Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Kuih Seri Muka



Alhamdulillah hari ini saya beransur baik dan jet lag pun dah berkurangan. Sebelum masuk bab resipi, saya ingin kongsikan petikan dari kuliah online Tokku Pasir Gudang, Ustaz Md Esa Deraman berkenaan bagaimana hati boleh mati. 

Bagaimana hati boleh mati. 
  1. Tidak mahu berzikir pada Allah. Jangan kita jadi orang yang lupa sebut nama Allah. Bandingan orang sebut nama Allah dengan orang yang tidak, adalah umpama orang hidup dan orang mati. Tidur, duduk dan baring, sentiasa ingat Allah. Kalau terkejut malam, tak nak bangun sebutlah nama Allah. Atau baca doa Laa ilaahaa illallaahu wahdahuu laa syarikalaah. Lahul Mulku walahul hamdu yuhyi wayumiit, wahua ‘alaa kulli syaaiin qadiir. Doa ketika ini adalah mustajab.  
  2. Tak pernah ambil pengajaran dalam hidup yang menambah taqwa. Lihat kematian orang kaya berpangkat yang akhirnya mati. Tak ambil pengajaran ke. Orang yang dulu hidup, sekarang berada dalam kubur. Jangan sombong, tempat  kita dalam kubur. Dulu mereka yang telah mati, ada segalanya macam kita sekarang di dunia. Satu hari dah lemah, sakit dan mati. Ambil lah pengajaran. Bayar hutang siap siap sebagai persediaan. Itu yang Rasulullah ajar. 
  3. Bila kita lupa akhirat dan banyak ketawa. Tak bersungguh berbicara pasal akhirat. Jangan banyak ketawa kerana hati jadi mati. Berpada pada lah. Semenjak bila kita dah tak fikir pasal akhirat. Bila kali terakhir kita menangis kerana fikirkan akhirat dan kedudukan kita di akhirat. Selamat atau tidak kita di akhirat. Dunia makin tinggalkan kita. Akhirat makin dekat dengan kita. Pintu akhirat yang akan kita masuk. Pintu dunia yang telah kita keluar. Akhirat kelak layakkah saya di hisab untuk menerima catatan amal dengan tangan kanan. Takut kalau kita dihisab dengan susah dan berat, dipersoal dengan soalan yang kita tak mampu jawab. Kalau kita tak fikir akhirat kita, siapa nak fikirkan untuk kita.  
  4. Terus cenderung pada kelazatan hidup di dunia. Apa yang jadi dunia cemerlang. Jaga image untuk jadikan dunia cemerlang. Tanya diri kita. Terlalu cenderung sangat akan jadikan hati kita mati. Kalau nak rasa semua kelazatan makanan akan cepatlah datang penyakit dan umur pendek. Abaikan hidup sebagai orang mukmin, jiran. Kena ada masa untuk kuliah, dengan jiran. Semua ada hak atas kita. 
  5. Bila hati penuh dengan penyakit riak, sombong dan ujub. Semua kita yang bagus sekali. Kita suka berlumba. Tak semua benda nak kena berlumba. Sesekali kena beralah untuk didik hati. Hati boleh rosak. Belajar dengar orang bercakap. Orang alim pun masih belajar untuk didik hati. Kita dengar orang bakar Al Quran, kita rasa terkesan. Kalau tak ada, tanda hati mati. Kita patut ada rasa simpati bila ada ekonomi negara Islam merosok. Kita kena bantu apa yang patut. Carilah hati pada 3 tempat. Ketika mendengar Al Quran. Kalau dengar lagu, ada feeling. Kedua, dalam majlis ilmu. Ketiga, ketika kamu bersendirian dengan bermuhasabah. 

OK sekarang kita masuk pula bab resipi. Saya hari ini sebenarnya mencuba resipi yang dikongsi di Instagram yang dikatakan sedap dan gerenti jadi. Jadi saya pun mencuba sekadar untuk melihat bagaimana hasilnya. Kalau tanya sayalah, resipi ini bagai ada yang tak kena sangat dengan selera saya. 

Kemanisan pun tidak kena. Nama pun kuih, kalau bukan manis, tidaklah sedap kuih. Tapi bukan lah kemanisan berlebihan pula.  Tapi tidak lah sampai kategori tak sedap pulak. 

Pastinya selepas ini, saya akan kembali dan setia dengan resipi keeper saya di SINISINI dan di SINI. Dah banyak kali cuba resipi lain, namun tidak menepati dengan selera saya untuk sekeping kuih seri muka. 

Saya buat hari ini hanya separuh adunan sahaja. Semua bahan dibahagi dua kecuali telur yang saya gunakan 1 biji sahaja.

Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Jangan lupa video penyediaannya di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba….


Kuih Seri Muka
Oleh: Azie Kitchen

Bahan A:
2 cawan beras pulut susu
1 cawan santan segar
Daun pandan
Garam

Basuh dan rendam beras pulut selama 20 minit. Masukkan santan, garam dan kukus selama 20 minit atau sehingga masak. Nota: ukuran lapisan santan agak agak tenggelam beras pulut.


Setelah santan kering, kacau rata dan kukus seketika lagi. Angkat dan tekan tekan sehingga padat. Ketepikan. 



Bahan B:
2 cawan tepung gandum
2 sudu besar tepung jagung
1 biji telur
5 cawan santan + air pandan
1 cawan gula pasir
Pewarna hijau

Kisar halus semua bahan di atas. Masak atas dapur sambil terus dikacau sekadar keluar wap sahaja. Tuang atas pulut yang telah ditekan padat tadi.

Kukus selama 30-45 minit atau sehingga masak atas pengukus yang airnya sekadar mendidih sahaja. Nota: Jangan mendidih besar kerana permukaan kuih akan menggelembung. 

Ketika mula mengukus, buka penutup pengukus setiap 2-3 minit sekali dan tutup semula untuk membuang wap yang kuat. Ulang sehingga kuih agak keras. 

Untuk 5 minit terakhir, buka penutup pengukus dan kukus tanpa penutup untuk mengeringkan air di permukaan kuih. Cucuk dengan lidi, jika tidak melekat menandakan lapisan atas telah masak.


Biarkan sejuk selama 3-4 jam, baru dipotong dengan pisau plastik bersaiz kecil atau pisau yang dilenser dengan minyak.

Nota:
Celupkan pisau ke dalam air panas dan potong. Sekiranya ada pulut melekat di pisau, bersihkan dulu. Celup pisau ke dalam air panas dan ulanglah sehingga selesai. Semasa dipotong, jangan ditarik pisau, bagi mengelakkan potongan lapisan atas menjadi tidak cantik.

Jika untuk makan pagi, seelok buat sebelah malam. Kalau untuk hidangan petang, boleh disediakan awal pagi. Kuih seri muka boleh tahan lebih 30 jam di bawah tudung saji.


1 ulasan for "Kuih Seri Muka "