Ayam Ungkep Jawa
Alhamdulillah kita bertemu lagi, hari ini adalah hari Jumaat yang penuh dengan keberkatan. Penghulu segala hari. Semoga hari ini anda telah pun membaca surah Al Kahfi dan juga memperbanyakkan zikir dan doa. Kadang kadang memang kita akan rasa berat dan malas tapi kita kena lawan perasaan malas tersebut, kita kena bermujahadah. Ianya adalah peringatan untuk diri saya sendiri juga.
Sebelum itu, jangan lupa mengundi saya untuk Anugerah Influencer Meletop. Kena undi setiap hari. Walaupun saya memang susah untuk menang, tapi sekadar memberi sokongan kepada penganjur yang telah mencalonkan saya. Boleh klik link di SINI.
Setiap hari usia kita semakin lama semakin pendek, semakin singkat. Kita tak tahu andainya kita. punya masa berbaki yang sangat singkat. Kita akan tahu kita akan mati setelah kita didatangi oleh Malaikat Maut.
Kita akan yakin dengan kematian setelah kita berada di dua alam di mana sebelah dari kaki kita telah berada di alam barzah dan hijab mata kita telah diangkat yang membolehkan kita melihat malaikat maut dan melihat dosa pahala yang kita lakukan. Ketika itu, mereka masih mendengar apa yang kita bicarakan tapi mereka tidak lagi dapat respond.
Masih saya ingin saat arwah ayah meninggal pada 13 Mei 1995, saya dan hubby tunggu di sebelah katil hospital sementara bonda dan adik beradik lain beredar untuk menunaikan solat Maghrib.
Saya duduk di kerusi tepi katil dan hubby berdiri di bahagian kepala. Arwah ketika itu berehat dengan tenang selepas kesakitan serangan jantung sebelah petangnya. Bila hubby beritahu, Zie cepat panggil doktor. Saya berdiri dan tergaman kerana ketika itu saya melihat mata arwah memandang ke atas bahagian kepala.
Oleh kerana terlalu panik, saya tidak dapat memanggil Bonda yang hanya berada di luar tingkap katil sahaja. Saya hanya mampu melambai lambai tanpa mengeluarkan sepatah suara. Tidak juga mampu memanggil doktor sehingga husband terpaksa memanggil doktor. Inilah saat yang tetap kekal di ingatan saya sehingga kini. Saya nampak dengan jelas apa yang dikatakan mata diangkat hijabnya. Dahi akan keluar peluh.
Semua orang akan merasa takut menghadapi detik detik ini melainkan orang yang benar benar beriman dan beramal soleh. Itu pun mereka juga tidak tahu kalau amalan mereka di terima melainkan kita di saat akhir usia, bersangka baik dan mengharap Allah akan mengampunkan dosa kita.
Saya hari ini ingin kongsikan resipi ayam ungkep. Saya telah beberapa kali mencuba resipi ayam ungkep tapi bila ada follower yang mencadangkan saya menyediakan resipi ayam ungkep masakan orang Jawa, saya pun mendapat idea untuk memasaknya hari ini.
Hari itu, saya pening kepala memikirkan apa lauk ayam yang perlu dimasak. Anak anak saya kalau tak ada lauk ayam, memang mereka rasa seperti tak ada lauk. Saya pun bingung memikirkan apa lauk yang nak dimasak. Bila ditanya pada follower, banyak cadangan yang saya dapat. Banyak idea yang saya dapat.
Resipi ini sangat mudah cuma perlu masukkan semua sekali dan renih dengan api sederhana supaya ianya benar benar meresap dan sebati ayam dengan rempah. Jika suka berkuah, jangan dikeringkan. Kepada yang belum pernah merasainya, bolehlah mencuba...
Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Selamat mencuba....
Ayam Ungkep Jawa
Oleh: Azie Kitchen
Bahan bahan:
1 ekor ayam - potong kecil
Garam
Serbuk kunyit
Bahan tumbuk/kisar:
8 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
10 biji cili padi
3 sudu besar biji ketumbar
1 sudu besar jintan manis
1 inci kunyit hidup - guna serbuk kunyit
Bahan lain:
2 batang - serai - ketuk
¼ cawan minyak masak
½ sudu kecil pes asam jawa
½ sudu besar gula atau secukup rasa
Garam secukup rasa
Serbuk perasa
Cara cara:
Ayam dilumur garam dan serbuk kunyit dan digoreng separuh masak. Nota: boleh juga jika tak mahu goreng ayam.
Panaskan minyak dan tumis bahan tumbuk dan serai sehingga wangi.
Masukkan ayam dan kacau rata. Tambahkan sedikit air separas ayam.
Kemudian, masukkan semua bahan lain. Tutup periuk, biarkan ayam mereneh dengan api perlahan sehingga ayam masak.
Masak hingga hampir kering atau boleh juga jika mahu berkuah sikit.
Tips:
Boleh juga dimasak tanpa menumis, iaitu masukkan semua bahan (tanpa minyak) bersama sedikit air di dalam periuk, lalu dimasak ungkep hingga kuah hampir kering.
Gunakan ayam kampung atau ayam pencen supaya isi ayam tetap pejal apabila dimasak lama.
Boleh juga jika mahu dimasukkan sedikit santan.
Sedap juga menggunakan daging tulang rusuk.
Catat Ulasan for "Ayam Ungkep Jawa"
Add your comment