia dari senarai walaupun ada juga baca sikit sikit kisah dia bercerai dengan bekas bini dia dulu. Dulu dulu tak ada istilah penyondol, kalau ada memang dia dikira penyondol lah. Sebab Awie dan Erra dah bertunang masa tu.

Erra Fazira adalah satu satunya artis yang saya follow selepas zaman Uji Rashid. Saya masih muda di zaman kegemilangan Erra, saya biasalah meminati artis yang cantik. Sejak kecil saya minat menyanyi, peminat Uji Rashid dari saya darjah 5. Siap pergi tengok filem lakunan Uji. Beli buku buku dan majalah hiburan. 

Bila remaja, minat Erra pula. Saya melihat Erra sebagai seorang wan
ita yang kuat. Bukan sahaja perpisahan dengan Awie tapi masa perceraian dengan Yusry juga. Saya pun dah mula tak ikut Erra selepas dia berkawin dengan Engku Emran. Mungkin sebab dia bukan artis, jadi tak ada yang menarik untuk diikuti. Bukan sahaja Erra tapi saya dah tak lagi mengikuti mana mana artis. 

Berbalik pada lagu Penjara Janji nyanyian Awie ini, memang sangat sedap dan memang kena dengan orang yang jiwang jiwang macam saya. Tak pasal pasal rasa sedih. Harap lepas ni saya dah tak terbawa bawa lah dengan mood kesedihan. Hahaha. Move on dan perbanyakkan mendengar video agama yang lebih bermanafaat dalam mengubati kesedihan. Dunia menjadikan kita sedih kerana banyaknya kehendak kita di dunia ini. Dah dapat satu, nak yang lain pula, tanpa kesudahan. Dah ada handbag Chanel, nak pula handbag Hermes. Itu lah manusia. Bila tak dapat, mula rasa sedih. 

Sebenarnya tak guna nak bersedih sedih pun sebab segala ujian atau perjalanan hidup kita ini telah diaturkan sejak azali dan tertulis di Luh Mahfuz. Bak lirik lagu Yang Terindah Hanya Sementara nyanyian Erra seperti di bawah

Tak rela ku turutkan hati
Menyesali apa terjadi
Andainya begitu suratan yang tertulis di azali
Biarlah walaupun ku sepi
Sedih, pedih dikhianati
Aku kan tetap terus mengorak langkah perjalanan ini

Lirik ini memang benar benar kena dengan Erra. Dia memang benar benar move on. Tak meratapi kisah sedih yang menimpa dia. Sepatah tak bercakap bab bab peribadi yang menjadi punca perpisahan dsb.

Sekarang bila ada apa apa kesedihan di hati, saya cepat cepat berbalik pada Allah. Semuanya telah diatur dan kita sebagai hambaNya hanya menjalani takdir. Menerima dengan redha segala ketentuan takdir kerana kita tidak tahu hikmah di sebaliknya yang Allah akan kurniakan. Kini saya lebih berlapang dada dalam apa jua yang mendatang dalam sisa kehidupan ini. OK setakat ini dahulu... Jom masuk bab masakan pula. 




Saya memang suka lauk lauk Kelantan kerana saya memang dilahir dan dibesarkan di Kelantan. Lauk pauk dan kuih muih Kelantan memang tidak pernah menjemukan saya. Kalau tak lalu makan, bila ada lauk Kelantan jer terus ada selera. 

Hari tu, menantu saya beli seekor ikan tongkol di East Street Market yang besar dengan berat 2 kg, jadi bolehlah guna untuk masak beberapa jenis lauk. Sebelum ini masak gulai lauk nasi berlauk. Boleh klik di SINI. Hahaha melayan tekak sendiri. Hari ini gulai untuk nasi dagang Kelantan pulak. Tapi serious lah, sedap sangat lauk ini. 

Saya menambah nasi 3 kali juga hari ini. Bertambah sedap sebab makan dengan ikan kering anak ikan tamban. Nana pun sama makan menambah nambah. Aduhai, kalau ikut hati mahu nak menambah lagi tapi kena kurangkan makan. Sebab lagi seminggu nak mula berpuasa Ramadhan. 

Resipi ini saya belajar dengan kakak saya dan juga ambil tips dari sahabat saya, Datin Huslina. Kakak saya memang sedap kalau bab masak nasi dagang. Nasi dagang dia banyak lauk. Selain gulai ikan tongkol, ada juga gulai kerutuk itik serati dan gulai ayam kampung. Ada juga sambal nyor dan acar. Datin Huslina pula memang biasa melihat emaknya memasak nasi dagang dari dulu lagi. Jadi banyak lah tips yang dia ada untuk memasak lauk nasi dagang dan juga nasi dagang. 

Kalau tengok gambar di bawah, macam kuah cair kan. Sebenarnya OK jer sebab bila dah sejuk, kuah akan menjadi sedikit pekat. Jadi kena adjust sebab gulai ni memang sedap kalau kuah sedikit pekat.



Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Jangan lupa video penyediaannya di Azie Kitchen YouTube Channel di SINI. Selamat mencuba….



Gulai Ikan Tongkol Lauk Nasi Dagang Kelantan
Oleh: Azie Kitchen

Bahan kisar:
1 biji bawang besar - saiz besar
2 ulas bawang putih 
1 inci halia 
1 sudu besar cili kering kisar
1 sudu besar rempah kari ikan Babas
Seketul lengkuas - ketuk

Bahan lain:
Ikan tongkol - telah direbus
Air asam jawa/asam keping
Santan
Garam secukupnya
Gula Melaka
2 biji telur rebus - opsyenal
Segenggam cili padi - hiasan
Timun - opsyenal
Minyak masak

Cara cara:
Rebus ikan dengan garam, asam keping dan gula Melaka sehingga air tinggal separuh. Tutup api dan biarkan semalaman, lagi sedap. 

Panaskan minyak dan tumis bahan kisar dan cili kering sehingga terbit minyak. Masukkan rempah kari, lengkuas dan kacau sehingga terbit minyak. Masukkan air asam jawa. 

Masukkan santan dan masak sehingga mendidih dan terbit minyak. 

Setelah terbit minyak, baru masukkan ikan rebus. Masukkan perasa garam, gula Melaka. 

Akhir sekali, masukkan telur rebus dan timun. Masak sehingga timun separuh masak. Sebelum tutup api, tabur cili padi. Boleh tutup api.


Nota:
Lauk ini sedap dimakan dengan nasi dagang Kelantan.


Catat Ulasan for "Gulai Ikan Tongkol Nasi Dagang Kelantan Dan Nostalgia Sembilu"