Mount Titlis Kami Datang Lagi Day 8
Alhamdulillah kita bersua lagi. Hari ini saya akan menyambung catatan percutian tahunan bersama BFF di mana kali ini di Itali dan Switzerland pada 11 sehingga 21 Oktober 2025. Percutian santai yang tidak memenatkan untuk kami.
Destinasi hari kelapan kami ialah Mount Titlis. Boleh klik entri sebelum ini di SINI. Hari yang ditunggu tunggu dan mungkin kemuncak untuk percutian di Switzerland. Walaupun ditunggu tunggu, saya ada sedikit rasa cuak dek pengalaman sebelum ini bila tiba tiba saya berpeluh sejuk dan rasa pening ketika di sini.
Seperti biasa, pagi selepas sarapan, kami terus check out Hotel Grauholz dan bergambar di perkarangan hotel sebelum memulakan perjalanan ke Engelberg. Bergambar di hotel sebelum memulakan perjalanan seperti dah satu kemestian untuk group kami. Hahaha itulah yang best bila kita kita bercuti sesama BFF yang dah saling memahami antara satu sama lain.
Sepanjang perjalanan ke Engelberg, saya ralit melihat pemandangan yang sangat cantik. Cantik sangat kejadian alam yang pastinya tiada di tempat kita. Itu sebab kita digalakkan berjalan untuk melihat kehebatan ciptaan Illahi.
Sesampai di Engelberg, semua ke bilik air dahulu sementara tour leader mendapatkan tiket untuk naik kereta cable. Kami tak melepaskan peluang untuk bergambar kerana pemandangan gunung ganang di sekeliling yang sangat cantik. 360 degree cantik, tinggal pusing jer badan bila bergambar supaya dapat cover semua angle.
Untuk ke kemuncak Mount Titlis, kita akan menaiki dua kereta cable. Yang pertama, yang memuatkan seramai 6 orang. Jika orang tak ramai, boleh jer kita masuk 4 orang atau kurang. Tapi kalau masa orang ramai, akan ada petugas memastikan kereta cable dipenuhi oleh 6 orang. Pemandangan sepanjang di dalam kereta kable memang sangat cantik.
Kereta cable akan berhenti di stesyen pertama untuk mereka yang ingin singgah di sini untuk pelbagai aktiviti. Kami tak pernah singgah di sini. Kami meneruskan perjalanan sehingga ke platform seterusnya.
Di sini pulak, kita akan naik kereta cable yang memuatkan lebih 20 orang. Ianya adalah kereta cable panoramic view di mana ia berpusing 360 degree membolehkan kita melihat pemandangan sekeliling. Kalau masa winter, pemandangan di bawah sangat lah cantik dengan salji memutih dan kelihatan ramai bermain ski menuruni gunung.
Sebaik sampai, kami kena berjalan melalui terowong glacier cave yang panjang untuk ke kawasan platform terbuka untuk bermain salji. Ini adalah kerana kami diberitahu tidak boleh masuk melalui tingkat 5 kerana adanya kerja kerja pembinaan. Jalan di terowong ini licin dan berair mungkin kerana terlalu ramai orang melaluinya. Sejuk pulak tu. Handlebar pemegangnya pula rendah separas lutut saya sahaja. Jadi kalau nak berpegang pada pemegang ni, memang kena membongkok. Orang pula ramai, tak boleh bernafas pulak rasanya.
Sebaik habis jalan yang licin, kami diberitahu untuk berpatah balik kerana waktu makan tengahari untuk kumpulan kami telah ditetapkan oleh pihak restoran pada pukul 12.30 tengahari. Jadi kena makan dulu sebelum keluar untuk bergambar di kawasan salji. Makan tengahari ini tiada dalam pakej tapi tambahan dengan bayaran RM120 seorang.
Besan saya minta untuk berjumpa dengan boss restoran untuk menanyakan berkenaan makanan halal yang disediakan. Makanan di sini sedap juga. Masak lemak ayam dengan cendawan, sayur campur yang sedap, sosej dan dalca sayur. Ada juga diberikan desert iaitu pengat jagung dan sagu yang sedap sangat.
Selesai makan, kami mula bergerak untuk ke kawasan terbuka yang terdapat salji. Alhamdulillah kerana ada dibuka platform di tingkat 5 tanpa kami perlu melalui sekali lagi lagi glacier cave yang licin dan sejuk.
Alhamdulillah sungguh bersyukur kerana dapat sekali lagi menjejakkan kaki di Mount Titlis. Boleh klik entri saya dengan anak anak di SINI. Kalau dulu kami datang bersama Nelly dan Juita. Boy dan Mia, juga Aween tidak dapat datang kerana urusan yang tidak dapat dielakkan. Kali ini bersama kawan kawan pula yang pastinya keseronokannya berbeza.
Selepas bergambar untuk group photo, masing masing bergerak mengikut spot pilihan masing masing. Yang lebih adventures, akan berjalan ke kawasan Titlis cliff walk yang sepanjang 100 meter dan lebar 1 meter terletak tergantung dengan kedalaman 500 meter dari satu gunung berbatu menghadap ke satu gunung berbatu yang lain. Manakala yang gayat, akan bergambar di kawasan berdekatan bangunan sahaja. Senang nak masuk bangunan kalau rasa penat.
Di sini tiada aktiviti lain selain dari aktiviti bergambar. Belum apa apa, saya dah terjatuh terduduk kerana licin. Cabarannya ialah untuk bangun setelah jatuh kerana kaki tidak dapat menahan permukaan licin untuk bangun. Memerlukan 2 orang untuk memegang dan mengangkat. Jika ini berlaku, pastikan kasut kita menahan di kasut kawan yang mengangkat kita. Bila saya dah jatuh, besan saya pun nak duduk juga untuk bergambar di atas salji yang sejuk.
Bila bila nampak jer kawan kawan, minta mereka tolong ambil gambar kami berdua. Bergilir gilir lah. Kalau tidak, tak ada lah gambar berdua.
Masa ke sini March 2019 dulu, saya tak sampai pun di laluan Titlis cliff walk kerana saya merasa sesak nafas dan berpatah balik. Saya memang trauma kerana udara nipis menjadikan kita tidak puas bernafas. Maklumlah Mount Titlis berada di ketinggian 3020 dari permukaan paras laut.
Lagi pulak, salji tebal menenggelamkan kaki melambatkan untuk saya sampai ke dalam bangunan. Kali ini, salji tak tebal jadi cepat jer saya dan Datin Ruzaini berjalan ke sini. Itu pun tak lama. Tak berani untuk lama lama di tempat terbuka.
Ketika sampai di cliff walk ini, semua kawan kawan terpisah. Dah tak nampak mereka. Ada yang pergi jauh ke kawasan salji dan ada yang dah masuk rehat dalam bangunan. Tinggal kami bertiga jer. Saya pula gayat bila jambatan ini berhayung hayung bila ada kita berjalan di atasnya. Jadi kami pun tak berani nak berjalan ke tengah lagi. Terus berpatah balik.
Kami masuk seketika ke dalam bangunan untuk pergi ke bilik air dan keluar semula untuk bergambar sebagai penutup. Kebetulan masih ada Datin Setia Nursinah dan Dr Nor Salita ketika itu. Jadi kami bergambar lah lagi.
Saya kemudian mengajak Hubby untuk ke tengah sedikit. Hahaha masih tak puas hati kerana saya tiada gambar di atas ais. Tengok gambar Hubby cantik lah pula. Nampak jer rendah tapi nak panjat tu pun cukup mencabar. Licin giler.
Kebetulan juga Aare masih ada di situ sedang membuat video call pada keluarga di Malaysia. Jadi dia lah yang membantu mengambil gambar kami berdua sebelum masuk ke dalam bangunan.
Kami kemudian bergambar di kawasan papan tanda iconik maklumat ketinggian Mount Titlis 3020 meter dari permukaan paras laut. Dapat dilihat kerja kerja pembinaan sedang berjalan dengan rancak sekali.
Dengan itu, kami pun mula beredar untuk meninggalkan Mount Titlis dengan mengambil kereta cable untuk turun. Secara jujur, memang rasa tak puas berada di sini. Nak mengambil gambar yang cantik pun bukan mudah kerana permukaan yang licin dan sejuk. Bila dah duduk di atas ais tu, nak bangun pun susah.
Semasa dalam perjalanan turun, kami masih bergambar untuk kenang kenangan di dalam kereta cable dengan latarbelakang yang cantik. Percutian bersama kawan kawan tak sama dengan percutian dengan keluarga atau pakej public. Kami dah saling mengenali sejak zaman universiti lagi. Semua sporting jer untuk bergambar dan mengambil gambar.
Selepas bergambar, kami menaiki bas dan dibawa untuk solat di sebuah surau komuniti. Terdapat masyarakat Islam sedang membuat aktiviti bersama sama seperti memasak, solat berjemaah dan mengajar Al Quran kepada anak anak kecil juga ketika itu.
Akhir sekali, kami dibawa untuk makan malam di Restoran Singapore. Kali ini hidangan masakan Melayu. Masya Allah portion sangat banyak. Tengok lah telur dadar macam dah guna 2-3 biji telur untuk setiap orang. Sedap masakannya, sayur lemak yang ala gulai padang dengan penggunaan daun limau purut dan ayam sambal. Tapi sebab dah malam kan, badan pun dah letih jadi makan pun tak habis.
Saya ada menyebut, jom kita ambil gambar lepas ni tak datang lagi dah sini. Sempat besan saya menyampuk, ye ke tu? Hahaha bila difikir balik, memang ya kerana tempat secantik ini pasti nak datang lagi kan. Mana mungkin ada rasa serik.
Kami kemudian dibawa untuk check in di Hotel Tailor Made di Zurich New Town di mana kami akan bermalam di sini selama 2 malam. Sehingga di sini dulu, catatan perjalanan hari ini. Sayang sayang buat semua….






.jpg)






















.jpg)


.jpg)













Catat Ulasan for "Mount Titlis Kami Datang Lagi Day 8"
Add your comment