Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Mee Goreng Azie Kitchen

Mee Goreng Azie Kitchen

Hari ini saya menyediakan mee goreng sebagai sarapan. Kebetulan semua anak anak ada di rumah, kecuali Nana yang sekarang ada menpunyai urusan kerja di Kota Bharu. 

Telah lama tidak memasak mee goreng, memang terasa sangat sedap mee goreng saya hari ini. Hahaha masuk bakul angkat sendiri. Serious sedap sehingga Hubby pun makan menambah nambah dan berulang ulang. 

Teringat masa kecil dulu, mee horeng seperti ini adalah makanan dalam kategori lavish buat saya. Seingat saya hanya sekali saya makan mee goreng yang dibeli oleh arwah abang saya yang sulong. Kalau mee goreng, kami hanya makan mee goreng bodo atau mee talam yang berharga 50 sen sahaja. 

Ketika berada di tingkatan enam, saya menumpang rumah abang di Bachok. Setiap kali balik dari sekolah, saya akan ke pasar Bachok untuk membeli mee goreng yang digoreng ketika dipesan. Serious sangat sedap mee yang digoreng kakak itu. Tapi tak tahu di mana beliau berniaga sekarang. Maklumlah dah berpuluh tahun lamanya. Saya akan sentiasa merindui mee goreng tersebut. 

Mee Goreng Azie Kitchen

Satu kelainan dalam bahan yang digunakan dalam mee goreng saya hari ini ialah terdapatnya penggunaan halia. Saya memang tidak pernah memasukkan halia dalam mee atau mee goreng saya. Rupanya bila dimasukkan halia, rasa mee goreng lebih sedap kerana tidak terasa kapur dalam mee kuning. 

Jom layan resepi yang saya gunakan di bawah ini dan juga jangan lupa video penyediaannya di Azie Kitchen youtube channel di SINI. Selamat mencuba...



Mee Goreng

Bahan bahan:
2 paket mee kuning - 800 gram
1 ikat sayur sawi
1 mangkuk taugeh
1 tangkai cili merah - hiris
4-5 tangkai cili padi - ketuk 
1 sudu besar cili kering kisar
Garam

Bahan sos:
2 sudu besar sos tomato
1 sudu besar sos tiram
2 sudu besar kicap pekat
1-2 sudu besar kicap lemak manis 

Bahan tumbuk:
8-10 biji bawang merah
5-6 ulas bawang putih
1 inci halia

Bahan lain:
Udang
Sotong

Cara cara: 
Lalukan dan kacau rata mee kuning di bawah air paip untuk menghilangkan rasa kapur. 

Panaskan minyak agak banyak dan tumis bahan tumbuk sehingga naik bau. Masukkan cili kisar dan kacau sehingga cili benar benar masak dan garing. Masukkan cili padi. 

Masukkan bahan sos dan sedikit garam. Kacau rata. 

Masukkan pula udang dan sotong. Kacau rata sebelum ditutup dengan penutup kuali dalam 1 minit. 

Mee Goreng Azie Kitchen

Masukkan mee kuning dan kacau rata. Masukkan pula sayur  sawi dan taugeh. Kacau rata. Sesuaikan rasa. Boleh tambah garam atau sos tomato atau kicap. 

Sedia untuk dihidangkan. Tabur dengan daun sup dan bawang goreng. Hidangkan dengan hirisan limau nipis. 



Catat Ulasan for "Mee Goreng Azie Kitchen"