Isnin, 23 Ogos 2021

Kek Pisang Lembab dan Gebu



Seperti biasa sebelum kita masuk bab resipi kita isi dan jamu minda dan roh kita dengan sedikit perkongsian ilmu. Topik kuliah zoom kali ini ialah Perbandingan Dunia dan penghuninya oleh Al Fadhil Ustaz Mat Esa Deraman (Tokku Pasir Gudang) dari Kitab Ibnu Qudamah.

Pemimpin beriman akan ingatkan rakyat akan adanya akhirat. Dunia tempat membuat amalan dan mencari keuntungan di sisi Allah. Bukan keuntungan di sisi manusia. Pemimpin jahat mencari kejayaan di dunia sahaja. Dunia nikmat yang sebentar. Sedangkan akhirat tempat tinggal kamu yang abadi. Nikmat dunia adalah nikmat menipu yang memperdaya. Semuanya adalah ujian samada dari kekayaan, anak, isteri. 

Surah Al Kahfi ayat 45-46 Allah beri perumpamaan dunia seperti air hujan yang turun dari langit menyubur dan menghijau tanaman. Kemudian tanaman bertukar kekuningan dan kemudian akan hancur binasa. Hidup di dunia seronok satu sudut macam pokok berbunga dan berbuah. Lepas tu, pokok akan hancur binasa. 

Yang kekal itu ialah amalan soleh dan ketaatan di sisi Allah. Selumayan mana pun dunia, kita akan tinggalkan dunia dengan kematian. Dunia akan memalukan kita waktu mati kita. Semua yang ada akan hilang. Kita dah tak ada apa apa, hanya bawa kain kapan semata. Sangatlah rugi jika tak guna dunia untuk mencari kemuliaan akhirat. Dunia bila ditanam dengan ketaaatan, kita akan berjaya. 

Rezeki sebenar di sisi Allah ialah pahala. Harta tak kekal, sebaliknya kena convert harta untuk menjadi pahala. Pangkat pun tak kekal. Kena tukar pangkat menjadi pahala. Setiap ruang di dunia, ada pahala. Anak anak akan jadi jariah kita dengan doa dari anak anak yang soleh. Selagi dia solat, mak ayah akan mendapat pahala. Atas setiap kebaikan dan ilmu yang diajar pada anak anak, mak bapa dapat pahala. Ada Ilmu tukar jadi pahala. Maksiat anak tak jadi mudarat pada ibubapa. 

Kita kena berusaha menyiapkan dunia untuk akhirat. Supaya kita berada pada landasan yang diredhai Allah. Guna kuasa dan pengaruh kamu di dunia, untuk kejayaan di akhirat. Recommendation orang berpengaruh, akan diambil kira. Harta dan pangkat pun sama. Guna harta yang ada di dunia ini, untuk mencapai kejayaan di akhirat.

Orang yang paling beruntung ialah orang yang mengutamakan akhirat dalam kehidupan ini. Yang memberi rezeki ialah Allah, melapang dan menyempitkannya juga adalah Allah. Ada yang gembira sehingga lupa akhirat. Sedang dunia hanya sementara. 

Ada orang tak pernah fikir untuk berjumpa Allah. Mereka senang dan seronok dengan nikmat dunia. Dengan pandemik Covid 19 sekarang, berapa ramai orang yang mati setiap hari. Tapi apakah kita insaf bila mendengar berita musibah ini atau kita masih menyibukkan diri dengan dunia sehingga melupakan akhirat kita. 

Analogi perbandingan aku dengan dunia ialah seperti seorang penunggang berhenti rehat sekejap untuk menghilang kelelahan. Kemudian kita akan bergerak dan meninggalkan tempat tersebut. Orang yang lihat dunia tinggi, dia lupa bahawa dunia akan dibinasa. Nikmat dunia tak pernah kekal. Nikmat sihat dan gembira juga tidak akan kekal. Di dunia dari rambut penuh menjadi semakin kurang, mata jadi kurang, deria rasa pun dah jadi kurang. Bahagia akan berkurang, anak bila besar akan tinggalkan kita sampai tak ada anak lagi. Rumah besar sekarang dan berubah menjad rumah kecil sebab dah tak larat naik tangga. Tapi manusia masih lagi gila dengan dunia. Sehingga untuk akhirat, dia tidak membawa apa apa. 

Sebaliknya, nikmat akhirat semakin hari semakin ada pertambahan. Akhirat bertambah makin lazat dan makin lazat, makin cantik dan cantik.

Bila mati akan ikut 3 iaitu harta yang akan pulang, keluarga juga akan pulang. Yang ikut hanya amalan soleh. Zuhud di dunia, Allah suka. Lihat dunia dengan nilainya. Sebagai contoh, kita tak akan beli tembikai yang mahal kerana kita tahu nilainya yang tak sepadan dengan harga. Bila harga diletak terlalu mahal, kita rasa ditipu kerana kita tahu berapa nilai untuk sebiji buah tembikai. Kalau kita terbeli juga, kita akan menyesal dan rasa tertipu.  

Kalau kambing yang dah mati, kita tak akan beli. Kalau kambing hidup pun kita tak akan bayar dengan harga mahal bila ada kecacatan pada kambing tersebut. Bayangkan dunia lebih rendah nilai dari kambing itu.

Kenapa Allah tak bagi pahala semasa di dunia? Ulamak menjawab ini adalah kerana pahala lebih besar dari dunia. Jadi tak muat. Kedua, semua benda di dunia akan binasa. Pahala tak binasa. Kalau pahala diletak di dunia, maka pahala pun akan binasa.

Kalau Allah bagi pahala di sini, orang tak mahu lagi dunia yang penuh dengan ujian. Di dunia, syaitan menyesatkan manusia. Syaitan perlukan senjata. Dihias dunia dengan keindahan dan warna warni sehingga kita merasakan dunia akan kekal. Seolah dunia matlamat hidup kita. 

Bila Allah sayang seorang hamba, Allah lindungi dari syaitan dan dijadikan untuk dia urus dunia berdasarkan prioriti akhirat. Caranya ialah mengutamakan apa yang perlu diutamakan. Dia akan ingat bahawa ini adalah ujian Allah, ini amanah Allah. Bukan untuk lalai tapi untuk kita bersyukur. Mereka tak dilalai dari perniagaan dan jual beli. Sampai waktu solat, akan solat berjemaah. Akan keluarkan zakat dsb.

Dunia datang dalam pelbagai keadaan. Ada orang diuji dengan kemiskinan dan ada yang diuji dengan kekayaan. Ada orang muslim dengan harta banyak. Ada orang beriman diuji dengan miskin. Ujian kekayaan sehingga boleh menjadi kufur. Uji dengan kemiskinan juga sehingga jadi kufur. Kaya dan miskin, adalah ujian Allah. Miskin dan kaya tiada kaitan dengan agama. Ada orang yang bertaqwa diuji dengan miskin. Ada orang yang kufur Allah diuji dengan kekayaan supaya jadi lebih kufur. Ada yang miskin juga menjadi kufur.

Golongan pertama bersegera buat baik, berfikir akan nikmat Allah, akan dosa dan segera memohon keampunan. Untuk perbaiki kecuaian kita, basahkan lidah dengan kalimah istigfar dan Alhamdulillah. Kehidupan atas nikmat atau dosa. Beristighfar Astaghfirullah untuk dosa dan mengucap zikir Alhamdulillah untuk nikmat yang Allah berikan. 

Tengok kecuaian dan kelemahan kita. Jangan lagi terlibat dengan penipuan atau perkara yang dilarang. Patut segera diperbaiki. Langkah ke akhirat jangan lagi sumbang. Kena bersegera dan menghargai waktu yang Allah bagi pada kita. Nilai dunia bukan tempat tinggal kita. Lupakan dunia yang menipu. Buat apa sahaja tindakan di dunia, yang boleh menguntungkan kita di akhirat.

Kebaikan anak anak buat akan sampai pada ibubapa. Tapi kejahatan tak akan sampai. Ia bergantung pada apa sumbangan ibubapa dalam mendidik anak anak dalam perbuatan kejahatan itu. Ibubapa akan dapat dosa kerana cuai dalam mendidik anak anak. Ia akan memikul sebahagian dari dosa atas kecuaiannya. Jadi ibubapa yang telah lalai dalam mendidik anak anak perlulah segera bertaubat dan menyesal. 

Beritahu anak anak kita silap kerana tak ajar mereka solat. Tapi diharap dengan kematangan usia kamu, belajar lah mengaji dan belajar lah solat. Lepas tu apa yang anak dia buat, dia tak akan tanggung lagi. Setkat ini dahulu bab perbandingan antara dunia dan akhirat untuk kita renungi dan membuat muhasabah diri. Semoga bermanafaat. 


Sekarang kita masuk pula bab resipi dan masakan. Antara kek yang saya gemari ialah kek pisang. Rasanya yang manis manis, lembab lembab memang sangat sedap. Cicah pula dengan kopi O. Memang sangat ngam. Kek pisang ini selepas beberapa hari akan menjadi lebih lembab. 

Saya memang banyak kali menggunakan resipi ini untuk menyediakan kek pisang. Bahan mudah dan cara penyediaannya pun senang. Masukkan semua ke dalam blender, kisar dan satukan dengan bahan kering. Siap untuk dibakar.  

Jom layan resipi yang saya gunakan di bawah ini. Selamat mencuba.... 


Kek Pisang Lembab dan Gebu

Bahan A ayak:
2 cawan tepung gandum
1 sudu kecil baking powder
1 sudu kecil soda bikarbanat

Bahan B kisar:
4 biji pisang berangan - 600 gram
1 cawan minyak
½ cawan gula kaster
½ cawan gula perang
3 biji telur

Cara cara:
Tuang bahan A ke dalam B sedikit demi sedikit sambil dikacau rata secara kaup balik supaya tepung tidak berketul.

Tuang adunan ke dalam loyang saiz 10''x7'' yang telah dialaskan dengan baking paper.

Susun pisang yang dihiris mengikut yang disukai.

Bakar pada suhu 170C selama 1 jam atau sehingga masak atau sehingga ianya tidak melekat pada lidi. Nota: boleh juga dikukus selama 45 minit.

Angkat dan sejukkan sebelum dipotong.

Nota:
Kek pisang ini moist dan gebu. Jika menpunyai lebihan, boleh disimpan dalam bekas kedap udara dan dimasukkan dalam freezer. Sebelum dimakan, keluarkan dari freezer dan biarkan pada suhu bilik dan kemudian dipanaskan dalam microvave oven. Hasilnya kek akan kekal enak dan tahan lama.


1 ulasan

  1. Muhasabah diri dengan melihat tanda2 penciptaan dariNya. Perghh.. Post pasal resepi pun boleh diselitkan dgn perkongsian ilmu..terbaik

    BalasPadam

Add your comment