Ikan Bawal Masak Tiga Rasa London
Sejak berita penerbangan Air India 171 terhempas setelah 32 saat berlepas pada 12 June 2025, saya merasa betapa ajal maut adalah telah ditentukan dan ianya tidak cepat dan tidak lewat walaupun sesaat. Ianya bukan suatu yang baru kita ketahui tetapi ianya adalah satu peringatan yang baru yang sentiasa perlu diperbaharui dari masa ke semasa.
Sifat manusia yang terpesona dan tertipu dengan dunia, akan melupakan bab kematian apalagi jika dunia adalah indah semata mata. Segalanya ada, dikatakan syurga dunia. Ke mana pun kita cuba lari, ianya akan datang.
Jadi kita cuma mampu berdoa agar kematian kita ialah kematian yang baik dan husnul khatimah. Perbanyakkan zikir terutama zikir yang memberi ganjaran yang sangat besar seperti istighfar, selawat ke atas baginda Rasulullah di mana bagi satu selawat, Allah akan memberikan 10 selawat pada kita. Juga setiap kali selepas solat, baca ayat Kursi kerana ianya adalah menjanjikan syurga kecuali kita belum lagi mati. OK setakat ini dahulu, semoga bermanafaat.
Sejak berada di London, ini lah kali pertama kami dapat beli ikan segar. Seronok pula bila dapat melihat ikan ikan segar yang biasa kita tengok di Malaysia seperti ikan bawal hitam, ikan kembung, ikan kerisi, udang sotong dll.
Biasa kalau tengok yang frozen di supermarket mereka ialah ikan mackerel, tuna, cod dan udang tanpa kulit. Untuk ke Billinggate kena pergi pagi antara pukul 2.00 sehingga 8.00 pagi. Saya tak ikut pergi kerana di situ, kanak kanak tidak boleh masuk.
Untuk lauk pertama yang saya masak sambil siang udang dan ikan tu ialah sambal tumis udang kerana telah ada stock cili kering kisar. Jadi sambil menyiang ikan sambil mengacau di kuali. Bayangkan sarapan pagi dengan nasi putih dan sambal tumis udang sebelum bersiap ke Peterborough.
Jadi bila balik dari sana, barulah sempat plan apa nak masak untuk seterusnya ikan ikan yang dibeli. Kalau nampak ikan bawal, yang terbayang pada saya ialah kari ikan dengan kacang bendi atau ikan goreng berlado. Tapi Nana menyebut ikan masak tiga rasa. Jadi kita ikut jer. Saya lebih suka kalau ada yang suggest nak masak apa. Tak perlu nak pening pening fikir nak masak lauk apa hari ini. Betul tak?
Ramai orang bila memasak 3 rasa akan ikut masakan ala Thai tapi saya buat cara yang mudah. Senang budak nak makan. Kalau masak ala Thai kena letak cili padi cili merah, daun limau purut dsb. Ini versi simple. Kalau ada timun, buah tomato, daun bawang, boleh juga campakkan sekali.
Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Jangan lupa video di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba…
Ikan Bawal Masak 3 Rasa
Oleh: Azie Kitchen
Bahan A:
1 ekor ikan bawal - 500 gram
1 sudu besar garam
¼ sudu kecil serbuk kunyit
1 sudu besar tepung jagung
Bahan B:
½ biji bawang besar Holland - cincang
4 ulas bawang putih - cincang
½ biji bawang Holland - hiris bulat
½ sudu besar serbuk pati ayam
½ sudu besar gula
½ cawan air
¼ cawan minyak masak
Bahan C sos
½ cawan sos cili
¼ cawan sos tomato
1 ½ sudu besar sos tiram
Bahan lain: (opsyenal)
Cili hijau
Cili merah
Nenas
Buah tomato
Timun
Cara cara:
Basuh ikan dan buang sisek. Kelar dan dilumur garam dan serbuk kunyit. Serbuk kunyit sedikit sahaja.
Tabur rata dengan tepung gandum/tepung jagung sebelum digoreng.
Panaskan minyak yang banyak dan goreng ikan sehingga masak. Jangan garing sangat takut isi keras.
Kurangkan minyak menggoreng tadi dan tumis bawang cincang sehingga naik bau. Masukkan bahan sos dan kacau rata. Masukkan air.
Masuk serbuk secukup rasa, gula dan garam, jika perlu.
Masukkan bawang besar hiris bulat dan bahan hiasan lain, jika suka.
Masukkan ikan dan tutup api. Siram rata rata dengan sos.
Nota:
Kunyit jangan banyak sebab nak masakan jadi merah.
Jika suka isi ikan lembut, masukkan ikan dalam sos. Jika suka isi ikan garing, tuang sos atas ikan.
Kalau sos lebih, simpan dalam peti beku.
Kena ada masam dan manis.
Catat Ulasan for "Ikan Bawal Masak Tiga Rasa London"
Add your comment