Selasa, 20 Julai 2021

Daging Goreng Kunyit Kelantan Yang Sangat Sedap


Setiap kali hari raya Korban, lauk inilah yang paling saya rindu. Semasa lembu sedang dilapah dagingnya, kami mengambil sedikit bahagian daging, ditimbang dan masak daging goreng kunyit. 

Sebaik sahaja daging selesai dibahagikan, semua dijemput untuk makan nasi berlaukkan daging goreng kunyit, sambal belacan dan lauk lain seperti singgang tulang, kari ayam atau ikan dsb.


Nampak mudah menyediakan daging goreng kunyit tapi jika tidak dipelajari betul betul, ia tidak akan menghasilkan daging goreng kunyit seperti mana yang saya makan setiap kali hari raya Korban di kampung.

Saya sendiri mencuba berkali kali tapi tidak menjadi seperti lauk di rumah kakak saya. Berkali kali juga terpaksa call talian hayat dengan kakak. Saya pun dah lama tak balik masa hari raya Korban. Kalau balik, memang saya berhajat nak belajar dengan tengok dari mula sehingga akhir cara ianya dimasak. 

Lagi lagi dah 2 tahun dunia dilanda wabak Covid 19. Jika dulu, nak balik kena mohon cuti kerana cuti hari raya Aidil Adha hanya sehari sahaja. Ingat dah bersara, bolehlah balik beraya dan melakukan ibadah korban di kampung. 

Walaupun tak balik, saya masih membuat korban di kampung. Kakak akan membuatkan pembahagian daging dan mengagihkan bagi pihak saya. Bahagian saya akan dikirimkan pada kami di sini. 

Jom layan resipi dan cara penyediaannya. Jika anda dapat daging korban, bolehlah cuba. Bahannya mungkin sama sahaja tapi teknik penyediaannya yang memberikan hasil yang berbeza. Selamat mencuba…


Daging Goreng Kunyit Kelantan

Bahan bahan:
300 gram daging - hiris lebar
Garam
Serbuk kunyit
1 biji bawang besar Holland - hiris
2 tangkai cili merah dan hijau - hiris
Serbuk perasa - opsyenal
Minyak masak

Cara cara:
Lumur daging dengan garam dan serbuk kunyit. Masukkan ke dalam kuali bersama air secukupnya untuk daging empuk. 

Bila air hampir kering, tuang minyak masak secukupnya. Nota: mesti masih ada air. 

Kacau rata sehingga air dalam minyak hampir kering, masukkan bawang besar dan cili cili hiris tadi. Jika suka, masukkan sedikit bahan perasa. 

Kacau rata sehingga bawang layu. Tutup api. 

Bila hidang, ceduk sekali dengan sedikit minyak ke dalam pinggan. 

Nota:
Lagi sedap jika gunakan sedikit bahagian berlemak dan menpunyai urat rawan. Kalau tak silap, daging bahagian paha. 

Jika suka, campurkan sekali sedikit hati dan limpa. 

4 ulasan

Add your comment