Jumaat, 20 September 2019

Gulai Kuning Ikan dan Sambal Nasi Berlauk Kelantan

Gulai Kuning Ikan dan Sambal Nasi Berlauk Kelantan

Sempena cuti Hari Malaysia beberapa hari lepas, saya telah menyediakan gulai kuning sebagai lauk nasi berlauk bersama dengan sambal nasi berlauk. Gulai nasi berlauk ini juga dikenali sebagai gulai Kunyit Lengkuas di Kelantan. 

Telah lebih seminggu saya selsema dan batuk. Selera makan memang ke laut. Walaupun terasa lapar tetapi memang tak lalu. Waktu biasa pun, susah nak cari masakan yang menepati selera saya. Apa tah lagi masa badan tidak sihat seperti sekarang. 

Sebagai anak Kelantan yang membesar di Kelantan pastinya selera saya adalah selera Kelantan. Bersarapan dengan nasi berlauk, nasi dagang atau nasi kerabu. Ianya memang tak boleh dipisahkan sampai bila bila. 

Sarapan kami memang yang berat dan tahan sehingga ke petang. Maklumlah orang Kelantan ramai yang bertani jadi mereka memerlukan makanan seperti ini untuk membekalkan tenaga ketika di sawah atau di kebun. 

Gulai Kuning Ikan dan Sambal Nasi Berlauk Kelantan

Hari ini saya menggunakan resepi sambal nasi berlauk yang diajar Kak Yah, rakan jemaah di Surau Ad Dhuha. Resepi yang digunakan oleh Bonda beliau yang berniaga nasi berlauk. Menurut Kak Yah lagi, nasi berlauk yang dijual sangat laris, pukul 9.00 pagi dah habis.  

Jom lihat resepi yang saya gunakan hari ini dan jangan lupa video penyediaannya di Azie Kitchen youtube channel di SINI. Selamat mencuba... 


Gulai Kuning Ikan dan Sambal Nasi Berlauk Kelantan

Gulai Kuning Kunyit Lengkuas 

Bahan bahan:
6 ekor ikan kembung
1 kotak santan kotak
1 biji kelapa parut 
2 keping asam keping
Garam kasar
Sedikit gula - opsyenal

Bahan kisar:
5-6 biji bawang merah
2 ulas bawang putih 
5 tangkai cili kering - 1 sudu besar cili kisar
1 inci lengkuas
2 inci kunyit hidup

Bahan hiasan:
Timun/kacang panjang
Lada hijau solok
Cili padi – jika suka

Cara cara;
Ikan direbus dengan 4-5 keping asam keping dan 1/2 genggam garam kasar dengan paras air tenggelam ikan sahaja. Rebus sehingga air hampir kering. Nota: lebih sedap jika ikan rebus dibiarkan semalaman.

Gulai Kuning Ikan dan Sambal Nasi Berlauk Kelantan

Kisar semua bahan kisar dan masak dengan air sehingga mendidih dan benar benar masak. Masak lama lama lagi sedap.

Gulai Kuning Ikan dan Sambal Nasi Berlauk Kelantan

Gulai Kuning Ikan dan Sambal Nasi Berlauk Kelantan

Setelah benar benar masak, masukkan santan, asam keping, garam dan gula. Sentiasa dikacau sehingga santan mendidih untuk mengelakkan kuah dari berketul. Boleh ditambah air jika terlalu pekat.

Setelah mendidih, baru dimasukkan ikan rebus, timun, lada hijau atau kacang panjang. Masak dengan api perlahan lama lama sehingga kuah pekat dan cantik. Boleh keluarkan asam keping takut terlebih masam. Tutup api dan sedia untuk dihidangkan dengan nasi putih dan sambal nasi berlauk.

Nota:
Boleh juga guna ikan segar yang tidak direbus.


Gulai Kuning Ikan dan Sambal Nasi Berlauk Kelantan

Sambal Nasi Berlauk
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
5 tangkai cili merah
5 tangkai cili kering – guna cili kering besar
3 tangkai cili padi – opsyenal
4 biji limau kasturi
2 sudu besar cuka 
1/2 sudu kecil garam atau secukup rasa 
3 sudu besar gula - masuk sikit sikit dulu dan rasa 

Cara cara:
Rebus cili kering sehingga kembang. Angkat dan tos. Cili merah dibuang biji dan limau kasturi dibuang biji.

Satukan semua bahan dan kisar kasar kasar dengan cuka, garam dan gula. Sesuaikan rasa dan tambah apa apa yang kurang. 

Nota: Sambal lebih tahan lama jika tidak dikisar dengan air. boleh simpan di dalam peti ais.

Gulai Kuning Ikan dan Sambal Nasi Berlauk Kelantan



1 ulasan:

Add your comment
EmoticonEmoticon