Jumaat, 30 Oktober 2020

Pisang Goreng Yang Rangup Krup Krap Krup Krap


Selamat pagi semua. Saya pos entri ini waktu pagi lah. Saya memang suka buat apa apa waktu pagi. Sementara duduk sorang sorang. Dulu saya terfikir macam mana saya nak habiskan waktu persaraan sorang sorang di rumah. Tapi kini saya rasa seronok pula duduk sendirian. 

Rumah sebesar ini, hanya saya yang duduk seorang diri di ruang keluarga. Rasa tenang terutama pagi pagi hari ini macam ni. Masa PKPB ni, Ros tak datang kerana Ammar tak sekolah. Walaupun bersendirian, saya tetap memakai pakaian kemas, memakai jam dan cincin, memakai parfum. 

Hari ini hari Jumaat, jadi selepas Subuh saya  terus membaca surah Al Kahfi setakat termampu. Kemudian berhenti dan sambung semula. Yang penting, ianya habis sebelum Maghrib. Alhamdulillah semoga kita semua sama sama istiqamah dalam melakukan amal soleh. 

Jangan tertipu dengan dunia. Jangan hanya mengejar wang dan populariti sehingga kita secara diam memusuhi orang lain yang dirasakan menjadi pesaing. Sedangkan tiada istilah takut atau persaingan kerana Allah telah menetapkan rezeki setiap orang.  OK sekarang kita sentuh sedikit bab resepi.


Saya adalah seorang yang sangat meminati resepi sejak saya masih di bangku sekolah menengah rendah lagi. Bukan sehari tapi telah berpuluh puluh tahun lamanya. Tapi perancangan Allah sangat hebat kerana saya sendiri tidak pernah menyangka saya akan menjadi seorang food blogger.

Resepi pula hanya dikongsi secara percuma walaupun ada beberapa cadangan supaya saya mengenakan bayaran. Kini baru saya tengok ramai yang mengenakan bayaran melalui kelas PJJ di mana resepi di hantar melalui email selepas bayaran di terima. Hmm mesti lumayan kan. Tapi saya tidak lah pula berminat ke arah itu. Setakat ini saya tidak terfikir ke arah itu pun. 

Biarlah sahaja Allah yang mengetahui kecintaan saya pada bidang ini. Saya bukan lah pandai memasak dari dulu. Seperti yang pernah saya tulis sebelum ini. Keluarga saya hanya makan simple simple. 

Lauk orang kampung. Banyak berasaskan air sahaja. Lauk singgang, masak tumis air sotong atau sawi dan gulai ikan selar kuning, sekali sekala kari ayam. Itu jer yang saya ingat. Saya tak pernah makan sambal tumis udang, asam pedas, masak merah, kuzi dsb. Tak pernah.

Saya juga tidak ditegaskan untuk ke dapur. Masak simple simple, arwah Bonda boleh buat sendiri. Agaknya lah. Penekanan hanyalah supaya kami belajar, jadi orang pandai dan dapat pekerjaan dengan gaji besar. Kakak sulung saya diberhentikan sekolah kerana ibubapa kami tidak mampu untuk membiayainya kerana abang sulung, kakak kedua dan saya sendiri  masih belajar. 

Bila saya berkahwin pun, keluarga mertua mengetahui yang saya jarang atau tidak ke dapur kerana saya menpunyai pembantu rumah selama 18 tahun. Fokus saya ketika itu, hanya pada kerjaya dan anak anak. Cuma yang mereka tidak tahu ialah saya seorang yang meminati masakan cuma tidak berkesempatan untuk menzahirkannya.

Jadi sebagai seorang yang sentiasa "hunting" kepada resepi, saya akan berusaha sedaya mungkin untuk mendapatkan resepi yang saya rasa sedap di tekak saya. Hatta saya sanggup membayarnya. Yang penting saya dapat resepi tersebut. 

Walaupun saya sanggup membayar, namun tidak mudah kerana masih ada yang kedekut, mereka kuatir rezeki mereka akan berkurang bila mereka kongsikan resepi mereka. Saya pernah minta couple yang menjual goreng pisang supaya mengajar saya resepi dan cara mereka menyediakan goreng pisang dan sanggup membayar, tapi usahkan resepi, number handphone pun isterinya tak mahu bagi pada saya. Husbandnya berulang kali menyuruh isterinya bagi. Dia buat tak tahu jer. Hahaha tak apalah. Mereka tanya kalau saya berniaga. Sedangkan resepi yang sama belum tentu menghasilkan masakan yang sama kerana apa yang dipanggil sebagai air tangan. Itu pengalaman saya lah. 

Itu sebab saya jika mahu minta resepi, saya akan mendekati dan berkawan. Saya banyak melihat komen di Instagram selebriti atau orang kenamaan yang menulis komen, nak resepi. Saya percaya tuan empunya resepi juga bersusah payah mendapatkannya. Jadi mungkin mereka tidak mahu berkongsi secara terangan dengan public.  

Jangan risau kerana saya tetap akan berkongsi resepi dengan anda semua. Kerana ianya minat dan kecintaan saya, bukan kerana dorongan wang ringgit atau populariti. Tapi kerana cinta. 

Cuma saya minta agar anda dapat untuk memberi sedikit sokongan dengan klik iklan yang keluar di blog saya. Saya klik mungkin bernilai 1 atau 2 sen yang cukup untuk memberi semangat untuk saya terus ber blog. OK tak? 

Telah banyak kali saya membuat percubaan untuk menyediakan pisang goreng yang rangup dan tahan lama. Kali ini saya guna cara saya dulu dulu, hanya menggunakan tepung beras sahaja. Tidak dicampur dengan tepung ubi atau tepung pulut. Hasilnya rangup krup krap krup krap.

Jom layan resepi yang saya gunakan hari ini. Selamat mencuba...



Pisang Goreng 

Bahan bahan:
½ cawan tepung beras 
1 biji telur 
½ sudu kecil serbuk kunyit
1 sudu besar air kapur
½ sudu kecil garam
100 ml air - boleh tambah

Cara cara:
Gaul semua bahan dengan air, bancuhan mestilah tak pekat dan tak cair sangat. Jika suka banyak serdak, cairkan sedikit dan begitu juga sebaliknya. Nota: gaul lama lama bagi bancuhan betul betul sebati.

Panaskan minyak dan goreng dalam minyak yang banyak dan betul betul panas. Ini wajib untuk menghasilkan gorengan yang rangup.


Nota:
untuk dapatkan serdak yang banyak goreng dalam minyak yang banyak dan betul-betul panas.

2 ulasan

  1. Selalu jadikan blog@youtube kak azie sbg main reference bila nak masak. Tergoda dgn masakan kak 😁😁. Terima kasih sudi share jzkk 🌹🙏

    BalasPadam
  2. Cubalah pisang goreng ala Thai. Sedap juga, ada kelainan tapi agak remeh sikit. Ada diletakkan kelapa parut,biji bijan.

    BalasPadam

Add your comment