Jumaat, 24 April 2020

Kari Telur Dengan Kacang Buncis


Alhamdulillah, hari ini 24 April kita telah melangkah masuk ke dalam bulan Ramadhan. Bulan yang ditunggu tunggu di mana Allah menjanjikan pahala berganda untuk semua amal ibadah di bulan ini. 

Bulan ini juga, adanya ibadah terawih di sebelah malamnya. Oleh kerana kerajaan telah melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan ke fasa empat sehingga 12 Mei 2020, maka terawih tahun ini dilakukan di rumah. 

Apa sahaja yang berlaku menpunyai kebaikan dan hikmah yang tersembunyi. Maknanya covid 19 juga ada memberi kebaikan. Ianya telah menghentikan seketika aktiviti manusia yang sibuk bagi memberi ruang rehat. Tiada lagi aktiviti tawaf yang tidak pernah terhenti. Terehatnya warga kerja yang selama ini bekerja bertahun tahun lamanya. Kapal terbang juga direhatkan dari meneruskan penerbangan. Umpama puasa, terhentinya aktiviti makan di siang hari untuk memberi kerehatan pada organ manusia. 

Dengan adanya PKP, ramai yang tidak keluar bekerja. Pastinya peluang ini boleh digunakan untuk membanyakkan amalan di bulan Ramadhan. Dengan ini tumpuan dan fokus boleh diberi untuk mengaji, berzikir atau menolong memasak di dapur. 

Sesungguhnya memberi makan orang berpuasa sangat besar ganjarannya di mana kita akan mendapat pahala puasa mereka tanpa mengurangkan pahala mereka. Terdapat banyak dalil yang menunjukkan kelebihan menjamu mereka yang berpuasa. Justeru, amat wajar bagi yang berkelapangan rezeki serta harta menjamu mereka yang berpuasa. Antara nas galakannya ialah:

Daripada Zaid bin Khalid, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:
مَن فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ مِثلُ أَجْرِهِ، غَيْرَ أَنَّهُ لَا يَنْقُصُ مِن أَجْرِ الصَّائِمِ شَيئًا
Maksudnya: “Siapa yang member makan orang yang berpuasa maka baginya pahala seumpamanya tanpa sedikitpun kurang pahala orang berpuasa.” 
Bukan sahaja itu, banyak lagi amalan lain yang boleh direbut. Hatta sekecil kecil amalan di bulan ini juga diberikan pahala yang besar. Sekarang kita masuk pula bab masakan.


Hari ini saya kongsikan satu resepi yang biasa tapi jarang dibuat orang. Saya sendiri jarang membuatnya iaitu kari telur. Kalau masakan kari, memang selalu kerana suami dan anak anak saya suka masakan kari. Sekali sekala makan lauk kari telur ni, memang serious sangat sedap.

Saya bukan sahaja makan dengan nasi putih tapi juga saya makan dengan roti canai. Sedap sangat bila kuah kari dah jadi sedikit pekat pekat. 

Saya suka memasak masakan seperti ini ibarat 3 in 1 gitu. Sebab ada kuah, tak perlu lagi buat kuah, ada lauk iaitu telur dan ada sayuran di dalamnya. Lauk pauk macam ini memang sesuai kalau kita mahu cepat atau tidak punya banyak masa untuk memasak. 

Jom layan resepi yang saya gunakan di bawah ini dan jangan lupa video penyediaannya di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba...



Kari Telur Dengan Kacang Buncis

Bahan bahan:
6 biji telur
Kacang buncis
3-4 tangkai cili hijau
4 tangkai cili padi
1 biji buah tomato
4 biji bawang merah
4 ulas bawang putih
1 pelepah daun kari
1 batang kayu manis
1 pek kecil rempah kari daging
1 kotak santan kotak
1 sudu besar kerisik
1 sudu besar sos tiram - bancuh dengan sedikit air
½ sudu kecil pes asam jawa
Garam
Sedikit gula

Cara cara:
Panaskan minyak dan tumis kayu manis, bawang merah dan bawang putih hiris serta daun kari sehingga naik bau. Masukkan rempah kari dan kacau rata dengan cepat sehingga naik bau. Masukkan sedikit air dan masak lagi sehingga terbit minyak.


Masukkan air secukupnya sehingga mendidih. Masukkan santan dan kacau rata.

Masukkan telur rebus, kerisik, pes asam jawa, garam dan gula.

Setelah mendidih dan terbit minyak, masukkan buah tomato, cili hidup dan kacang buncis. 


Kacau seketika dan bolehlah ditutup api supaya kacang buncis tidak terlebih masak.



Nota:
Saya rebus telur menggunakan periuk Noxxa. Saya lapik bawah inner pot dengan tisu dapur yang dibasahkan. Susun telur di atasnya. Guna setting steam selama 2 minit. Angkat dan terus rendam dalam air untuk mudahkan kulitnya dikupas.




Add your comment