Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Pajeri Nenas Azie Kitchen

Pajeri Nenas Azie Kitchen

Siapa geng dengan saya yang suka makan pajeri? Kalau dapat pajeri, tak perlu banyak banyak lauk. Cukup sekadar ikan atau ayam atau daging goreng sahaja. Tak perlu sayur kerana ianya sendiri sudah dari sayuran. Untuk melihat entri yang lalu berkenaan pajeri nenas boleh klik di SINI dan di SINI.

Saya allergik dengan udang kering, jadi saya ganti dengan udang hidup bagi menjadikan kuah pajeri lebih sedap dan berperisa. Sebetulnya sewaktu saya ceduk pajeri ke dalam pinggan untuk diambil gambar, pajeri saya belum betul betul pecah minyak. Selepas diambil gambar, saya sambung untuk memasaknya di atas dapur sehingga kuahnya betul betul pecah minyak serta cantik.

Pajeri Nenas Azie Kitchen

Ketika dihidangkan untuk makan, kuah telah benar benar cantik dan pecah minyak. Itulah cabaran blogger yang bekerja terpaksa berkejar selepas waktu pejabat untuk  balik memasak dan mengambil gambar ketika masih menpunyai cahaya semulajadi yang mencukupi bagi memastikan gambar yang diambil cantik dan terang. 

Serious pajeri saya hari ini sangat sedap. Saya makan hingga menambah nasi 3 kali. Apa lagi digandingkan dengan daging goreng garam kunyit menggunakan daging korban yang dibawa oleh anak buah saya dari Kelantan. Gaul gaul kuah pajeri dengan nasi putih panas panas, wallaaa sedap. 

Jom layan resepi di bawah ini. Resepi yang saya gunakan semasa menyediakan pajeri terung sebelum ini. Selamat mencuba...

Pajeri Nenas Azie Kitchen

Pajeri Nenas Sedap 
Oleh: Azie Kitchen 

Bahan bahan:
1/2 biji buah nenas 
1 paket kecil 50 gram rempah kari daging 
1 sudu besar kerisik
1/2 kotak santan kotak - lebih sedap guna santan segar 
1 sudu kecil garam atau secukup rasa 
1 1/2 sudu besar gula atau secukup rasa

Bahan kisar:
3 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
1/2 ibu jari halia 
Segenggam udang kering - saya tak letak 
3-4 ekor udang hidup

Cara cara:
Nenas ditabur dengan sedikit gula. Biarkan seketika. Jika suka, boleh juga nenas dicelurkan agak agak separuh lembut. Angkat dan tos.

Tumis bahan kisar sehingga wangi dan masukkan rempah kari kering (tak dibancuh dengan air) dan kacau rata cepat cepat. 

Masukkan sedikit santan supaya tidak hangit dan kacau rata. Kemudian masukkan baki santan, garam, gula, serbuk perasa, kerisik dan udang hidup supaya kesemua sekali masak mesra.

Akhir sekali, masukkan nenas dan sedikit air sehingga agak agak tenggelam sahaja.

Masak dengan api sederhana sehingga nenas lembut dan kuah pecah minyak. Sesuaikan rasa dan bolehlah diangkat.

Pajeri Nenas Azie Kitchen

Nota:
Boleh rebus nenas hingga lembut dengan sedikit gula. Angkat dan sedia untuk dimasukkan ke dalam kuah pajeri.




1 ulasan for "Pajeri Nenas Azie Kitchen"

  1. kita geng....saya x perlukan lauk lain. cukup nasi panas dan pajeri..mmmmm

    BalasPadam