Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Super Moist Butter Cake



Assalamualaikum semua. Apa khabar dan diharapkan anda semua berada dalam keadaan sihat walafiat. Sebelum itu, jangan lupa untuk klik iklan yang keluar di bahagian atas blog saya ini tau. Terima kasih dan saya sangat menghargainya. 

Aduhai lama betul tak membuat sendiri kek terutama kek mentega. Saya memang suka kek mentega yang lembab dan gebu. Maklum lah anak kampung macam saya, masa kecil dulu tak jumpa kek lain. 

Hanya kek mentega jer yang ada pun. Itu pun kalau ada yang membuatnya di musim raya. Rumah kami memang tak ada lah kek dan biskut. Bila kakak dah besar dan masuk sekolah berasrama, baru kakak menyediakannya untuk dihidang pada hari raya. 

Bila terbaca resipi ini yang dikatakan super moist itu yang sangat teruja untuk mencubanya. Lagi pun bahan bahan semua cukup di rumah. Kalau barang tak cukup yang jadi mematikan semangat kan?

Saya ada kongsi dalam Instagram akan hasil kejadiannya. Alhamdulillah ramai yang sudi like dan komen. Bukan apa, kadang kadang jadi hilang motivasi bila setiap kali pos, semua diam jer. Kalau istilah IG, engagement sangat rendah. Macam orang tak baca dan tak berminat. 

Jadi saya bertanya kalau ada ramai yang berminat dengan resipi, baru saya akan kongsikan resipinya. Alhamdulillah, ramai yang komen NAK. Sebagai menunaikan janji, saya kongsikan resipinya di bawah ini. 

Kek mentega ini bila masak berbau sangat harum. Bau mentega yang membuatkan dapur menjadi semerbak sekali. Saya makan kek ini dengan teh tarik yang Nana sediakan, memang best sangat. 

Sebenarnya mana mana kek pun, selepas sehari akan menjadi lebih moist kerana minyak dari mentega akan menyerap sebati dengan bahan bahan lain. Jadi kalau nak kek lebih moist, tunggu lepas sehari. Pasti lebih sedap dan lebih moist.


Saya memasak kek saiz kecil sahaja menggunakan sukatan yang di belakang. Bahan dan sukatan di depan adalah untuk sukatan asal. 

Membuat kek mentega sebenarnya tidak susah tetapi ada teknik yang perlu diperhatikan supaya kek yang dihasilkan moist. Sebagai contoh, tak boleh terlebih pukul adunan, tak boleh terlebih bakar. 

Antara satu oven dengan satu oven, kepanasan berbeza. Jadi 10 minit sebelum masa ditetapkan, kita dah kena perhatikan prestasi oven kita. Bila kek masak sahaja, terus tutup oven dan keluarkan. 

Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Jangan lupa video penyediaannya di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba…


Super Moist Butter Cake

Bahan bahan:
1 ½ cawan tepung gandum (180g) - 72 gram
250 gram mentega - 100 gram
5 biji telur - 2 biji
1 sudu kecil baking powder - 1/8 sudu kecil
¼ sudu kecil garam - tak letak
1 sudu kecil esen vanila - sedikit
50 ml susu segar (¼ cawan) - 20 ml
1 cawan gula kaster (200g) - 80 gram

Cara cara:
Ayak tepung gandum bersama baking powder.

Pukul mentega selama 1 minit. Masukkan gula dan putar sehingga adunan berwarna pucat dan kembang.

Masukkan telur satu demi satu sambil terus dipukul.

Masukkan garam (jika guna mentega tanpa garam) dan esen vanilla. Putar sebati.

Masukkan tepung dalam 2 bahagian. Gaul rata secara kaup balik.

Masukkan susu sedikit demi sedikit. Kaup balik sehingga sebati.

Tuang dalam loyang yang telah dilenser mentega. Hentak loyang beberapa kali.

Bakar dalam oven yang telah dipanaskan pada suhu 180C selama 30 minit.

Lalukan pisau keliling loyang. Sejukkan selama 10 minit sebelum dipotong.


Nota:
Saya buat separuh adunan mengikut sukatan di kanan dan bakar dalam loyang bulat saiz 6”. Bakar lebih kurang 40 minit.

Saya guna mentega dengan garam, jadi saya tak masuk garam.


Catat Ulasan for "Super Moist Butter Cake "