Isnin, 22 November 2021

Kurma Daging Yang Sedap



Sebelum kita mulakan, harap anda semua sudi klik iklan di blog dan juga klik Follow Blog ya. Terima kasih atas kerjasama anda semua dan semoga saya terus kekal bermotivasi untuk update blog ini. 

Sebelum ini saya ada berkongsi dalam Instagram dan facebook petikan dari kuliah oleh Tokku Pasir Gudang berkenaan dengan mereka yang masuk umur 50 tahun dan 60 tahun, tidak lagi boleh berkawan dengan semua orang. Kena mula memilih kawan kerana kawan akan menentukan agama dan kesibukan kita di akhir usia.

Jika kawan yang baik, kesibukan kita adalah pada perkara kebaikan dan jalan Allah. Tapi kalau sebaliknya, usia akhir kita akan disibukkan dengan urusan dunia dan perkara yang melalai dan menyesatkan. 

Jika mereka yang Allah mahu berikan kefahaman, mereka akan terus faham. Faham bab agama adalah hidayah dan kurniaan Allah. Tidak semua orang akan mendapatnya. Bagi yang tak faham, akan menulis pelbagai komen mengatakan tak salah berkawan dengan semua orang, mana tahu boleh bawa kawan yang tak baik ke arah kebaikan. 

Jawapan saya berdasarkan kupasan ustaz, adakah kita telah cukup kuat untuk menarik kawan ke arah kebaikan. Di usia seperti ini, kita tidak boleh lagi membuang masa. Masa kena diperuntukkan kepada perkara yang penting. Harus memberi prioriti kepada perkara yang mendapat manafaat yang besar di jalan Allah.  

Kita jadi baik kerana Allah yang hendakkan kita menjadi baik, bukan kerana kita baik. Contoh, kita ke masjid kerana Allah mengizinkan ianya berlaku. Bukan kerana diri kita. Jadinya kita yang telah berusia, tak perlu lagi ke sana sini dengan girlfriend, ber tik tok sana sini. 

Kedua, ada yang marah marah kononnya seolah saya perasan saya baik dan sebagainya. Siap menulis saya sebagai bodoh. Subhanallaah, saya tak marah pun kerana ternyata dia tidak diberikan Allah untuk faham. Allah akan memberi faham pada siapa yang Allah kehendaki. 

Kawan di sini kena fahami konteksnya, bukan bermakna kita perlu bermusuh tapi kita tidak rapat, tidak selalu hubungi minta nasihat dan berkongsi apa apa masalah. Pernah dengar tak, yang kalau kita bagi makan sekali pun, bagi makan pada orang orang yang soleh yang akan memberi tenaga untuk mereka beribadah kepada Allah.

Ada yang tulis dia akan berkawan dengan semua orang yang menghulur tangan untuk berkawan. Memang ok tapi adakah ianya telah dianggap kawan atau sekadar kenalan. Contoh kalau rasa nak belanja makan, atau kenduri, adakah kita akan panggil orang yang sekali dua menghulur berjabat tangan tadi? 

Ketiga, ramai yang menulis mereka dari usia 30 tahun pun dah mula memilih kawan. Jawapan saya, bagus jika anda telah mendapat hidayah untuk faham keperluan ini. Kenapa di usia 50 tahun kerana ianya adalah usia tua di mana seseorang wajib menyiapkan diri pada kematian. 

Sebaiknya kita memilih kawan yang baik sepanjang masa. Tanpa mengira usia. Tidak salah untuk berkawan dengan semua orang tapi tidak mungkin semua orang yang kita kenal, kita akan berhubung dan bertanya khabar kecuali dengan beberapa orang sahaja. Ini lah yang dikira sebagai kawan dalam peringatan Tokku Pasir Gudang di atas. Cukup setakat ini dahulu. Semoga bermanafaat. 


Serious sangat sedap kurma daging saya hari ini. Saya jarang memasak kurma kerana anak anak tak berapa suka. Masa kecil dulu, saya suka makan kurma kerana arwah Bonda rajin memasak kurma. Malah otak lembu pun kegemaran saya dimasak kurma juga.

Tapi satu hari saya menerima kurma daging kambing dari majlis aqiqah Datin Huslina yang pada saya sangat sedap. Saya bukan sahaja makan dengan nasi tapi juga dicicah dengan roti. 

Dari situ, timbul hasrat untuk memasak kurma daging walaupun tahu tak ada yang suka makan. Jika sedap dan kena dengan selera, saya sendiri akan makan. Jadi tak adalah istilah membazirkan. 

Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Selamat mencuba...


Kurma Daging Sedap

Bahan-bahan:
½ kilo daging
4 sudu besar rempah kurma - 50 gram
500 ml santan
Bunga lawang, kulit kayu manjs dan buah pelaga
2 biji cili hijau - belah 2
2 biji ubi kentang - potong dadu
1 biji buah tomato - belah 4
1 biji bawang besar - belah 4
1 keping asam keping
Garam
Sedikit gula
½ cawan minyak masak

Bahan hiris:
1 inci halia
3-4 biji bawang merah ulas
3 ulas bawang putih

Cara-caranya:
Panaskan minyak dan tumis rempah 4 sekawan dan bahan hiris sehingga keperangan.


Masukkan rempah kurma dan kacau rata. Masukkan sedikit air dan masak sehingga terbit minyak. Boleh masukkan air lagi sehingga terbit minyak sekali lagi bagi memastikan rempah benar benar masak.

Masukkan daging dan kacau rata. Masukkan air dan masak sehingga daging empuk. Masukkan ubi kentang.


Setelah daging empuk, masukkan santan dan masak sehingga mendidih.


Masukkan garam, gula dan asam keping. Masak sehingga terbit minyak. Masukkan buah tomato, bawang besar, cili hijau dan daun sadri.

Masak sehingga terbit minyak dan pekat kuah yang disukai. Bolehlah tutup api.




1 ulasan

Add your comment