Isnin, 2 Disember 2019

Kuih Pulut Wajik aka Nasi Manis Yang Sangat Sedap

Kuih Pulut Wajik aka Nasi Manis

Setelah lebih 2 minggu saya bercuti sakit selepas menjalani 2 kali prosedure membuang batu karang, hari ini saya masuk ke pejabat walaupun sebenarnya masih dalam bercuti sakit. Saya tak mahu memanjakan diri sangat. Kena cuba untuk kuatkan diri. Memang saya akan mengambil masa yang lama untuk pulih setiap kali mengambil bius keseluruhan. 

Pulut Wajik atau kuih Wajik atau saya panggil sebagai Nasi Manis kalau di Kelantan adalah antara makanan yang biasa disediakan oleh arwah Bonda saya. Tapi sayang seribu kali sayang kerana saya tidak pernah belajar atau melihat dia menyediakan dari mula hingga akhir. Hanya tengok sekejap dan separuh separuh sahaja. 

Saya pernah buat kuih pulut wajik dulu sekali. Tapi tak sesedap yang saya sediakan hari ini kerana hari ini saya memang menggunakan santan segar yang pekat. Santan yang tidak dicampur dengan air langsung. Kelapa parut terus dikisar menjadi santan. Gula merah juga saya guna yang berkualiti tinggi, tak perlu nak tapis tapis lagi. Boleh klik entri pulut wajik saya sebelum ini di SINI.

Berbalik pada resepi Kuih Wajik ini, saya terbaca di facebook seorang sahabat akan keenakan kuih wajik Nenda beliau di mana hanya beliau seorang yang belajar dan mewarisi kepandaian tersebut. Perisitiwa ini telah lebih 10 tahun tapi saya masih ingat kerana saya masih belum mengetahui resepi beliau. 

Beberapa kali juga saya menulis meminta resepi. Tapi belum dapat lagi. Mana tahu kot satu hari, beliau sudi untuk berkongsi resepi nenda beliau dengan saya. Insya Allah. Entah kenapa saya memang tak boleh dengar bila orang bercerita tentang keenakan sesuatu masakan atau kuih muih, saya mesti tak senang duduk selagi tidak tahu resepi dan cara menyediakannya. Kadang kadang boleh teringat ingat. Jadi itulah sebabnya saya akan berusaha untuk google bagi mendapatkan resepi.  

Kuih Pulut Wajik aka Nasi Manis

Untuk kuih wajik hari ini, saya salin resepi di SINI. Tertarik dengan cerita beliau yang banyak menerima tempahan. Resepi turun temurun juga. Saya memang suka dengan resepi turun temurun. Hari ini saya hanya membuat separuh adunan sahaja. Maklum anak anak saya memang tidak suka makan kuih tradisional berasaskan pulut pulut ni semua. 

Mungkin sebab kuih pulut wajik adalah kuih yang selalu disediakan oleh arwah Bonda sejak saya kecil. Jadi bila melihat kuih ni dijual di mana mana gerai atau pasar malam, mesti singgah beli. Tapi biasalah, kalau yang beli mana mahu sedap nyer. Pulut masih terasa sedikit keras. Tak terasa lemaknya. Memang tak akan jumpa pulut wajik yang sedap. 


Kuih Pulut Wajik aka Nasi Manis


Alhamdulillah, sangat berpuashati dengan kejadian pulut saya hari ini, bukan sahaja sedap tetapi cantik. Pulutnya masih cantik berbiji, tak nampak pecah atau patah dan cukup berkilatnya. 

Jom layan resepi kuih pulut wajik di bawah ini dan video penyediaannya di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba...

Kuih Pulut Wajik aka Nasi Manis

Kuih Pulut Wajik

Bahan bahan:
2 cawan beras pulut 
2 cawan santan pekat segar
200 gram gula merah
100 gram gula Melaka 
1-2 sudu besar gula pasir
2 helai daun pandan 
1 sudu kecil garam 
Sedikit kapur

Cara cara:
Bersihkan beras pulut, kemudian rendam selama lebih kurang 2 jam. Selepas itu, kukus beras pulut dengan daun pandan. 

Kuih Pulut Wajik aka Nasi Manis

Angkat dan renjis dengan sedikit air dan kacau sehingga rata dan lembut. Kukus sekejap lagi. 

Kuih Pulut Wajik aka Nasi Manis

Masak santan, gula merah, gula Melaka, gula pasir, garam di dalam kuali besar sehingga gula merah larut dan pekat. Jangan guna api besar untuk elak membuak.

Kuih Pulut Wajik aka Nasi Manis

Kuih Pulut Wajik aka Nasi Manis

Setelah air gula pekat, masukkan pulut yang dikukus tadi dan gaul rata. Tekan supaya pulut tidak berketul dan bersalut dengan air gula. Masukkan kapur yang dibancuh dengan sedikit air dan kacau sehingga agak kering. 

Kuih Pulut Wajik aka Nasi Manis

Kuih Pulut Wajik aka Nasi Manis

Kacau lagi  sehingga pulut benar-benar pekat, likat dan tidak melekat di kuali atau sudip. Ketika ini, pulut akan terasa berat bila dikacau. Keluarkan daun pandan. 

Kuih Pulut Wajik aka Nasi Manis

Kuih Pulut Wajik aka Nasi Manis

Ketika masih panas, Tuang ke dalam loyang yg telah di alas dengan daun pisang supaya lebih wangi. Wajik akan keras selepas sejuk. Hidangkan setelah sejuk.

Kuih Pulut Wajik aka Nasi Manis

Nota:
2 cawan beras pulut sama dengan 380 gram. Resepi asal guna 1 kg beras pulut, 1 kg santan dan 1 kg gula merah. 

Kalau hendak wajik tu keras sikit, beras pulut dikukus, tapi kalau nak wajik tu lembut, beras pulut ditanak dengan air separas beras dalam periuk. 

Boleh juga dimasukkan isi durian jika suka wajik durian. 

Kuih Pulut Wajik aka Nasi Manis


Add your comment
EmoticonEmoticon