Rabu, 29 September 2021

Apam Gula Merah Yang Gebu Dan Sedap



Sebelum kita masuk bab resipi, saya ingin kongsikan petikan dari kuliah zoom malam tadi oleh Ustaz Firdaus Subhi dengan topik Sayangi Diri. Dicatat dalam Al Quran di mana manusia dijadikan dalam keadaan keluh kesah. Bila Allah beri kesusahan mereka cepat putus asa. Memiliki sifat lemah bila mengalami kesusahan. Bila mengalami kekayaan, tak nak bagi orang lain kerana cinta dan sayang pada harta. Dalam diri ada sifat keakuan merasa kehidupan adalah milik manusia. Betapa manusia sangat cintai diri mereka berbanding dengan mencintai orang lain.

Rasulullah mendidik sahabat untuk menyayangi manusia lain. Tidak akan beriman salah seorang dari kamu sehingga kamu mencintai saudara kamu seperti mana dia mencintai dirinya. Apa diajar dalam Islam cukup menarik. Ada manusia ada kelebihan yang Allah berikan sehingga mereka bersifat sombong. Jangan berjalan di muka bumi Allah dalam keadaan sombong. Tidak akan masuk syurga andainya ada sebesar zarah sifat sombong di dalam hati.

Hakikat Allah bagi kelebihan untuk kita bersyukur. Kekurangan untuk hadapi ujian dalam keadaan sabar. Kelebihan Allah kurniakan pada orang beriman. di mana dalam semua urusan orang beriman ialah sesungguhnya semuanya memberi kebaikan. Tidak berlaku pada siapa pun melainkan orang beriman. Sekiranya menimpa dengan kelebihan, kegembiraan dan kekayaan, dia bersyukur. Baginya kebaikan yang akan diberikan Allah. Jika ditimpa kesusahan lantas dia bersabar. Maka baginya kebaikan juga yang Allah berikan. Ini perkara yang berlaku pada orang beriman. Kelebihan dan kekurangan adalah ujian.

Rasulullah bagi panduan dalam kehidupan dengan pengajaran dalam bentuk perbuatan Nabi, kata kata Nabi dan pengiktirafan. Dalam masa sama Al quran telah memandu kehidupan orang beriman. Kena susun semula rasa cinta kerana Allah taala kerana kita milik Allah dan akan kembali pada Allah.

Rasulullah bersabda seorang mukmin beriman yang kuat lebih baik dan dicintai Allah dari mukmin yang lemah. Setiap perkara beri kebaikan. Berlumba lumba pada apa yang beri manafaat pada kamu dan minta tolong pada Allah. Dan janganlah rasa lemah bila menimpa pada kamu sesuatu ujian. Jangan sesekali berkata jika aku lakukan begini pasti akan terjadi sebegini rupa. Tapi Allah takdirkan sedemikian rupa mengikut apa yang Allah kehendaki, maka Allah akan lakukan. Kalimah jika dan kalau akan membuka ruang untuk godaan syaitan.

Jika sayang diri kita jadikan diri kita insan gagah. Perlu beberapa perkara untuk letak diri sebagai insan yang kuat gagah sebelum bertemu Allah. Pertama perlu mempelajari ilmu. Dan kedua pwelu tingkatkan taqwa kepada Allah.

Perlu pelajari ilmu itu sendiri. Bila ada ilmu, baru ada timbul kekuatan dan rasa cinta terhadap diri mereka. Bila kita tahu, kita akan rasa sayang padanya. Contoh, kenapa kita suka rumah besar kerana kita tahu kelebihan menpunyai rumah besar. Kenapa perlu sayang diri kita? Ilmu mengajar diri kita yang kita akan ditanya di hadapan Allah kelak.

Rasulullah bersabda, tidak akan berganjak kaki anak adam di hadapan Allah sehingga selesai pertanyaan 4 soalan. Kita ditanya, umur kita di mana kita habiskan usia dalam kehidupan di sisi Allah. Kedua, ilmu yang Allah kurniakan pada kita. Di mana kita guna dan diamalkan. Ilmu dipelajari bukan sekadar dengar tapi untuk kita amal dan guna dalam kehidupan kerana akan ditanya di hari akhirat. Ketiga, ditanya terhadap harta di mana diperolehi dan di mana menafkah harta. Keempat, muda kita waktu paling banyak nafsu dalam diri kita. Rasulullah ambil berat soal Muda. Banyak yang kita lakukan tidak diredhai.

Perlu jadi manusia yang hidup dalam keadaan menuntut ilmu. Menuntut ilmu adalah fardhu pada setiap orang beriman. Ilmu apa? Ilmu yang paling penting ialah ilmu mengesakan Allah. Persoalan akidah amalan yang kita lakukan. Kalau kita buat tanpa dikaitkan dengan akidah dan keimanan pada Allah, akan beri gambaran sia sia. Setiap kerja tanpa iman pada Allah tidak akan diterima Allah. Apabila dilakukan atas dasar keimanan pada Allah, akan ada balasan baik yang Allah akan berikan.

Tingkatkan taqwa pada Allah sehingga Allah menyebut Barang siapa bertaqwa kepada Allah, maka Allah menjadikan baginya jalan keluar bukan sekadar selesai masalah kita hadapi tapi Allah akan bagi rezeki yang tidak disangka sangka. Puncanya kerana sifat taqwa yang kita laksanakan.

Taqwa ialah sifat yang lahirkan sifat takut pada Allah. Rasa takut di mana bila kita buat salah, kita segera istighfar. Bagaimana nak lahir sifat taqwa? Pertama, kita latih baca Al Quran. Hati akan sentiasa terdetik untuk rasa Allah bersama kita. Berzikir dengan zikir yang banyak akan menyebabkan kita dekat pada Allah. Duduk bersama orang soleh. Akan meningkatkan taqwa kita pada Allah.

Allah sediakan syurga seluas langit dan bumi untuk orang bertaqwa. Ciri ciri mereka yang bertaqwa ialah suka menginfak hartanya dalam keadaan susah dan senang ke jalan Allah. Sifat menahan kemarahan adalah juga ciri orang bertaqwa. Sifat pemaaf adalah ciri orang bertaqwa. Redhai dengan sedikit yang Allah berikan. Tidak timbul untuk berasa tidak puashati pada Allah. Dalam apa posisi atas atau bawah, mereka meletak sifat redha atas apa yang Allah kurniakan. Bila rasa redhai Allah, ada keberkatan. Bukan banyak atau kekayaan tapi barakah diukur dengan melihat sejauh mana kita mampu untuk lahir rasa syukur atas pemberian Allah pada kita.

Keempat untuk lahir sifat taqwa, kena ada istighfar iaitu persiapan untuk bergerak menuju Allah. Kita makin hampir usia meningkat sehingga kita tak perasan. Kita makin dekat dengan hari akhirat. Orang bertaqwa ialah mereka bersiap sedia untuk pertemuan dengan Allah. Jika kamu memperolehi satu kemuliaan yang tidak akan binasa, jangan lah kamu berbangga dengan satu kemuliaan yang akan binasa. Jangan bangga dengan kemuliaan sementara iaitu segala bentuk kebahagiaan masa hidup di dunia.

Kalau mahu kemuliaan berkekalan jangan bangga dengan kemuliaan sementara sifatnya. Kekayaan sifatnya sementara. Banyak mana harta yang kita miliki, akhir saat kita kembali harta akan diambil alih oleh anak cucu dan saudara. Tiada harta kamu melainkan apa kamu makan dan habis ketika itu. Apa yang kamu sedekah, akan mengalir. Selain itu akan ditinggal pada manusia berikutnya. Harta infaq akan jadi saham dan simpanan saat kita bertemu dengan Allah. Simpanan akan membantu kita. Akan terus kekal sehingga kita layak masuk syurga.

Yang paling penting untuk kekal sayangnya pada diri kita seperti diberitahu oleh Hassan Al Basri sesungguhnya orang beriman ini amat bertanggungjawab atas diri mereka. Mereka menghisab dan menghitung diri mereka semasa di dunia, perhitungan akan menjadi ringan pada hari kiamat. Kita perlu ada muhasabah. Seorang beriman pada Allah perlu 4 ciri iaitu musyaraqah, Muraqabah, Muhasabah dan Mu’aqabah. Setakat ini dahulu, semoga bermanafaat. 




Telah lama bertangguh tangguh nak buat apam gula merah atau dikenali juga sebagai apam kampung. Tapi asyik tak menjadi jer kerana tak ada kelapa parut muda. Memang sedap kalau dimakan dengan kelapa parut muda. Baru lah terasa lemak lemaknya.  

Aduhaai. kelapa parut muda ni boleh dan sedap dimakan dengan banyak masakan. Hatta ubi kayu rebus pun sedap. Sejak kebelakangan ini, setiap hari hujan. Kalau tak hujan pun, cuaca mendung sahaja. Itu yang menjadikan perut terasa lapar sahaja. 

Jom layan resipi dan cara saya menyediakannya di bawah ini. Jangan lupa untuk melihat video di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba…



Apam Gula Merah

Bahan bahan:
1 cawan gula merah/gula perang
2 cawan air panas
3 cawan tepung gandum
1 peket yis segera - 11 gram

Cara cara:
Ayak tepung gandum dan masukkan yis. Kacau rata. Ketepikan.

Satukan gula dengan air panas. Kacau rata sehingga gula larut. Setelah larutan gula merah masih suam, masukkan tepung gandum dan yis tadi. Kacau rata dengan menggunakan whisk. 

Tutup dan biarkan sehingga adunan kembang menjadi saiz 2 kali ganda. 



Lenser loyang saiz 8”x8” dengan sedikit minyak dan tuang adunan. Bila air mendidih, kukus atas api kuat selama 30 minit atau sehingga masak. Nota: boleh cucuk dengan lidi sate, jika keluar bersih tanda telah masak. 


Setelah sejuk, potong dengan menggunakan pisau yang tajam. Gaul kelapa parut muda dengan garam. Hidangkan apam dengan kelapa parut. 




Add your comment