Rabu, 29 April 2020

Kari Ikan Bawal Azie Kitchen

Kari Ikan Bawal Azie Kitchen

Alhamdulillah Juita selesa di hotel yang disediakan. Terima kasih kepada keprihatinan kerajaan yang mementingkan keselesaan warga yang menjalani kuarantine. Makanan yang dihidangkan juga nampak sedap. Dihantar 2 hidangan sekali. Mungkin untuk more atau sahur kot. 

Setiap petang kami akan membuat video call. Kalau masa di Manchester susah sikit sebab perbezaan zone masa. Insya Allah lagi 10 hari Juita akan selesai kuarantin dan akan kembali ke pangkuan kami sekeluarga. 

Hari ini saya ingin kongsikan satu resepi kegemaran suami saya iaitu kari ikan. Kalau pergi makan nasi kandar,  dia akan memilih kari ikan sedang saya dan anak anak akan pilih lauk ayam madu atau lauk lain seperti sotong.  

Kari Ikan Bawal Azie Kitchen

Semasa di kampung saya tidak pernah makan kari ikan kerana arwah Bonda memang tak pernah masak kari ikan. Kalau kari, mesti ayam atau daging atau itik serati sahaja. Jadi kari ikan adalah sesuatu yang baru buat saya. Jadi terus terang, agak sukar untuk tekak saya menerimanya.

Selepas berkahwin saya melihat keluarga mertua selalu menyediakan kari ikan. Hatta, ikan kembung pun dimasak kari juga. Suami pun suka makan kari. Jadi saya belajar dan belajar cara untuk menyediakan kari yang sedap untuk hidangan suami dan anak anak. 

Kari Ikan Bawal Azie Kitchen

Antara orang yang menjadi rujukan saya ialah kakak ipar yang memang sedap masakan karinya. Nak masakan sedap, memang tak boleh lokek. Dulu saya pernah tengok dia menyediakan kari ikan, segenggam besar diguna asam jawa. 

Saya pun dah terikut ikut suka kari ikan yang agak masam masam ala kari Mamak. Bila masam, baru tak terasa hanyir ikan. Kami orang Kelantan memang kalau ikan untuk dimasak berkuah kami akan rebus dulu ikan. Cara keluarga saya lah. Ada juga ikan kecil seperti ikan selar kuning yang terus dimasak gulai kuning. 

Jom layan cara saya menyediakan kari ikan mengikut cara kakak ipar yang saya ubahsuai di sana sini mengikut citarasa saya sendiri. Jangan lupa video penyediaannya di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba...


Kari Ikan Bawal Azie Kitchen

Kari Ikan Bawal Hitam
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
2 ekor ikan bawal 
1 sudu besar halba campur
2 tangkai daun kari
3 tangkai cili padi - potong kecil
1 paket kecil rempah kari ikan 
1 sudu kecil serbuk cili
1 sudu besar pes asam jawa
¾ sudu besar garam 
300 gram santan
Air secukupnya

Bahan hiris:
7 biji bawang merah 
3 ulas bawang putih 

Bahan sayuran:
6 batang bendi
2 batang cili hijau - patah 2
1 biji tomato buah - belah 4

Cara cara:
Panaskan minyak yang banyak dan masukkan halba campur dan cili padi hiris. Masukkan pula bawang merah dan bawang putih serta daun kari. Tumis sehingga wangi.

Bancuh rempah kari dengan sedikit serbuk cili dengan sedikit air, jika suka pedas. Masukkan rempah kari dan tumis sehingga rempahnya agak garing. 
Nota: saya goreng rempah kari kering dengan sedikit serbuk cili yang tak dibancuh air. Kacau dengan cepat beberapa minit sebelum dimasukkan sedikit air.

Kari Ikan Bawal Azie Kitchen

Setelah garing, masukkan air dan santan. Masukkan pes asam jawa. 

Setelah kuah mendidih, perlahankan api dan masukkan ikan. Kemudian biarkan kuah merenih dengan api kecil sehingga pecah minyak. 
Nota: jangan biarkan kuah mendidih besar ketika ini kerana ia akan menyebabkan ikan hancur.

Masukkan bendi, tomato buah dan cili hijau. Akhir sekali masukkan garam. 

Kari Ikan Bawal Azie Kitchen

Setelah kuah terbit minyak dan cantik, boleh tutup api. 

Kari Ikan Bawal Azie Kitchen

4 ulasan

  1. Assalamualaikum...boleh x guna santan Salam kotak..

    BalasPadam
  2. salam..mcm mana nk bli buku masakan kak ?byk ilmu sy dapat dari akak..blog ni pun best,santai jer..tq yer..

    BalasPadam

Add your comment