Khamis, 13 Februari 2020

Sup Kepala Ikan Merah

Sup Kepala Ikan Merah

Bila kita sibuk, kita memang tidak terasa masa berlalu pantas. Begitu juga rutin saya sekarang ini sejak buku resepi saya 101 Resepi Dari Azie Kitchen mula diedarkan di pasaran. Buku itu boleh didapati di kedai buku Popular dengan harga yang sangat mampu milik. Hanya RM29.90 sahaja untuk se naskhah. 


Buku 101 Resepi Dari Azie Kitchen

Selain itu, kepada follower yang ingin mendapatkan buku dengan tandatangan saya, saya akan beli dan poskan kepada mereka. Jadi masa saya setiap hari selepas balik dari pejabat adalah menandatangani dan membuat urusan penghantaran buku buku. 


Alhamdulillah kerana semuanya sesuatu yang tidak disangka sangka. Sambutan yang sangat memuaskan. Semoga buku resepi itu memberi manafaat kepada semua. Sekarang kita masuk bab masakan pula.

Memasak sup kepala ikan sangat berbaloi baloi, bukan sahaja cepat, mudah dan sedap tapi menjimatkan. Jadi meh adik adik yang baru belajar memasak atau berjinak jinak dengan dapur, untuk menyediakan sup kepala ikan. Saya paling suka kepala ikan merah walaupun boleh juga menggunakan kepala ikan jenahak. 

Sup Kepala Ikan Merah

Sup saya hari ini bukan masak darat walaupun saya ada tuang bawang tumis sebelum sup masak. Ini adalah kerana ikan ada bau hanyir, jadi saya lebih suka ianya ditumis. Jadi selepas dimasukkan ikan, bau hanyir ikan tidak lah terasa walaupun ikan merah tidak berbau hanyir. 

Ada orang yang selepas bawang yang ditumis keperangan, akan memasukkan ikan sehingga air ikan kering tapi kena cepat kerana ikan merah lembut dan kalau overcook, akan mudah hancur. Semuanya bergantung kepada citarasa masing masing.

Saya memerahkan sedikit air asam limau nipis sekadar mempelbagaikan rasa supaya kuah sup ikan lebih sedap. Saya juga suka memasukkan lada hitam yang ditumbuk kasar kasar, walaupun hari ini saya menggunakan lada hitam Sarawak yang telah dikisar kasar. 

Jom layan resepi sup yang saya gunakan hari ini. Jika beli di kedai, pasti mahal jadi masakan ringkas begini, elok dimasak sendiri. Selamat mencuba.

Sup Kepala Ikan Merah

Sup Kepala Ikan Merah

Bahan bahan:
1/2 biji kepala ikan merah
1 batang kulit kayu manis, 3 bunga lawang, 3 buah pelaga
1 sudu besar lada hitam - tumbuk ( atau guna serbuk)
Garam
1/2 biji buah limau nipis 
Daun bawang - hiris 
4 biji bawang merah - hiris 

Bahan hiris:
4 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1 inci halia

Cara cara:
Panaskan minyak dan tumis rempah penumis dan bahan bahan hiris sehingga keperangan. 

Masukkan air secukupnya sebagai kuah dan masak sehingga mendidih. 

Setelah mendidih, masukkan kepala ikan dan lada hitam serta garam.

Sup Kepala Ikan Merah

Masukkan daun bawang. Boleh juga dimasukkan batang saderi, jika suka.

Sementara itu, panaskan sedikit minyak dalam kuali dan tumis bawang merah hiris sehingga keperangan. Tuangkan bawang goreng sekali dengan minyak ke dalam sup ikan. Nota: boleh juga ditabur bawang goreng biasa sebelum ditutup api.

Sup Kepala Ikan Merah

Perahkan air limau nipis secukup rasa. Sesuaikan rasa dan sedia untuk ditutup api. 

Sup Kepala Ikan Merah

Selamat mencuba.


Add your comment
EmoticonEmoticon