Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Menyambut Aidil Fitri 2014 Di Masjidil Haram





Seperti dijanjikan, ini adalah entri sambungan dari entri pertama di SINI. Setiap kali Ramadhan tiba, kita perlu berusaha untuk menjadikan ianya sebagai Ramadhan terbaik dalam hidup kerana kita tidak dapat memastikan apakah kita berpeluang berada di dalam bulan Ramadhan berikutnya. Begitu juga dengan saya yang berazam untuk membuat sehabis baik melebihi apa yang telah dibuat dalam Ramadhan sebelumnya. Saya membuat senarai semak berhubung apa yang ingin dilakukan. Umrah Ramadhan kali ini, lebih bermakna kerana setiap hari saya dan Roslina berjaya menjamu jemaah berbuka puasa dengan kek buah, buah anggur, roti bersama keju dan juga kuih samosa. Maklum bukan mudah untuk membawa masuk makanan untuk diberikan pada jemaah dalam Masjidil Haram kerana pemeriksaan ketat dibuat oleh pihak polis masjid. Saya gembira sekali kerana kek buah kukus yang saya sediakan sendiri berjaya dibawa masuk dan sangat laris di Madinah dan juga Masjidil Haram. Para jemaah berebut rebut untuk mendapatkannya. 






Setiap hari dalam perjalanan ke masjid, saya berdoa supaya makanan dapat dibawa masuk ke masjid tanpa diperiksa. Samosa pula dikirim melalui Salma, jemaah Saudi yang kami kenali semasa umrah Ramadhan tahun lepas. Seperti kita ketahui, pahala memberi makan orang berbuka puasa sangat besar dan ianya perlu direbut di dalam bulan Ramadhan yang mulia ini. Hadis daripada Zaid bin Khalid al-Juhhani r.a,. daripada Nabi SAW sabdanya, "Sesiapa yang memberi makan (berbuka) kepada orang yang berpuasa, ia akan mendapat pahala seperti orang yang berpuasa itu dan pahala orang yang berpuasa itu tidak berkurangan walau sedikitpun". 

Hari jumaat malam Sabtu masih sesak walaupun ianya bukan malam ganjil. Saya pada mulanya memikirkan keadaan di Masjidil Haram akan lebih lengang. Namun sangkaan saya meleset. Hari Ahad, yang merupakan hari terakhir bulan Ramadhan, saya melakukan tawaf sunat sebanyak 2 kali. Saya melakukan solat sunat tawaf di ruang berhadapan Multazam di mana saya memanjatkan doa khas buat Bonda dan semua ahli keluarga saya. Saya terlalu sedih mengenangkan percakapan dengan Bonda sebelum saya berangkat di mana Bonda memohon maaf dari saya, sedangkan Bonda tidak pernah melakukan apa apa kesalahan pada saya. Selepas solat Zohor, saya balik ke bilik kerana terlalu penat dan sambil itu sambung mengemas barang barang ke dalam bag. Saya sangat bersyukur kerana roomate saya, Kak Min banyak membantu mengemas barang saya ke dalam bag. Hubby dan anak anak berpesan supaya saya tidak bershopping apa apa kerana bag memang telah ngam 15 kilo. Mereka kuatir jika ianya membebankan saya untuk menguruskan bag sendiri.






Saya ke masjid untuk melakukan solat  Asar dan Maghrib. Kali ini kami bersolat di kawasan terbuka berhampiran Bukit Safa. Selepas solat Maghrib, kami balik ke hotel untuk makan malam di hotel. Setelah beberapa hari di Madinah dan Mekah, itulah kali pertama kami makan di dewan makan hotel. Memang sedap makanan yang dimasak oleh tukang Masak Melayu yang digaji khas oleh pihak hotel. Kebetulan hari itu, ada lauk Ketam masak manis, ayam celup tepung berempah, ikan kering kecil, sup daging berkentang, ulaman serta pelbagai kuih muih seperti jemput jemput jagung, puding serta buah buahan. 

Selepas makan, kami ke masjid lagi untuk menunaikan solat Isyak. Memang terkejar kejar kalau mahu balik makan di hotel. Itu yang menyebabkan saya tidak balik makan. Yang best bila balik hotel adalah, berpeluang untuk mendapat nasi sabil yang masih panas panas. Saya bawa masuk ke masjid untuk bersahur tapi di tahan, jadi saya keluar dan masuk pula ke pintu lain. Alhamdulillah dapat lah bersahur dengan nasi mandy berlaukkan ayam bakar.  Ketika itu, ramai jemaah Indon juga sedang bersahur dengan nasi. Mereka memberitahu saya supaya meletak nasi di bawah sekali dalam bag dan di atas diletakkan Al Quran. Ohh begitu ya...





Tengah malam iaitu menjelang pagi hari Isnin, pancaran laser hijau dipancarkan ke langit dari Zam zam Tower menandakan kedatangan 1 Syawal keesokannya pada warga Mekah dan Saudi.  Sangat cantik pancaran laser tersebut.





Kami ke Masjidil Haram dalam pukul 3.00 pagi untuk menunaikan solat tahajjud, solat witir, solat subuh dan juga solat sunat Eid Fitri. Takbir Raya di Masjidil Haram dimulai selepas solat Subuh dan ianya tidaklah semerdu takbir yang biasa kita dengar di negara kita. Hari Raya adalah hari kemenangan di mana kita perlu mengucapkan tahniah antara satu sama lain sambil mendoakan agar amalan kita dan sahabat kita akan diterima. Hmmm rasa seperti tidak percaya, saya akhirnya menyambut Hari Raya Eid Fitri di Masjidil Haram sendirian tanpa mereka yang saya kasihi di sisi. Dalam hati saya berdoa semoga Allah memberikan rezeki untuk kami sekeluarga dapat mengerjakan ibadah umrah bersama sama. 





Balik dari solat sunat Hari Raya, kami terus ke dewan makan. Pihak hotel menyediakan hidangan lontong sebagai menu utama hidangan pagi raya kami. Selepas makan, terus masuk bilik untuk membuat final packing dan keluarkan bag di ruang lobi tingkat 13 di mana bilik kami 1306 berada. Pukul 10.00 pagi barulah kami keluar ke masjidil haram untuk melakukan solat Dhuha dan Tawaf Wada. Alhamdulillah kerana orang tak ramai, jadi tawaf dapat disiapkan dengan cepat. Ruang tempat solat juga kosong dengan beberapa orang jemaah sahaja di dalamnya. Selepas tawaf, solat sunat tawaf, saya beredar ke tempat air zam zam. Puas dapat menikmati air zam zam sejuk di siang hari. 





Selepas itu, naik ke bilik mengambil barang barang peribadi dan terus turun menaiki bas yang telah sedia menunggu untuk berangkat ke Terminal Haji Jeddah. Kami makan tengahari dengan makanan yang disediakan di kawasan tempat duduk terminal sahaja. Oleh kerana penerbangan kami adalah pukul 10 malam, kami duduk melepak di lantai di dalam kawasan terminal sementara menunggu waktu pendaftaran masuk. 







Selepas melalui pemeriksaan imigresen, kami cepat cepat mengambil wudhu dan menunaikan solat Maghrib dan Isyak. Kemudian masing masing membasahkan tekak dengan membeli minuman panas. Saya memesan Teh dengan susu. Masih teringat teh susu yang sangat sedap yang dibahagi kepada jemaah sewaktu berbuka puasa. Kami juga mengambil gambar secara berkumpulan dengan Ustaz Zawari sebagai kenang kenangan.





Alhamdulillah akhirnya saya berjaya menunaikan ibadah umrah dengan lancar. Kali ini saya juga melakukan ibadah umrah ulangan dengan bermiqat di Hudaibiah sebagai hadiah untuk kedua dua ibubapa yang telah membesar dan mendidik saya. Bercakap sedikit berkenaan didikan, saya sangat sangat teruja melihat anak anak Arab yang dibawa bersolat sejak kecil. Mereka akan sama sama berdiri di sebelah ibu masing masing untuk sama sama bersolat. Kalau yang masih bayi, akan diletakkan di hadapan. Setelah penat, anak anak tersebut akan berbaring di ruang antara 2 karpet. Dalam hati terdetik, alangkah baiknya jika saya berpeluang melakukannya kepada anak anak sendiri. Rasulullah sendiri mendokong cucunya sewaktu bersolat. Pergerakan sebegini tidak membatalkan solat seperti yang kita kuatiri selama ini. Anak Arab di dalam gambar di bawah namanya adalah Abdul Rahman yang diletakkan ibunya wanita Arab cantik berumur 18 tahun di hadapan sewaktu solat.





Akhir sekali, saya sangat bersyukur kerana telah diberikan roommate yang saling memahami dan menghormati antara satu sama lain. Ianya sangat penting dalam memastikan kita dapat beribadah tanpa gangguan. Roslina, Mar dan Kak Min merupakan roomate yang terbaeek. Pastinya ia adalah takdir dan hadiah Allah yang menemukan kami dalam satu bilik di Mekah. 





Kami tiba di KLIA pada 29 Julai 2014 iaitu hari raya kedua dalam pukul 11.00 pagi. Alhamdulillah kerana akhirnya dapat bertemu semula dengan insan insan yang saya kasihi di dunia dan akhirat. Mereka menyambut kepulangan saya dengan memakai baju raya sedondon berwarna biru. 





Sesampai di rumah, saya menukar baju untuk sessi bergambar raya, kemudian menikmati hidangan raya yang dimasak oleh anak anak sebelum masuk bilik dan akhirnya zzzzz





Alhamdulillah, syukur atas kurniaan Mu. Ya Allah, maka yang mana satu nikmat nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan? - Surah Ar Rahman. Kuatkan kesabaran ku untuk menghadapi segala ujian dan untuk menentang orang orang kafir yang memusuhi ku dalam beribadat kepada Mu. Semoga saya dijemput lagi sebagai tetamu di Masjidil Haram pada setiap tahun. Ameen...


Azie
Azie Selamat datang ke blog Azie Kitchen. Saya seorang isteri dan ibu bekerjaya yang punya minat mencuba resepi masakan bila punya kelapangan masa. Ingin berkongsi resepi yang diperolehi dari kawan kawan atau dari blog blog yang telah dicuba. Saya ingin mengisi masa dengan melakukan sesuatu yang boleh memberi manafaat yang berpanjangan samada di dunia dan juga akhirat. Saya akan memaparkan pengalaman sendiri dalam kehidupan seharian saya di dalam bab masak memasak. Semua GAMBAR adalah HAK CIPTA TERPELIHARA! Harap minta izin terlebih dahulu jika ingin mengambil atau menggunakan gambar gambar di dalam blog ini. Sebarang komen atau pandangan, amat dialu alukan. Sekian terima kasih.

13 ulasan for "Menyambut Aidil Fitri 2014 Di Masjidil Haram "

  1. Salam...kak azie...sy silent reader akak...entry akak kali ini sggh dekat di hati...sy pergi menunaikan umrah 3 bln lepas....kenangan di sana bagai di ulang2 di depan mata pabila melihat gambar akak...semoga kita di jemput ke sana lg...in sya Allah...teringin sggh rasa di hati berpuasa dan menyambut raya di sana...in sya Allah...satu hari nanti,...semoga Allah murahkan rezeki kita bersama...

    BalasPadam
  2. allahuakbar.
    rindunya sy pada 2 tanah suci tu.
    moga diberi peluang ke sana lagi.
    insyaAllah

    BalasPadam
  3. Alhamdulillah. Taqoballahuminna waminkum

    BalasPadam
  4. Salam Azie,

    Mak Aji tumpang seronok membaca pengalaman Azie beraya di sana! Moga Allah melimpahkan rezekinya agar kita dapat berkunjung lagi ke sana, amin!!

    BalasPadam
  5. Alhamdulillah..seronoknya berada di tanah haram..teringat kembali pada tahun 2012..ya Allah..semoga dapat menjejakkan lagi ke bumiMu...
    silent reader..Mas..

    BalasPadam
  6. Setelah sekian lama menjadi silent reader...Saya tertunggu-tunggu Kak Azie balik dari umrah untuk.membaca catatan yang hebat ini...m

    BalasPadam
  7. kak azie, selamat hari raya, maaf zahir batin.
    Alhamdulillah, rezeki.

    BalasPadam
  8. Azie, I follow your blog recently and a silent reader...bahagia melihatkan perjalanan hidup Azie...moga saya dan juga suami dan anak2 dapat menjejakkan kaki di sana nanti insyaAllah...salam perkenalan..

    BalasPadam
  9. Alhamdulillah....sronoknya baca.

    X penah ry puasa lg kt sn.ry haji penah dh ms wt haji dulu.msti sronokkn bbuka puasa rmai2 dlm masjid

    BalasPadam
  10. Alhamdulillah...rezeki, salam perkenalan..saya ni silent reader akak...seronoknyer tengok gambar akak.

    BalasPadam
  11. Tk tertahan rasa rindu ini...semoga berpeluang menjejakkan kaki lagi ke sana ketika 10 terakhir Ramadan pula.. Sesungguhnya inilah tempat yg paling dirindui...

    BalasPadam