Rabu, 1 Januari 2020

Kuih Lepat Liat

Kuih Lepat Liat

Saya ingin mengucapkan selamat tahun baru 2020 kepada semua pembaca dan follower blog Azie Kitchen. Tahun 2020 adalah lebih signifikan kerana saya mengingati tahun ni lama sebelum ketibaannya dengan pengenalan Wawasan 2020 pada tahun 1991 oleh Perdana Menteri Dato Seri Dr Mahathir Mohammad pada ketika itu. 

Saya dan mungkin ramai lagi beranggapan wawasan tersebut terlalu berpandangan jauh kerana sangat lama masanya ketika itu. Tapi hari ini kita telah melangkah ke tahun 2020. Apa apa pun, masa akan sentiasa berputar tanpa mengira jika telah bersedia atau belum. Usia akan meningkat setahun lagi. 

Azam saya untuk mengubah diri menjadi lebih baik. Ingin menambah amalan soleh, ingin lebih bersabar, ingin mengurangkan apa sahaja aktiviti yang tidak memberi faedah. Pendek kata ingin menjadi seorang yang lebih baik dalam apa sahaja supaya saya menjadi seorang yang lebih solehah. 

Selain itu, saya ingin fokuskan kepada kehidupan lebih sihat. Ingin mengurangkan makan atau kuantiti apa yang dimakan. Ingin perbanyakkan buahan dan sayuran. Ingin banyakkan aktiviti riadah dan exercise. Betapa mahalnya harga dan nikmat kesihatan. Dengan kesihatan yang baik, kita dapat berbuat banyak amal ibadah. Insya Allah. 

Meletakkan azam mungkin mudah tapi untuk menjadikan ianya satu kenyataan memerlukan satu kekuatan dalaman. Cukup setakat ini dahulu, sekarang kita masuk pula bab resepi dan masakan. 

Kuih Lepat Liat

Hari ini saya ingin kongsikan satu resepi kuih tradisional yang terkenal di negeri negeri belah utara. Kali pertama saya makan kuih ini yang disediakan oleh kakak ipar saya. Menurut beliau, arwah abang ipar sangat menggemari ini. 

Kuihnya seperti kuih lepat cuma berbeza dengan penggunaan tepung beras pulut sahaja. Kuih kuih seperti ini memang tidak berapa digemari oleh anak anak muda. Hanya saya dan Ros sahaja yang makan. Jadi saya buat hanya separuh adunan sahaja. Sekadar untuk merasai keenakan kuih lepat liat. 

Kuih Lepat Liat

Kalau anda belum pernah lagi merasainya, bolehlah buat dan rasai sendiri keenakan dan keunikan rasa kuih lepat liat. Sekali sekala kita merasai kuih yang famous di tempat lain juga, supaya kita boleh masuk geng bila ada yang bersembang mengenainya. Hahaha. 

Jom layan resepi di bawah ini dan juga video penyediaannya di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba..


Kuih Lepat Liat

Kuih Lepat Liat
Menghasilkan 6 biji

Bahan A:
1 cawan tepung pulut
½ cawan santan segar
½ cawan gula merah
¼ cawan gula pasir
¼ sudu kecil garam

Bahan B:
Daun pisang 
Kelapa parut - gaul dengan sedikit garam

Cara cara:
Satukan bahan A kecuali tepung beras pulut di dalam kuali dan masak atas api sehingga gula larut. Tak perlu hingga mendidih.

Kuih Lepat Liat

Angkat dan tapis air gula yang dimasak tadi. Sejukkan.

Kemudian tuang air gula tadi ke dalam bekas berisi tepung pulut sedikit demi sedikit. Uli dan adun hingga menjadi sebati. Pastikan doh jadi lembut dan tidak keras.

Kuih Lepat Liat

Kuih Lepat Liat

Sediakan daun pisang dan sapu sedikit minyak di permukaannya. Ambil 1 sudu besar adunan, letak atas daun pisang yang telah disapu minyak tadi. Leperkan.

Kemudian letakkan inti kelapa dengan secukupnya. 

Kuih Lepat Liat

Bungkus kuih dengan kemas dan susun dalam periuk kukusan. Kukus selama 40 minit hingga masak. 

Kuih Lepat Liat

Bila dah masak, angkat kuih dan sejukkan. Sedia untuk dinikmati. 

Kuih Lepat Liat

Kuih Lepat Liat

Nota: 
Inti adalah opsyenal. 

Kuih lepat yang lebih, boleh disimpan dalam petisejuk beku (frozen). Bila hendak makan, cuma dikukus semula.


1 ulasan:

  1. Hai Azie,
    selamat tahun baru 2020.
    Moga sentiasa sihat, dan terus masak-masak.

    BalasPadam

Add your comment
EmoticonEmoticon